Jumaat, 31 Disember 2010

datang

"semua pelajar diminta menghadirkan diri sebelum jam 8 pagi."

ayat di atas merupakan contoh ayat ganjil. kalau kamu datang, kamu sudah hadir. kalau kamu hadir ke majlis atau acara dan sebagainya, adakah kamu akan tinggalkan "diri" anda, sebaliknya hanya datang dengan bentuk roh tanpa diri?

cuba kalau gunakan "semua pelajar diminta hadir sebelum jam 8 pagi" maksud yang hendak disampaikan sama dengan ayat yang pertama malah lebih ekonomis dalam penggunaan kata. tak perlu risau mereka terlupa bawa "diri" mereka bila mereka hadir ke majlis atau acara.

ok.

Khamis, 23 Disember 2010

masuk utube


kucing ini bukan kucing paling comel.



mao akhirnya masuk dalam utube.

Selasa, 21 Disember 2010


sementara ini, bacalah arkib dahulu-dahulu beberapa tahun lampau.



Sabtu, 11 Disember 2010

vakum

cuba membayangkan sebuah kekosongan. bukan hitam kerana hitam itu sendiri mengisi ruang. bukan putih. bukan apa-apa spektrum warna. sebuah lapangan yang terisi dengan ketiadaan. ketiadaan itu wujud namun tiada.

lupakan mencipta.

Khamis, 9 Disember 2010

anestetik-man


setiap hembusan nafas bersama setiap patah perkataannya ada anestetik teruap memenuhi ruang udara.

habis satu kelas koma.


Selasa, 7 Disember 2010

jardin zoologique


ini gerbang belakangnya. taman zoologika (dieja jardin zoologique kerana pengaruh perancis lebih berbekas berbanding inggeris di sini). gerbang ini besar dan lebih gah daripada gerbang hadapan. cuti masuk tahun hijrah baru sekiranya bosan tak tau nak pergi mana, singgahlah.

jika berkunjung jangan lupa melawat rumah singa-singa.

.


Jumaat, 3 Disember 2010

macam ikan


macam ikan.

ikan lautan.

dalam laut yang sama luas.

dalam buih yang besar. terpisah daripada arus, gelora, ombak, gelombang, badai.

kita ikan-ikan yang tinggal dalam semacam buih besar, di sini namun asing.


Rabu, 1 Disember 2010

rujukan

Dua belah kening Professor terangkat, dahinya sekali berkeredut. Jalur-jalur tuanya semakin jelas. Tanyanya: mana rujukan awak? Kemudian tangannya terketar-ketar - barangkali menahan marah dan menyelak satu-satu helaian asainmen bertulis. Dia lihat nota pada muka surat terakhir, pada belah bawah. Tersenarai url panjang, 'en.wikipedia/...'.

"Wikipedia is not a reference!!" herdiknya.


apa yang tertulis di atas cuma dramatisasi dengan sedikit tambahan perisa emosi sahaja. namun yang lebih dahsyat boleh berlaku.

sekiranya menyalin tampal artikel wikipedia, gunakan daftar "reference" di bahagian bawah sekali. ini mungkin dikira menipu namun terdapat sedikit jalur kebenaran kerana artikel yang disalin dirujuk dari sumber bawah daftar "reference", bermakna anda juga merujuk kepada rujukan-rujukan itu. istilahnya dalam inggeris, "white lie".

kalau wikipedia bukan rujukan, apa sebenarnya wikipedia?

Isnin, 22 November 2010

cuti 101 #14


dalam hagia sofia

cenderahati

lagi dijadikan cenderahati

dataran Taksim

Kapadokya, Goreme

wajahnya mengekori kami ke mana saja. potraitnya tergantung di pejabat-pejabat, pada bendera, terpampang besar di sekolah dan tadika.

pelancong mana yang beli mozek Mustafa Kamal Ataturk untuk kawan-kawan dan famili?

Selasa, 9 November 2010

internet


blog kosong. barangkali kerana sibuk mengerjakan hal lain, atau mungkin sudah tidak melihat elemen luar biasa dari perjalanan hidup sehari-hari - semua kelihatan kelabu, bosan, legap. lagi pun, internet bukan tempat meluahkan perasaan atau emosi. internet tidak dicipta untuk privasi. contoh boleh baca di sini.



berkenaan gambar di atas, windows masih mengecewakan walaupun menjadi pe-monopoli pasaran sistem operasi (OS). selepas kecewa menggunakan vista dan windows 7 bertemu pula dengan ubuntu, sistem operasi linux. percuma, dan lebih pantas daripada windows, dengan sokongan forum yang mantap. ini bukan iklan berbayar dari syarikat canonical.

selamat melayari internet, ciptaan manusia terhebat selepas roda.


Isnin, 1 November 2010

mesir 101 #2



jangan salah sangka. ini burger telur hibrid.


Sabtu, 23 Oktober 2010

Mesir 101




belajar nama-nama sayuran. banyakkan sayuran dalam diet boleh mengurangkan risiko kanser kolon.


Rabu, 20 Oktober 2010

seorang gila

yang telah mennjumpai sebuah telefon bimbit di celah-celah timbunan sampah lengkap bersama headset, akhirnya tidak diejek gila atau dibaling batu oleh kanak-kanak sekolah kerana meracau-racau bercakap sendirian.

katanya, "aku tengah cakap kat telefon. korang bodoh."

tak ada siapa yang mengganggunya lagi selepas hari dia menjumpai telefon itu. dia telah pun memperoleh lesen untuk meracau sendirian.


Ahad, 17 Oktober 2010

yay

blogspot dah buang templat lama. besar-besar dekat latar belakang, tertera "this image is not found" sedangkan blog ini tak menggunakan imej latar belakang melainkan warna putih kosong. tipu betul blogspot.


sekarang ada 2 cenderahati terhias di ruang tamu ihsan byte-muslim. comel. aku cuma berharap 2 cenderahati berupa tempat letak pen tu boleh dimakan. kalau rajin nanti gambarnya diuplod di sini.




gambar di sini.




Khamis, 30 September 2010

kenapa tak boleh tukar fon tulisan ni

milo panas - wap air meliuk dibibir cawan, pisang goreng rangup luarnya tapi cair dalaman - manis, sambil hujan turun perlahan-lahan berirama rintik-rintik di atas atap, kodok dan katak bersimfoni entah di tepi longkang atau lopak.


semuanya sempurna dalam detik yang sempurna.


kita tidak boleh untung semua dan mungkin rugi pada yang lain.


detik ini bermakna bagi yang menghargainya.



Sabtu, 21 Ogos 2010

ruang kosong














blog yang anda cuba cari tidak dapat dihubungi. sila tekan butang refresh atau kembali berkunjung dalam sebulan dua lagi.




Jumaat, 6 Ogos 2010

cuti 101 #13


400 meter di udara, semuanya nampak kecil. kuala lumpur kota metropolitan nampak macam pekan, kereta seperti semut-semut. masalah jadi kecil, tak signifikan berbanding seluruh sistem ekologi rumit perjalanan hidup sehari-hari.

dari platform observasi menara kl dengan teropong jenama nikon berkuasa tinggi, kau boleh meneropong seluruh lembah klang. malah, kalau nak berbuat jahat pada siang hari di kl, mungkin sahaja kau diteropong oleh pelancong dari menara kl dan tahu-tahu sahaja seminggu kemudian kau jadi topik sensasi youtube.


gambar rembat dari koleksi nor akmal.
lensa baru, imej lebih lebar, definisi tertinggi.


Jumaat, 30 Julai 2010

cuti 101 #12


orang airpot tu minta tips. ba'shih. hanya untuk melalukan beg atas conveyor belt dan di-x-ray, mencari potensi terorisme. sambil tersenyum dan menghulur tangan luas. selalunya dalam situasi begitu, orang yang sudah berpengalaman sepatutnya tahu jangan dilayan. dan kalau mengada-ngada menadah muka juga merengek mahu wang, berikan segenih dua, atau terus kata "haram!" atau cakap "maalish ana mish fahim".

tetapi orang airpot tu sempat menambah : "your friend just give isyriin genih. he's a real gentleman".

terus aku buka dompet dan meletakkan wang kertas hijau keras dalam telapak tangannya.

seminit kemudian aku dihantui sesal, kekecewaan, gagal, bengap kerana termakan provokasi orang airpot.

Jumaat, 23 Julai 2010

sepotong hidup #6




"lepas ni tak boleh masak untuk rumah

sebab aku positif salmonella carier."


alasan terbaik yang mungkin anda nak guna bila tak rasa ada mood memasak.

minggu masak terakhir sem 4.



Selasa, 20 Julai 2010

sepotong hidup #5

kita namakan dia zizou sajalah. seorang penjual aiskrim.

aku berselisih dengan dia lebih kurang 2 saat. ketika itu dia sedang menolak troli ais krimnya sepanjang jalan tepi laut. troli aiskrim zizou berhias gambar aiskrim sekop perisa coklat, strawberi, mangga, vanilla, pistachio; berlatarkan biru sejuk dan empingan salju. dan turut ada potraitnya menongkat dagu sambil bahunya senget sedikit memandang tiga ratus meter kehadapan, tersenyum. dalam tulisan jawi besar warna merah, tertulis " aiskrim zizou".

berlawanan dengan pengiklanan troli aiskrimnya, zizou yang sedang menolak troli aiskrim lenjun dengan peluh. bintik-bintik keringat penuh di dahinya dan leher. baju yang zizou sedang pakai sama dengan dalam gambar potraitnya - kemeja coklat berbintik halus warna krim.

selepas berselisih 2 saat dan meneruskan perjalanan kami yang bertentang arah, aku terpikir kenapa zizou letakkan potraitnya pada troli aiskrim.

Jumaat, 16 Julai 2010

mata hitam

jam 2 pagi meriah dengan bunyi-bunyi kutu embun di luar, kereta lalu lalang, pencuri lari, penghendap disebalik bayang-bayang, pakcik jaga tempat letak kereta dan tiupan angin laut.

itu bunyi-bunyi sunyi.

aku cuba melihat melalui peephole di pintu. tak ada orang mendaki tangga pun. malah lampu pun tak terpasang kerana setiap bulan, lampu tangga pasti akan rosak disebabkan masalah pendawaian mat jenin.

gelap. satu warna saja. hitam pekat seperti mendapan minyak menggoreng 2 minggu. seperti mata hitam penuh.

kemudian aku sedar, bukan aku melihat melalui peephole. tapi satu mata itu bulat memandang aku. terus aku cepat-cepat kembali ke buku.

Rabu, 14 Julai 2010

dr.


"The men's status did not warrant ethical debate.

They were subjects, not patients;

clinical material, not sick people"



-dr. john heller
tuskegee syphilis experiment-

Ahad, 11 Julai 2010

sepotong hidup #4



saya harap semua orang dapat tengok video ini.

bukan senang.

hidup dalam dunia sebenar.

Sabtu, 10 Julai 2010

sepotong hidup #3

bila cerita csi keluar, ramai mahu jadi ahli forensik. bila house muncul pula, ramai mahu jadi house. tak ada siapa nak jadi foreman.

siapa boleh nafikan kesan tv terhadap hidup?

sekarang, sebilangan besar yang terpengaruh dengan house barangkali sedang hampir pecah kepala menelaah, berfikir kembali mengapa bukan the apprentice, atau gerak khas, atau terminator.

selamat berusaha.

Khamis, 8 Julai 2010

sepotong hidup #2


exam ni macam suntikan vaksin.sekali tak cukup.setahun paling kurang 2 kali. bila bulan julai semua makin bijak. masuk ke ogos, mendadak jatuh, menjunam melebihi takat sifar.

dan, seperti mana-mana suntikan vaksin untuk imunisasi, exam juga ada demamnya. daya tahan badan cuba melawan/menerima anasir-anasir luar daripada buku entah macam-macam. antara kesan sampingannya termasuklah:

hilang selera makan, kurang hubungan sosial, susut berat badan atau sesetengah yang lain bertambah. selalu dikaitkan dengan letusan emosi mengejut; marah-marah dan dalam masa yang sama turut pemaaf.

dinasihatkan, selalu membaca alam nasyrah dan selawat.

Selasa, 6 Julai 2010

sepotong hidup

kertas soalan fisioloji. soalnya, beri definisi anemia.


+weh, anemia tu apa?

-hmm. ntah.

+hmm..

-eh, ni soalan semester lepas.

+patut la tak tau!


gelak sama-sama kuat-kuat.

orientasi peperiksaan.

Jumaat, 25 Jun 2010

risiko

dalam almari, dalam baju-baju lama tak dipakai labah-labah suka menginap. dalam kasut, sejuk dan dingin berbanding udara luar kering panas, kala jengking gemar menumpang. petang menjelang maghrib pula nyamuk aedes aktif mencari darah segar. hari ini sempurna untuk mandi pantai, tapi disebalik ombak dan biru laut kadang-kala akan terserempak dengan obor-obor berbisa. dengan lapisan ozon menipis, kerap terdedah kepada cahaya matahari meningkatkan risiko kanser kulit.

bahaya betul dunia ni.


tidur kat rumah sajalah.

Rabu, 16 Jun 2010

bisu

kalau anda pergi ke laman fifa, di bar atas belah kanan akan ada pilihan bahasa. arab, inggeris, france, mandarin. paling kanan sekali ada lambang tangan. itu pilihan untuk bahasa isyarat internasional. pagi-pagi buta jam 3 aku menonton berita liputan piala dunia dalam bahasa bisu. tak ada bunyi langsung melainkan beberapa saat awal, bunyi-bunyi efek canggih semasa logo afrika 2010 keluar.

tukang berita bersilang tangan, mengerut dahi, kadang-kadang senyum, kadang-kadang menyeringai - melibatkan banyak ekspresi emosi menggantikan butir-butir kata daripada kerongkong. 8 minit bercakap tanpa bertutur. buat kau rasa bersyukur dapat mendengar dengan sempurna.

dan daripada segala bahasa pertuturan yang indah, puisi-puisi, pantun, prosa dan ayat, beberapa perkataan keramat ringkas yang jauh daripada sopan juga perlu.



dan korea utara, negara tertutup dilabel paksi teror mampu bertahan dan menjaringkan satu gol menentang brazil. pasukan nombor satu dunia menentang pasukan nombor 105. tak mustahil malaysia muncul di piala dunia 2018 kan?

Rabu, 9 Jun 2010

paru-paru besi


tiub besi ini merupakan alat bantu pernafasan untuk mereka yang lumpuh otot pernafasan akibat dijangkiti polio. perhatikan pada mata pesakit kecil di atas. matanya menjeling tepat jurufoto ketika lensa diacukan kepadanya.

kanak-kanak sepatutnya gembira, berlari-lari dan aktif. tetapi budak di atas terbatas aktivitinya kerana sakitnya. jauh daripada menarik muka panjang, sedih, ada sedikit determinasi daripada pandangannya - mahu keluar daripada paru-paru besi.

mungkin kerana dia masih kecil, dia tak mampu membaca nasibnya yang lumpuh pernafasan, maka dia tak putus asa. berfikir terlalu panjang kadang-kala tak membantu, dan bukan kuasa kita meramal masa depan.











owh, dan terima kasih kepada an.an.an.

Isnin, 31 Mei 2010

mesej ke planet jauh

**teet**

**teet**

**teet**

hanya ada bunyi statik sahaja. tak ada balasan.

kapten kapal penjelajah mencuba sekali lagi.

**teet**

**teet**

**teet**

kapten melepaskan keluh berat, mengarahkan kapal menuju ke arah bintang orion di sudut galaksi sana.

mungkin di sana ada planet yang dihuni.

(kapal perlahan-lahan bergerak. tak ada api biru menujah pergerakan kapal. bahan api sudah lama habis. hanya tarikan graviti antara jirim planet menggerakkan kapal.)

mesej ke planet jauh.

Rabu, 26 Mei 2010

pusing


katanya:

"what doesn't kill you, makes you stronger."

nyawa cuma satu.

ini bukan mario atau megaman.

kalau anda telah dibunuh anda tak boleh kata,

oh, orait, benda sekian-sekian ni

boleh membunuh.


mungkin lebih elok

kalau dikata begini:

"before you know it, it will kill you."


dengan itu

kita akan lebih berhati-hati

dan berhenti daripada

sesuatu yang sepatutnya sudah lama kita tinggalkan.


isi tempat kosong di bawah, benda yang

sudah lama dijauhi:

________________

.

Jumaat, 21 Mei 2010

orang, namanya abdul hadi

ingat, bagaimana doktor dibandingkan dengan mekanik? katanya, mekanik tak boleh baiki kereta kalau enjin hidup, sedangkan doktor boleh. sebenarnya, mekanik hanya membaiki kereta setelah enjin dimatikan kerana dia mampu sedangkan doktor tak boleh.

kami ada seorang pesakit, seorang atuk bernama abdul hadi - kalau tak salah sebab doktor kelas kami memanggilnya abdul hadi. jadi, limpa atuk abdul hadi telah membesar. kami tak diberitahu apa penyakit yang dihidapnya kerana hari itu kami hanya perlu mengenal simptom pembesaran limpa dan bagaimana untuk mempalpat abdomen pesakit tersebut.

kerana limpanya telah membesar, seluruh kandungan abdomennya tertolak kehadapan - perut abdul hadi memboyot macam periuk belanga. otot rectus abdominisnya menjadi lemah bila tertolak begitu menyebabkan sebahagian ususnya keluar dari ruang abdomen melalui pusat. jadi, bukan saja spleenomegali, abdul hadi juga mengalami hernia pusat. (burut)

berbanding pusat yang normal, pusat abdul hadi membalik keluar membentuk sebuah bonjolan gelap seperti cendawan di tengah-tengah perutnya.

sepanjang kelas, doktor menerangkan simptom yang dialami abdul hadi. dan abdul hadi pula perlu mempamerkan perutnya untuk tatapan seisi kelas. doktor menunjukkan cara mempalpat yang betul, perlu bermula dari garis inguinal atas pelvis kemudian ke seluruh abdomen.

bila pelajar dipanggil mempalpat abdul hadi, seluruh kelas bersemangat ingin mencuba. sedang abdul hadi dipalpat, kami berbincang-bincang antara kami, dalam bahasa ibunda kami yang langsung asing buat abdul hadi.

sampai satu waktu, atuk abdul hadi yang dari awal bermula kelas menyelak bajunya ke paras dada menurunkan selakan itu. dia bertanya dalam kepada doktor - satu-satunya orang di dalam kelas yang mampu memahami sempurna ammi masri. sebagai orang tengah menterjemah, kata doktor, abdul hadi merasakan kami mengata buruk pasal perutnya.

untuk menyelesaikan masalah, semua orang dalam kelas tak boleh bercakap-cakap melainkan dalam bahasa arab atau inggeris. sebarang pertanyaan boleh ditanya terus kepada doktor.

kemudian kelas bersambung seperti biasa. semua mata dalam kelas terpaku pada perut atuk abdul hadi.

tertakluk kepada pendapat dan perasaan personal, saya rasa sikit orang yang memerhatikan muka atuk abdul hadi. tangannya disilangkan di mukanya. kadang-kadang menggaru janggutnya yang tak gatal. meraba-raba sisi perutnya. matanya melilau-lilau antara siling dan entah apa.

pernah rasa situasi bila anda harap, anda tak pernah ada tangan kerana tangan anda tak membantu apa-apa malah lebih canggung kerana anda tak tahu apa yang perlu tangan anda buat? dalam situasi begitu, anda letakkan tangan anda di seluruh muka dan anda menggaru-garu tempat yang tak gatal.

sepatutnya beza doktor dan mekanik bukan boleh atau tidak membaiki dengan enjin kereta yang masih hidup. doktor merawat orang, yang mungkin namanya abdul hadi, yang tentu sekali ada perasaan.

Isnin, 17 Mei 2010

wanita kucing

hari ini bertemu dengan wanita kucing.

dia seorang perempuan yang rapuh beruban penuh. memakai skirt labuh hitam dan blaus hitam. bersamanya sebuah tas membeli belah yang selalu dijual di carrefour untuk menggantikan plastik.

jam sudah hampir sebelas malam ketika terserempak dengannya. dari jauh, dia terbongkok-bongkok meletakkan helaian surat khabar di atas tanah. meskipun tak perlu sebenarnya kerana kucing-kucing jalanan tidak memilih dalam hal makanan.

sambil helaian surat khabar diletakkan atas tanah, wanita kucing menjeling-jeling sekeliling melalui cermin matanya berbingkai bulat penuh seolah-olah dia sedang menjalankan kegiatan terlarang berlindungkan kegelapan jam hampir sebelas malam.

kalau dia tak membuat bunyi-bunyi "citt-citt-citt" memanggil kucing-kucing dari bawah kereta, barangkali dia dianggap seorang tua yang sunyi serta hilang siuman.

dia seorang ibu kepada berpuluh-puluh kucing di sekitar jambatan gamaah.

Jumaat, 7 Mei 2010

seberang

seorang pakcik biasa-biasa yang selalu kita lihat tiap hari berkemeja lepas dan seluar slack, buncit dan botak, kasut kulit, turun ke jalan sampai ke tengah kemudian mengangkat tangan menyuruh kereta-kereta memecut perlahan. kereta-kereta semua patuh dan membenarkan dia jalan.

tak ada konflik. tak ada permasalahan. tiada kemalangan jiwa.

kadang-kadang hidup lebih mudah, kalau tahu nak ke mana. ke seberang jalan.



Jumaat, 30 April 2010

antara


kamu yang berlari antara langit dan bumi
.

awan ialah kapas mulus kepul-kepul gebu.


sini
.

dan rumput hijau - embun pagi berbau tanah.


di antara, berkeluyuran.


Rabu, 28 April 2010

pintu

kita dirikan tembok
dan membuat beberapa pintu
yang dikunci rapat, sejak
hari pertamanya
tak satu mahupun barang bernyawa
melintasinya
supaya anak-anak mereka
kecewa merasa terhina
bahawa pintu-pintu itu
kutukan buat si papa

supaya mereka sentiasa ingat
ruang di sebelah
tak pernah layak untuk mereka.


foro rembat dari sini

Ahad, 25 April 2010

ulat

bentaknya, dunia ini tidak adil.

sesiapa saja dijumpainya yang begitu bermurah menderma sedikit masa menadah telinga mendengar, dia akan meluahkan berontakan isi akalnya. dalam metro, sementara menunggu bas, pemandu teksi, penjaja makanan, pengawal keselamatan, kucing, pokok kelapa dan lumut di atas batu merupakan pendengarnya setakat ini.

setelah ditimbang-timbang, dia yakin bahawa tiada secebis walaupun, kesaksamaan di dunia. nilai keadilan cuma perspektif - berbeza mengikut pihak, hanya yang terkuat mampu mendeklarasi kata adil. dan hanya mereka yang mampu mengangkat pedang keadilan lalu mencantas potong kerat cincang lumat hal-hal yang celaka durjana untuk dihapuskan langsung daripada kewujudan.

hajatnya, dia mahu putar kembali masa, kembali kepada asal kejadian masa untuk dilahirkan sebagai cacing parasit. hepatica, fashiola, gigantica, dan entah apa-apa lagi namanya: itu semua hajatnya. mahu ambil semuanya tanpa memberi sedikit pun. kemudian semuanya hanya perlumbaan, jika mereka - si hos, mati dahulu, dia akan mati kendian dalam jasad reput yang dia sendiri rosakkan.

jika dia perlu mati dulu, dia akan ke organ-organ penting, otak barangkali, biar dia membusuk di situ supaya dia akan diingati selalu. dikenang sebagai parut. tutup banyak mana pun dengan segala tisu fiber, diganti sel glial dan apa pun, dia akan masih di situ. jejaknya akan ditinggalkan. tak boleh dipadam. kekal.

hatinya melonjak gembira. dan mereka akan cacat, membawa kesannya sampai bila-bila. parut itu akan menjadi tayangan bersama kecacatan yang telah dia akibatkan. dan akhirnya dia tahu mereka akan kembali menjadi tanah. sedangkan telur-telur dia terus tersebar menular, menjangkiti seberapa ramai lagi orang-orang yang sama.

dia tidak kisah. siapa saja yang mengambil kira berontaknya. mana tahu dia benar-benar seekor cacing parasit dan tersesat di mana-mana organ penting.

.

Rabu, 21 April 2010

tshirt



berjinak-jinak mereka baju t. desain dalam masa 5 minit. terima kasih kepada matapena90 yang membantu. berminat, bolehlah berhubung.

turut menerima kritikan dan cadangan.


sekadar mengisi kekosongan blog.

Rabu, 14 April 2010

Jumaat, 9 April 2010

kerjasama

ialah bila anda tidak tinggalkan pasukan anda, usaha sama-sama.

anda tengok one piece, seorang nakama tak boleh mengabaikan nakama yang lain. dalam naruto, satu tim bermakna satu keluarga. malah wonder pets pun sentiasa mengingatkan kepentingan kerjasama.

hanya orang-orang yang hina sahaja meninggalkan tim, pasukan, kumpulan, keluarganya.

.

mana persaudaraan yang dikatakan itu.

Isnin, 5 April 2010

ekualiti



urgh.

apa tu ekualiti sebenarnya?

Selasa, 30 Mac 2010

untuk mao

kucing yang anda lihat di kotak atas belah kanan blog ini, namanya sudah tertulis di situ. mao. kata orang, jangka hayat kucing dalam tujuh atau enam atau lima tahun saja. selepas itu mereka akan mati sakit tua atau hilang begitu saja tanpa dikesan.

pagi-pagi mao akan lompat ke tingkap waktu lepas subuh menanti setia untuk makanan. kadang-kadang bila mao bosan menunggu dia ke dapur, walaupun dia tahu masuk ke dapur dilarang sama sekali bagi seekor kucing. tengah hari mao akan tunggu lagi di tingkap, atau di hadapan pintu dapur di luar rumah.

mao sudah beranak beberapa kali. entah berapa anaknya tak dikira. kejap-kejap ada, kejap-kejap tak ada. seperti mao sendiri, dia mengajar anaknya untuk tidak mendekati orang. kalau dekat dengan anaknya, mao akan buat bunyi "hissss, hisss" menyeringai, gigi tajamnya dinampakkan.

mungkin trauma pada satu masa dahulu, mao tak suka orang. tak mahu disentuh. tapi mahu makan diberi.

mao ada ekor pendek. berpuntal. semacam seketul daging terlekat dibelakangnya. mao dapat ekor tersebut daripada ibunya yang tak dinamakan.

walaupun mao tak bersikap seperti kucing domestik yang lain, mao masih dibela. mungkin kata kerja "bela" tidak sesuai, kerana mao tak dibenarkan masuk dalam rumah. mao cuma diberi makan tiap hari. kalau ada tikus yang tertangkap, hayatnya akan berakhir di celah taring mao.

kalau begitu mengapa mao masih diberi makan, ditanya khabarnya, diambil berat?

pasal, mao sudah dijaga dari kecil, sampai meningkat dewasa, sekitar 20 tahun kucing yang bersamaan tiga tahun manusia. mao sudah jadi semacam keluarga. anda tak boleh membuang keluarga. buruk mana pun. lari jauh mana pun, menukar nama, menyembunyikan identiti, membuat surgeri plastik. pertalian itu ada.

tahun ini, congak-congak, mao umurnya dalam lima tahun. atau lebih. kalau mao tak ada tahun ini, rasanya akan ada kesedihan yang dalam. walaupun kita sudah menjangkakan waktunya, kita cuma memang tak boleh bersedia. sekarang saya faham, mengapa orang animal planet mampu berjurai air mata kehilangan anjingnya, atau kucing, atau dolfin atau apa-apa saja.

owh, mao sekarang masih sihat.

sempena umur blog yang meningkat 2 tahun. gambar mao sudah 2 tahun di kotak atas itu. kalau mao boleh membaca dan kenal komputer, apa katanya.

.

Ahad, 28 Mac 2010

fragmen #4


"kamu tahu, ke mana perginya masa-masa yang dibuang?

mereka ke dimensi lain. lalu membentuk sebuah lubang, lohong dalam dimensi kita yang menyedut masuk segalanya.

sekarang separuh dunia sudah ditelannya."

keringat sejuk merenik dihujung dahinya.

"semua,kau yang punya pasal."

kemudian dia mencabut earphone, mematikan komputer, solat zohor,
dan keluar rumah untuk menyelamatkan dunia.

.

Ahad, 21 Mac 2010

tentang lasman

klik pautan di bawah untuk membaca cerita yang sederhana panjang.

pautan.


dan klik berikutnya untuk menonton filem epik kamen rider.




Khamis, 18 Mac 2010

mental konstipesyen

semuanya ada, semuanya di sini

cuma tak mahu keluar.



Jumaat, 12 Mac 2010

lain kali

lain tempat
lain masa
lain letak

lain dimensi
lain sisi

lain orang
lain subjek

lain suhu
lain rasa

lain fikir
lain usia

dan tidak pernah akan sama waktu ini bila lain kali.


lain kali sajalah.

Rabu, 24 Februari 2010

ahmed keluar rumah

ahmed keluar rumah. sebelum keluar tadi dia sudah pastikan air, api dan letrik dimatikan. tingkap bertutup. sinki bersih. sofa disusun dengan rapi. kain siap terlipat dalam laci. baju busuk dimasukkan dalam mesin basuh, disetkan pada kitaran mod A pada suhu 40 celsius. fail torrent dan muat turun dipastikan sedang berjalan, kemudian skrin digelapkan. perangkap tikus dibubuh belakang dapur. cadar katil tegang.

ahmed memegang tombol pintu. dia tertinggal satu.

kreeekkk, bunyi kaki kerusi bergesel dengan lantai jubin marmar. kerusi meja makan perlulah ditolak masuk, bisik ahmed seorang.

setelah menutup pintu dan menguncinya ahmed letak kunci bawah alas kaki welcome.

Khamis, 18 Februari 2010

pevmen

5 meter hadapan sepotong kayu diletakkan melintang. paku tajam mencacak-cacak daripadanya. 5 meter lagi trotoar akan tamat, diselang dengan jalan tar lebar 3 meter lebih sebelum trotoar bermula semula.

berjalan dengan fikir yang berat, hanya menekur ke bawah memerhati kerikil-kerikil, aku tidak sedar ada sepasang kaki tercatuk kaku di antara selang itu.

lagi 1 meter sebelum kayu melintang itu aku mengambil keputusan untuk turun di sisi trotoar, berjalan di atas tar jalan raya - lantas membatalkan niat asal untuk melompati kayu tadi.

bila melepasi kayu itu baru aku sedar ada sepasang kaki tegak berdiri. seluar slack hijau kekuningan, kasut hitam. dua-dua comot dengan calit tompok simen serta berdebu. aku mengangkat kepala memandang pemilik kaki itu.

pandangan matanya menggambarkan dendam kesumat hitam bercorak kebencian seribu tahun lama, seperti kami pernah berseteru dalam kehidupan lampau. dan sekarang setelah dilahirkan semula kerana gagal mencapai moksha untuk bebas daripada roda kesengsaraan, kami perlu menyelesaikan perseteruan ini yang tertangguh seribu tahun dahulu.

aku mengalihkan jurus pandangan aku ke tempat lain - tidak sanggup melihat dalam kebenciannya. bila pandangan aku jatuh ke trotoar tadi semula, aku nampak bahagian hujung yang baru disimen, masih basah.

perkiraan minda aku menambah simen basah kepada kayu melintang berpaku, diproses dengan logik. jawapannya: kayu melintang itu untuk mengelakkan orang daripada memijak simen yang belum kering. aku tersentap. bukankah aku hampir-hampir memijak bahagian trotoar yang baru disimen tadi?

ooo.

patutlah.

Isnin, 15 Februari 2010

mereka buat buku ini bukan tanpa sebab


warna merah. banyak ong maa!!

gong xi fa cai.

Selasa, 9 Februari 2010

fragmen #3



sambil koleknya dipukul gelombang
yang berekor daripada feri besar
yang lalu di tepi, dia lebih fokus
pada jalanya. katanya:
"paras laut di mana pun
kan sama?"




Khamis, 4 Februari 2010

bukan pada buku

ilmu di dada bukan pada buku, bermakna kita perlu bersatu bersama ilmu. ilmu perlu jadi sebahagian daripada kita. sebahagian daripada daging kita. mengalir dalam salur darah. berdenyut bersama nadi. dan sekarang semuanya tertulis pada buku. kau faham apa yang aku katakan?

dia angguk setuju. dia faham benar maksud saya.

saya bangkit dari sila menuju ke dapur bersama buku fisioloji. dia ikut di belakang. dia ambil periuk dan didihkan air. saya koyak-koyakan buku fisioloji. kami masukkan ke dalam periuk. kami sama-sama lihat serat-serat kertas terpisah, kanjinya perlahan-lahan memekatkan air. awalnya putih kemudian bertukar gelap oleh dakwat tulisan. kami biarkan merenih, berbuih-buih.

dia kata, perlu tambah banyak gula, dan tambah satu buku lagi kerana kami berdua. satu buku sahaja bermakna seorang hanya dapat separuh. saya tambah gula dan tambah satu lagi buku fisioloji.

kami tunggu sampai sejuk dahulu.

bila dia mencuba rasa dahinya berkerut ketat, matanya terpejam, mulutnya senget tertahan-tahan. saya mencuba rasa juga. saya juga buat muka contorted. tidak, dia kata. kejayaan tak boleh dicapai mudah.

kami habiskan satu periuk itu.

sampai situ saja. selepas itu saya tak ingat. kalau ikut kata doktor, saya ditemui mundar-mandir di ruang tamu bergeming di sudut gelap. dia tergelimpang atas lantai, di sisinya, apa yang kelihatan seperti, muntahnya sendiri. saya sudah ceritakan apa yang saya ingat. sekarang, boleh doktor lepaskan saya? sebab esok saya ada ujian histoloji pula. dan baju ni tak selesa. lengannya dikunci.

doktor?

doktor nak pergi mana?

DOKTOR!! DATANG SINI BALIK!! SAYA MASIH KAT SINI!! DOKTOR??!!


Khamis, 28 Januari 2010

sementara

sementara mencari ruang kecil untuk menulis, menari bersama matt dahulu



dan berlayar bersama dewangga sakti.




@__@

Isnin, 25 Januari 2010

biar perlahan


dan tiba-tiba hujan aku berjalan perlahan merasa bijih-bijih awan yang jatuh dari kayangan, setitik-setitik tiap satunya melanggar muka, kot, kasut dan seluar - dingin, pejalan kaki lantas berlari ke kaki lima, tergesa-gesa melewati aku; lopak-lopak itu sengaja aku pijak; seisi alam kini dalam sebuah irama tik-tik-tik-tik-tik rintik renyai lembut, alir-alir halus kelihatan pada dinding perang berdebu, turun perlahan akhirnya bersatu atas jalan membentuk sungai-sungai kecil.

aku tak kisah lenjun dalam hujan kerana ia mengingatkan sebuah tempat yang jauh.

Ahad, 24 Januari 2010

imejan

Secawan kopi susu. Wap bergulung di bibir cawan. Komputer di hadapan. Aroma kafein menggoda hidung, disedut masuk terus naik ke otak. Mata sedikit celik. Fikir yang serabut, tumpul menajam kembali. Lebih peka. Halaman buku terselak berselerak atas lantai saling timpa-menimpa dengan lembar-lembar nota kertas putih. Aksara-aksara pada nota dan buku seakan bangkit menari-nari. Berpusing-pusing. Simpang-siur di udara. Bunyi-bunyi gendang dan hilai seperti primitif hutan amazon muncul sayup-sayup kemudian menguasai ruang. Mana pemukul lalat tadi? Tangan kanan mencapai kopi susu. Masih panas. Tangan kiri meraba-raba sofa mencari pemukul lalat. Rangkai-rangkai kata penuh mengelilingi seisi ruang tamu. Tiup sedikit kopi susu. Tangan kiri sudah bertemu pemukul lalat.


Dong. Dong.

Dong. Dong.


Ambil sehirup kopi susu.



Semuanya hilang. Beransur huruf-huruf tadi kembali ke tempat asalnya.



Kotak mesej instan tidak terjawab bertepek-tepek di muka komputer. Berapa lama masa melarikan diri daripada kesadaran?



Sedikit-sedikit kopi susu dihirup. Lebih baik tidur saja.

Sabtu, 23 Januari 2010

bidadari cinta

dia menghayun rambang jaringnya sambil terlompat-lompat seperti mahu mengutip butir-butir bintang berlatar langit malam. satu-satu pari-pari tertangkap dalam jaringnya, kemudian dimasukkan ke dalam balang besar kemas terikat di pinggangnya. sekarang balangnya bercahaya sama intensitinya dengan sebiji mentol 250 watt.

pari-pari bertempiaran cuba terbang lebih tinggi daripada jangkauan jaringnya atau menghilangkan diri di sebalik rimbunan tebal. ribuan tompok-tompok kuning di tengah-tengah gelita semakin jauh. kumpulan cahaya kuning keemasan tadi telah terserak selepas dia mula menyerang dan menangkap pari-pari. cuma balangnya sahaja yang bersinar.

dia menjatuhkan jaringnya. balang besar dipinggangnya diangkat ke muka. pari-pari yang tadi memukul-mukul dinding balang membantah penculikan mereka terdiam gerun. matanya ke dalam sedikit dengan lopak lebam dibawahnya, tidak tercukur kemas; rambut-rambut pandak mencacak dari sisi muka turun ke bawah dagu dan leher, gigi sedikit rompong dan bibir gelap di tengah.

puas melihat hasil tangkapannya dia duduk atas tanah berumput lembab embun malam. balang besar diletakkan di hadapan. dia mencapai pula beg selempangnya dan menggodek-godek. satu lagi balang kaca besar dikeluarkan, diletakkan sebalah balang tadi.

penuh hati-hati dia membuka tutup balang berisi pari-pari, mengambil seorang dan cepat-cepat menutup kembali. pari-pari yang lain diam hanya memerhati. pari-pari dalam genggamannya meronta-ronta. dari jauh dia kelihatan seperti menggengam emas berkilauan. kepala pari-pari tersebut dijentik dan terus jatuh pengsan.

sayap pari-pari tersebut direntap. pari-pari itu terus hilang cahayanya. sayapnya masih memancarkan cahaya. dia kemudiannya menyimpan sepasang sayap itu dalam saku dadanya. pari-pari yang pengsan itu dimasukkan ke dalam balang kosong.

pari-pari dalam balang diserang frantik serta panik melihat rakan mereka diperlakukan begitu. sesetengah yang lain terus jatuh pengsan.

"kamu. semua. akan jadi begini. kamu. semua. (ketawa terkekeh-kekeh) kamu. semua. akan jadi bidadari cinta. kamu kerja dengan aku. aku beri kau makan. pakaian. wang. tempat tinggal. sampai waktunya aku pulangkan sayap-sayap kamu. kamu tahu, kamu tak boleh kembali tanpa sayap kamu."

menjelang pagi dia sudah tidak kelihatan duduk di situ. cuma tinggal puntung-puntung rokok dan bungkusan plastik coklat. pari-pari yang terselamat muncul dari celah-celah daun berkumpul kembali menangisi nasib rakan mereka.

Isnin, 18 Januari 2010

lihat

3 sekawan duduk berbual-bual di stesyen tram. mata semua terpejam atau kelopaknya terangkat sedikit menampakkan putih mata sahaja. masing-masing ada tongkatnya sendiri tergenggam dalam tangan.

tak tahu butir apa yang mereka borakkan.

baju mereka bersih. bersaid. lebih kemas daripada orang yang tidak buta di samping. sedangkan mereka tidak pernah melihat "kemas","cantik" dan "bersih".

hari berikutnya seorang lelaki berkaca mata hitam masuk naik ke dalam tram, dipimpin oleh rakannya. seluarnya berkeredut seribu. dia baru sahaja hilang penglihatan.

sifat, bukan pada pandangan sahaja.

Jumaat, 15 Januari 2010

dari mana

+dari mana virus datang?

-apa sebenarnya virus?

+virus tu bukan haiwan. tak ada tanda-tanda hidup, tak mati.

-wah. sungguh hiperbola.

+ya lah. virus cuma sekuen asid nukleik terbungkus dalam satu semacam kapsul. kemandiriannya hanya boleh diteruskan bila menceroboh masuk ke dalam sel hidup. hanya jalinan DNA atau RNA namun ada fikirannya untuk mengganda dirinya.

-hebat.

+pendapat kau? dari mana asalnya?

-entahlah. rasanya datang dari benda yang hidup. yang ada DNA, RNA dan semua tu. mungkin datang dari manusia.

+?

-manusia. mungkin orang-orang yang tak ada perasaan selain benci dalam hati. orang yang membenci semuanya. sekelumit kasih pun tak terkesan dalam hati. setiap nafasnya sarat benci. kemudian selnya berubah. menjadi sel-sel virus.

dari nafasnya yang penuh benci, dia menyebarkan virus kepada orang lain. dalam kata lain, virus itu sendiri perasaan bencinya. dia menjangkitkan orang lain dengan rasa benci.

+kau minum kopi terlampau banyak. kau meracau.

-oh ya.

(jeda sebentar)

-dari mana ikan datang kat tasik buatan?

+orang campak ikan ke dalam tasik. mereka membiak lagi pantas dari yang kau sangka.

Rabu, 13 Januari 2010

panduan

untuk jiwa-jiwa malang yang tersesat ke blog ini, yang tidak mengerti maksud entri - itu pun jika mempunyai maksud.

1.kalau kamu berhadapan dengan tulisan yang tiba-tiba sampai ke sebuah puncak gunung, atau sebuah bilik yang sempit, atau seorang budak yang sedang berjalan-jalan; kamu perlu bayangkan seperti menonton satu babak dalam filem, atau bayangkan kamu sedang menonton filem pendek youtube.

2.kadang-kala kamu akan bertemu dengan objek yang bukan-bukan dan sama sekali aneh seperti unikon dan zombie, ini mungkin sekali perlambangan yang disama-ertikan dengan kehidupan harian yang biasa, dilihat melalui pandangan hiperbola.

3.seringkali kamu dihidangkan dengan cebis-cebis dunia surrealisme, abstrak, dimensi lain dan sebagainya. mungkin ada maksud atau sama sekali sampah. sedangkan aku pun tidak memahaminya. mungkin kamu memahaminya?

4.tidak perlu membebankan daya fikir kamu menafsir. jika kita bertembung di pasar atau terserempak di dalam tram, kamu boleh menyapa dan bertanya apa-apa yang membebani kamu yang datang dari blog ini.

5.kebanyakannya, apa yang tertulis, itulah yang dimaksudkan. tiada erti lapis ke-2 atau ke-3 atau lapis-lapis dalaman lagi.

terima kasih kerana sudi membaca.

Selasa, 12 Januari 2010

lebih hampir

bilik itu sempit. buku berada di mana-mana berebutkan ruang di rak-rak yang tidak cukup. antara longgokan buku-buku di lantai hanya ada ruang sempit untuk berjalan dari pintu ke meja tulis. di bilik inilah dia menghabiskan masa bergeming.

"suara kau terlampau lantang. mereka takkan boleh mempersetankan sahaja tiap tulisan kau."

"dan?"

"tentunya mereka tidak senang dengan kau."

dia mengemas lembar-lembar kertas yang berkecah di atas meja tulis. di sudut meja, sebuah bingkai gambar terlangkup. dia mendirikan bingkai itu dan memerhatikan gambar yang tersisip padanya.

"apa yang mereka dapat bila memberkas seorang renta seperti aku?"

badannya beralih. kali ini dia memandang tepat ke dalam mataku.

"aku sudah tua begini. tiada apa yang akan aku rugi. tiada apa lagi yang tinggal untuk aku kehilangannya. aku, akan mati bila-bila saja."

hening. dia melihatku tercatuk diam, dia meneruskan katanya.

"kau, juga, boleh mati bila-bila saja. kematian lebih dekat daripada kau sangka; antara nafas kau - kau menyedut udara dan tidak menghembusnya atau kau menghembus nafas tidak menarik udara lagi. tetapi, tentulah. kau ada mereka yang ingin kau lindungi."

dia memandang lagi gambar di sudut mejanya.

"mereka akan tiba sebentar lagi."

Ahad, 10 Januari 2010

doktorah yang lebih tua daripada malaysia

aku tersesat dalam kuliah.

aku membayangkan doktorah seorang pemandu pelancong di sebuah bandar, atau doktorah merupakan bandar itu sendiri. dia menerangkan urat-urat, pembuluh darah, arteri dan vena, berselirat simpang siur seperti memandu arah jalan-jalan di bandar.

suara doktorah serak-serak. ayatnya satu-satu, sebiji-sebiji, jelas. doktorah mencoret-coret di papan hitam. sesuatu yang kelihatan semua orang faham kecuali aku.


corat-coret doktorah dari pandangan peribadi.
aku tersesat sekitar di mana garis panjang biru bertemu dengan garis pendek merah.


setiap rinci jalan sudah berada di belakang tangan doktorah. arteri ini, dari sini turun ke bawah, bercabang menjadi arteri ini dan ini. vena ini pula akan bertemu di atas bergabung aliran dengan vena yang ini, membentuk lekuk. kemudiannya darah akan di salurkan ke vena yang ini dan ini. dari mahattah raml jalan terus sampai ke medan saad zaghloul, belok ke kiri, lintas jalan, terus lagi. akan jumpa tugu berkuda kemudian terus lagi, masuk ke lorong, masuk kanan selang beberapa kedai......

tahu-tahu saja aku berada di dimensi lain.

tenang.

senyap.

sunyi.

rehat.

gelap.

aku menemukan jalan pulang bila jam sudah pukul 11. segar.

Khamis, 7 Januari 2010

rambang

dalam peperiksaan tamadun cina dahulu kala, calon peperiksaan akan dikurung beberapa hari sebelum mengambil kertas ujian. hukuman untuk peniru? mati.

tentunya ramai sudah tak ada di sini dan, tinggal beberapa kerat orang sahaja.


jantung punya rentaknya. jantung abnormal lebih menarik bunyinya.

kemudian aku teringat ini;





jika kamu meminati puisi, di sini satu sajak chairil anwar:

DOA

kepada pemeluk teguh

Tuhanku
Dalam termangu
Aku masih menyebut namamu

Biar susah sungguh
mengingat Kau penuh seluruh

cayaMu panas suci
tinggal kerdip lilin di kelam sunyi

Tuhanku

aku hilang bentuk
remuk

Tuhanku

aku mengembara di negeri asing

Tuhanku
di pintuMu aku mengetuk
aku tidak bisa berpaling

13 November 1943


bagaimana dikatakan hilang bentuk dan remuk?

Isnin, 4 Januari 2010

langkah

tiba-tiba dia tersedar dia sedang berjalan mendaki anak tangga. langkahnya jatuh satu-satu, kakinya menapak satu-satu; sedang dia tidak pun menggerakkannya. kakinya membawa dia berjalan tanpa kemahuannya. betapa mindanya mengerahkan kaki untuk berhenti dia masih juga berjalan.

lewat kereta-kereta terkandas dalam sesak.

lewat kerumunan orang-orang pulang petang.

lewat lorong-lorong, di mana kanak-kanak kecil berkejaran tertawa.

anak kecil itu mengingatkan dia masa lalunya. pada anak kecil itu dia nampak dirinya. bebas dari bebanan langsung terkecuali daripada peristiwa dan pergolakan di sekitar walau besar mana pun.

dia harap kakinya akan berhenti melangkah. sekurang-kurangnya dia mahu sedar di mana dia tercampak setelah jauh berjalan kerana dia sekarang bukan berjalan dengan kehendaknya.

dan dia pun tidak pasti bagaimana dia boleh sampai ke sini.

Jumaat, 1 Januari 2010

serangan zombie

tahun baru.

entah mengapa zombie tiba-tiba muncul. jalan lengang. serpih-serpih kaca berterabur sana-sini. tengah-tengah jalan ada unggun api. sesekali kereta lalu perlu mengelak api yang dinyalakan di tengah jalan. angin malam berbau asap. di kaki lima, zombie-zombie masih berkeliaran.

kami ke kedai piza Spicy. ada 2 orang tukang masak, seorang juruwang dan seorang pelanggan. kata juruwang, mereka ada khidmat penghantaran piza. cuma tambah LE1. di tengah-tengah serangan zombie pun mereka masih menghantar piza. woah.

kami pesan satu piza sedang dan satu roti gula.

dalam perjalanan pulang kami ambil jalan dalam. masih ada zombie di tepi-tepi jalan.