Memaparkan catatan dengan label mata perjalanan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label mata perjalanan. Papar semua catatan

Isnin, 16 Januari 2012

tahun 2012


hi

jumlah tulisan semakin menurun dari tahun ke tahun. dulu semuanya pengalaman baru. dan semuanya yang baru lama-lama akan jadi lama. dan adjektif lama boleh disamakan dengan bosan.

bosan ni satu penyakit. otak kau bila diberi stimulus sepatutnya akan membalas dengan feedback atau output. namun otak yang bosan hanya mampu meluahkan sekadar "MEH" terhadap apa-apa benda yang berlaku di sekeliling.

contohnya:

input: professor menayangkan slide surgeri COMMANDO - rahang pesakit dibelah untuk nak buang kanser kemudian doktor sambungkan balik semuanya. ada karotid berdenyut. orang tu nampak seperti mangsa eksiden jalan raya dan sepatutnya dah mati. tapi beliau hidup kerana ni bukan eksiden jalan raya tapi satu operasi surgeri COMMANDO. 

output: meh.

hidup di mesir agak ganjil. pelik. 3 tahun tinggal kat mesir tapi tak pandai cakap arab, dan masih gagal memahami budaya arab. kalau alien benar-benar wujud kat bumi barangkali arab ialah alien.

mereka pun tak pernah faham orang malaysia dan jarang-jarang tau kat mana malaysia sebenarnya - kenapa budak-budak yang datang kedai ahmad semuanya pesan nasi + telur + ayam, kenapa tak suka makan roti dan macam-macam lagi.

semua perbezaan budaya mesir dan malaysia ni sebenarnya menarik. benda-benda yang menarik ni merupakan bahan yang elok untuk ditulis dalam blog. mana ada orang nak baca benda bosan.

kenapa orang tulis blog sebenarnya? apa maksud blog?


Khamis, 10 November 2011

merenung api


api di sahara seperti air dalam hutan.
merenung api adalah sebuah hiburan bila tak ada internet. panaskan badan. halau nyamuk. sambil melihat api meliuk mengikut arah angin, kadang-kadang butir-butir baranya terbang ikut sekali. pikiran pun terus tenang seperti api perlahan-lahan menjamah kayu kering yang berkeriang-keriut bila dipatahkan api. sesekali bara api dijolok-jolok walaupun tak perlu.

jam 2 pagi, bulan pun hilang. bintang jadi lebih terang. kayu pun habis. rasa mau melompat masuk ke dalam bara. sejuk makin sejuk. malam ini macam selamanya malam.

Jumaat, 30 September 2011

derbi lembah klang


separuh masa pertama kl mendahului dengan satu gol. ultras kl terus tertari-tari dan melompat. baki 95 persen penonton yang berbaju merah kuning terpaksa sakit punggung dahulu ketinggalan tanpa jaringan.

bila masuk babak kedua, selangor sumbat sebiji. minit 50 lebih kurang. pak cik sebelah - umur lebih setengah abad yang dari tadi menghabiskan gudang garam batang demi batang, sekarang tersenyum lega sedikit. satu stadium gempita dengan sorak.

kemudian sorak surut. tiba-tiba belakang aku basah. seorang kakak kat belakang baling air. muka masam berkerut. marah. laki yang duduk disebelahnya segan. dalam banyak-banyak hari, masa macam pula break-up.

kakak tu terus menuruni anak tangga dengan langkah menghempas. sebelum membelok ke pintu keluar dia pandang kami semua, dari mulutnya terpacul: "selangor babi".


Ahad, 18 September 2011

teluk belanga

entah kenapa aku ialah seorang pelancong dari kl yang butthurt di seberang tambak. dari jb pun dah boleh nampak bangunan dan cahaya di pulau sana namun suasananya lain, macam dah oversea.

orang jb dan singapura tutup kedai jam 9 malam.

dan jangan percayakan gps. tanyalah orang setempat.

Khamis, 3 Mac 2011

visa


dijangkakan kaunter visa balik mesir di kedutaan lebih meriah daripada kaunter tiket konsert justin bieber.

kalau libya pecah perang..


Isnin, 14 Februari 2011

pelarian

rasa macam zaman sahabat berhijrah dulu. baru tau rasanya meninggalkan semua harta milik, tak pasti keadaannya bila pulang nanti.

ada suara yang, katanya: "kalau aku kat mesir, aku ikut sekali berdemonstrasi. ini detik bermakna - revolusi menggulingkan tirani. ikut berkhemah di tahrir. " kata aku, ada pihak yang lebih menilaikan nyawa kami - penaja, famili dan lain-lain, daripada meletakkan diri kami di tengah-tengah kemelut. siapa tak mau menyumbang dalam revolusi?

sejujurnya, pada awal aku rasakan evakuasi ini semua tak perlu. kalau duduk berdiam di rumah sepanjang waktu berkurung semuanya insyaallah selamat. namun kalau dilihat dari aspek lebih besar, risiko itu ada dan kalau berlaku apa-apa pihak atasan akan langsung disalahkan kerana tidak mengambil tindakan. jadi, kami perlu dipindahkan. lagipun, nyawa lebih penting.

seluruh proses pelarian aku mengambil masa seminggu. 5 hari tercongok menunggu sambil dihiris kebosanan membunuh di jeddah. 2 hari baki habis di airport - preposterous. sepanjang kempen pelarian ini, sebuah game kad terup baru hampir tercipta di mana kad jack boleh menewaskan queen, dan kad ace pula merupakan seorang tukang masak di istana.

menurut jangkaan popular di kalangan orang mesir, semuanya akan ok menjelang isnin. jumaat 4 febuari hari mubarak akan mengalah(tewas terus) dan 6 haribulan, keadaan pulih seperti biasa. bila mubarak masih berucap dan berhasrat mengekalkan kuasa pada hari selasa kalau tak silap, aku lega kerana aku telah keluar dari bumi mesir - menonton aljazeera sambil menjamah roti canai di kompleks tabung haji jeddah.

hosni mubarak terus menjadi keldai bila omar sulaiman, secara tiba-tiba mengeluarkan kenyataan mubarak melepaskan jawatannya, tak sampai sehari - beberapa jam setelah aku baru saja tiba di malaysia. dari kaca mata seorang pelajar, peletakan jawatan ini bermaksud cuti pelarian menjadi pendek - takut-takut kuliah akan bermula minggu depan sedangkan kami jangkakan tidak kurang dari sebulan.

namun itu cuma perasaan yang remeh. rasa bersyukur dan bangga menyelaputi hati kami kerana kejatuhan era mubarak, kuda tunggangan amerika dan sekutu, kemenangan untuk seluruh rakyat mesir.

Selasa, 7 Disember 2010

jardin zoologique


ini gerbang belakangnya. taman zoologika (dieja jardin zoologique kerana pengaruh perancis lebih berbekas berbanding inggeris di sini). gerbang ini besar dan lebih gah daripada gerbang hadapan. cuti masuk tahun hijrah baru sekiranya bosan tak tau nak pergi mana, singgahlah.

jika berkunjung jangan lupa melawat rumah singa-singa.

.


Isnin, 22 November 2010

cuti 101 #14


dalam hagia sofia

cenderahati

lagi dijadikan cenderahati

dataran Taksim

Kapadokya, Goreme

wajahnya mengekori kami ke mana saja. potraitnya tergantung di pejabat-pejabat, pada bendera, terpampang besar di sekolah dan tadika.

pelancong mana yang beli mozek Mustafa Kamal Ataturk untuk kawan-kawan dan famili?

Jumaat, 6 Ogos 2010

cuti 101 #13


400 meter di udara, semuanya nampak kecil. kuala lumpur kota metropolitan nampak macam pekan, kereta seperti semut-semut. masalah jadi kecil, tak signifikan berbanding seluruh sistem ekologi rumit perjalanan hidup sehari-hari.

dari platform observasi menara kl dengan teropong jenama nikon berkuasa tinggi, kau boleh meneropong seluruh lembah klang. malah, kalau nak berbuat jahat pada siang hari di kl, mungkin sahaja kau diteropong oleh pelancong dari menara kl dan tahu-tahu sahaja seminggu kemudian kau jadi topik sensasi youtube.


gambar rembat dari koleksi nor akmal.
lensa baru, imej lebih lebar, definisi tertinggi.


Jumaat, 30 Julai 2010

cuti 101 #12


orang airpot tu minta tips. ba'shih. hanya untuk melalukan beg atas conveyor belt dan di-x-ray, mencari potensi terorisme. sambil tersenyum dan menghulur tangan luas. selalunya dalam situasi begitu, orang yang sudah berpengalaman sepatutnya tahu jangan dilayan. dan kalau mengada-ngada menadah muka juga merengek mahu wang, berikan segenih dua, atau terus kata "haram!" atau cakap "maalish ana mish fahim".

tetapi orang airpot tu sempat menambah : "your friend just give isyriin genih. he's a real gentleman".

terus aku buka dompet dan meletakkan wang kertas hijau keras dalam telapak tangannya.

seminit kemudian aku dihantui sesal, kekecewaan, gagal, bengap kerana termakan provokasi orang airpot.

Isnin, 18 Januari 2010

lihat

3 sekawan duduk berbual-bual di stesyen tram. mata semua terpejam atau kelopaknya terangkat sedikit menampakkan putih mata sahaja. masing-masing ada tongkatnya sendiri tergenggam dalam tangan.

tak tahu butir apa yang mereka borakkan.

baju mereka bersih. bersaid. lebih kemas daripada orang yang tidak buta di samping. sedangkan mereka tidak pernah melihat "kemas","cantik" dan "bersih".

hari berikutnya seorang lelaki berkaca mata hitam masuk naik ke dalam tram, dipimpin oleh rakannya. seluarnya berkeredut seribu. dia baru sahaja hilang penglihatan.

sifat, bukan pada pandangan sahaja.

Khamis, 7 Mei 2009

orang miskin, jalan kaya : lapar

ke kuliah lagi seperti pagi-pagi biasa. cuma kali ini perut tidak lagi berkeroncong, malah memainkan irama heavy metal yang berat. tisu-tisu perut dirasakan sudah tercerna sedikit demi sedikit. lapisan mukosa gagal menjalankan tugasnya.

2 minit pertama perjalanan, berjumpa dengan seorang makcik meminta sedekah. "demi tuhan," katanya sambil menadah tangan. kemudian berselisih dengan seorang lagi makcik meminta sedekah sedang berjalan, kemungkinan besar ke tempat biasanya.

hampir ke hujung jalan, berjumpa dengan Mama Nagah pula. ini nama yang kami beri kepada makcik ini. ayatnya setiap kali lalu dihadapannya : "kamu akan berjaya, demi allah." atau yang seumpamanya.

jadi, pagi itu di jalan saad zaghloul ada 3 makcik peminta sedekah.

hampir tiba di kuliah, ada lagi seorang makcik. berbanding makcik-makcik yang sebelumnya yang berbadan gempal, makcik ini kurus kecil. dia bercangkung, berlindung di belakang sebuah kereta dengan tudung labuhnya menutup seluruh badannya yang kecil. angin musim masih dingin. "untuk kamu kejayaan," kata makcik yang kecil itu.

langkah dipercepat. tiap kali otot abdomen tergerak menyinggung perut, pedih-pedih panas terasa. niat memonteng menyelebungi akal sambil bayangan ful dan falafel menyemakkan kewarasan. tidak satu pun daripada 4 orang makcik itu diberi wang sedekah, walaupun suku genih.

mungkin makcik-makcik tadi juga lapar?

Jumaat, 17 April 2009

orang miskin, jalan kaya

catatan baru. mengisahkan mereka yang miskin. miskin bermakna memerlukan bukan pada nilai harta dan wang sahaja.

semuanya berlaku di jalan kaya. dinamakan sempena nama presiden yang terawal, saad zaghloul. jalan ini jalan kaya, orang yang tinggal sepanjang jalan kaya tentunya kaya. malahan jalan kaya ini menjadi antara jalan tumpuan utama kerana kekayaannya. sepanjang jalan penuh kedai-kedai yang menjadi singgahan hujung minggu bagi keluarga-keluarga. kemewahan bandar tertumpu di jalan ini.

kekayaan pada jalan ini menarik ramai. peniaga. pembeli. pesiar. pelancong. dan orang-orang miskin. kemiskinan terdorong ke jalan ini kerana kekayaannya.

melalui jalan ini setiap hari pasti bertemu sesuatu. usaha mereka yang terdorong ke jalan ini mencari penyambung hidup menimbulkan kekaguman yang hebat.

sambung kemudian.

-gambar jalan kaya dipetik dari flickr. bukan gambar terkini. ada masalah ketiadaan kamera.-

Isnin, 9 Mac 2009

kibarkan jalur itu

kredit diberikan kepada aiman khalifah. jalan cerita diputar sedikit bagi memudahkan bercerita.

di luar kedai makan nusantara, di mana kami berjumpa dengan arab yang fasih berbahasa melayu. kami lihat rumah-rumah sekeliling. memerhati rumah-rumah arab yang tinggi-tinggi. kami memerhati kain jemurannya.

kemudian aiman khalifah membuat kesimpulan.
"lihat rumah tu. itu rumah orang baik-baik. dia jemur jubah. ada telekung sekali. mestinya rumah orang melayu. ada jemur kain batik. tepi tu, kain pelikat."

kain pelikat. jalur-jalur. bercorak petak-petak comel.

satu idea tercetus dalam kepala kami.

buat satu post dalam blog, menyarankan orang-orang malaysia yang tertebar di seluruh dunia untuk menyidai kain pelikat atau kain batik di tempat sidaian. untuk memudahkan pengembara-pengembara malaysia, atau nusantara mencari pertolongan di kala kesusahan.

"tapi kalau macam tu, orang nak buyyah pun senang juga. tengok je kain pelikat, mereka label rumah buyyah."

Khamis, 29 Januari 2009

bertemu pakcik misteri

sedang kami berjalan-jalan, kami berjumpa dengan seorang ini. dia lebih tinggi daripada kami semua, wajahnya bercukur tidak sempurna, matanya sedikit kuyu, kelihatan sedikit lebam pada bahagian bawah mata yang terlindung oleh kaca matanya. rambutnya rapi, nipis tetapi tidak botak.

hidungnya tajam, runcing ke bawah. garis-garis dahinya begitu jelas. berjaket kulit hitam, berseluar jeans, berkasut kulit juga. penampilan dia tampak lebih kemas jika dia memakai jaket kulit yang lebih baru, bukan jaket kulitnya yang kusam itu. dia berada dalam lingkungan 40-an.

dia menyapa kami. "hi, malaysians?"

hidung runcing, mata kuyu, sedikit lebam di bawahnya, bercukur tidak sempurna, rambut pendek, dahi bergaris, dalam lingkungan 40-an

kami sudah rasa semacam. selalunya orang mesir akan memberi salam kepada kami, bukan mengucapkan 'hi'.

kami mengiyakan pertanyaannya. menolak tepi perasasan awal tadi kami bersangka baik, bahawa orang ini salah seorang penduduk yang mesra dengan muka-muka asing seperti kami.

terus kepada perbualan kami yang penting. entah mengapa pakcik itu terus melompat kepada soalan: "what do you think about egyptian girl?"

kami memandang muka sesama kami.

kami jawab soalannya seikhlas mungkin berpura-pura tidak memahami maksud yang ingin disampaikan. pakcik itu terus mengasak kami dengan pertanyaannya. diterjemah : "inginkah kamu meluangkan masa 2 atau 3 jam bersama gadis mesir?"

kami orang-orang mempunyai iman, yang berasal dari budaya yang sopan, menolak ajakannya baik-baik. mungkin lain kali, jawab kami - yang bermaksud sekali-kali kami tidak mahu menerima ajakannya; jika pakcik itu faham budaya berlapik dalam kata-kata.

kemudian dia mempelawa kami untuk menukar mata wang dolar. kami katakan tidak.

bila pulang ke rumah, kami bercerita sesama kami, dan mengetahui bukan kami sahaja bertemu dengan pakcik itu.

Jumaat, 23 Januari 2009

selipar malizi

berlaku sekali lagi setelah sekian kalinya.
kami baru sahaja hendak melangkah masuk ke mabna bait tullab malizi sebelum kami ditahan seorang warga iskandariah yang ingin bertanya. bangunan asrama masih baru, dan warnanya agak istimewa. tidak hairanlah bangunan ini mencetus banyak persoalan.
(matanya memandang selipar kami dahulu.)
"what do you do? your job, here," tanyanya.
kami kata, "kami pelajar malizi, ini asrama kami," balas kami mesra.
"owh. okay. maa salamah."
kami memerhati warga iskandariah itu pergi. budaya berlainan negara tentunya berbeza, apatah lagi berbeza benua.

Ahad, 11 Januari 2009

kisah 2

jumaat lepas, bersebab lagi-lagi serangan orang-orang jahat terhadap penduduk Gaza satu rapat umum berlaku di hadapan Masjid Ibrahim, Gamek Ibrahim, Iskandariah. muslim dan muslimat berduyun-duyun berkumpul di hadapan masjid, dari ibu-ibu dan bapa-bapa hingga ke anak-anak. masing-masing bawa bersama bendera Palestin bersaiz kecil hingga ekstra besar.

pasukan keselamatan yang berkawal pun bukan calang-calang banyak. berlori-lori.

kemudian seorang kawan, terkesan dalam matanya keinginan yang betul-betul. dia mahu menggambari suasana dengan fotografi. kami kata : bahawa ini bukan negara kita baiklah tidak difotograf. lagi-lagi dengan pasukan keselamatan yang berlori-lori.

keputusan akhir, kami lihat sahaja suasana dari jauh, luar lingkungan manusia yang rapat-rapat.

tukang beri kata-kata ceramah berbahasa arab. kami tak faham maksud yang disampaikan, lagi-lagi hanya mendengar dari jauh. suara semangatnya sayup-sayup kedengaran. diselang-seli dengan takbir. hati sesama muslim punyai tauhid, walau kami tak faham ceramahnya, kami terasa semangatnya.

dalam berjalan pulang kami nampak semua mata menumpu ke arah Masjid Ibrahim. orang-orang menunggu tram berdiri di hujung stesen, mengarah ke masjid. pakcik-pakcik sedang berasap syisya, minum teh dan kopi panas menikmati masa mereka.

untuk sudut kotak lain, klik sini.

(begitu dekat)

Jumaat, 9 Januari 2009

kisah I

ada makcik ni. kerjanya mengutip sampah. atau apa saja yang kamu anggap sampah. makcik ini tidak begitu. makcik melihat dari sudut lain, menganggap dari juru berbeza. kerana, kamu patut tahu, makcik ada satu kesusahan ini.

tidak. makcik bukan perempat.

makcik berumah. sambil kamu jalan, kelihatan rumah makcik dari jauh. atau apa yang kamu tanggap sebagai rumah itu berbeza. rumah patut ada ini : tempat tidur, tempat berehat, tempat berlindung - semasa sejuk musim dan panasnya, teduhan daripada hujan, berlindung daripada matahari.

patutnya dan selayaknya, rumah makcik dianggap rumah.

sebab itu,makcik akan melalut, bermonolog, berdialog dengan angin kosong setiap kali kamu lalu. pandangan kamu lontarkan merendahkan nilai rumah makcik, yang susah-susah makcik buat sendiri. makcik betul-betul marah, mungkin.

masalah makcik, makcik dikacau orang.

makcik tidak pernah kena halau. pandangan-pandangan mata dah lama tidak mengacau rasa makcik. begini. orang selalu dengki dengan makcik. mereka ambil harta-harta makcik. makcik dah susun elok-elok di tepi rumah; botol-botol, kotak-kotak, plastik dan barang kaca tetap kena cekau.

satu tengah hari, seorang budak datang. dia cekau barang-barang makcik, masukkan dalam tongnya. budak itu tinggi kuat. makcik marah. budak itu pun marah sama. sama-sama marah. makcik tolak tong budak itu. habis berterabur semua di tengah jalan. kereta-kereta tak boleh lalu pasal tong itu merintangi jalan.

kemudian makin bingit.
makcik mencarut. budak mencarut.
kereta di jalan tekan hon tak henti-henti.
budak mengeluarkan tinjunya. makcik tak mampu elak.

petangnya makcik kelihatan bertampal dahi kirinya. ada merah-merah pada tampalan dahi makcik. setiap kali orang lalu makcik akan marah-marah.

(saksi secara langsung)

Rabu, 15 Oktober 2008

jiwa

Idris Tawfiq, penulis dengan jiwa.


www.idristawfiq.com

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Untuk walad tukang pandu kuda;
tiada ubat untuk kebodohan
tapi ruang blog terlalu terpencil untuk walad ketahui
oleh itu
aku akan berdoa agar walad
satu hari nanti belajar menggunakan akal.
Dan tidak lagi melibas-libas cemeti.

-walad carut dalam bahasa arab, kami faham.-

Isnin, 22 September 2008

kaherah

Kaherah.
Musim panas,
zahmah, sibuk dan bising
berdebu-debu
tahi hidung keras datang bertalu-talu.
Perbezaan bahasa masih
menjadi masalah.

"Ammu, ana tolib gadid
ulli bissarahah lau samah."

ok.