Memaparkan catatan dengan label cakap-cakap. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label cakap-cakap. Papar semua catatan

Isnin, 17 Disember 2012

Apokalips


Matahari tiba-tiba terbit belah barat!

Sejujurnya kalau esok pun dunia akan berakhir, apa salahnya? Sekurang-kurangnya kita akan bersama-sama dalam semua ini.

Dan tak kah kau mau tengok macam mana semuanya akan tamat?


Ahad, 11 Mac 2012

tourism

semua cenderahati asal dari republic china.

Selasa, 31 Januari 2012

drifters


suatu masa dulu cikgu suruh lukis gambar "cita-cita saya". majoriti kawan-kawan menggambarkan dirinya jadi cikgu. kemeja pendek tuck-in, seluar slack atau berbaju kurung biasa dengan tag nama tersemat di dada sambil merangkul buku catatan kelas.

semua kawan mencuri tengok apa yang dilukis orang lain. ada yang mau jadi askar berseragam celoreng. ada juga yang bercita-cita menjadi posmen - berdiri di samping motosikal dan bertopi keledar.

aku lukis gambar orang berseluar pendek melompat nak smash bulu tangkis.

cuba tanya posmen yang hantar surat kau tiap-tiap hari. ajak borak sambil minum teh. dulu dia lukis apa masa sekolah rendah.




Jumaat, 11 November 2011

miss call


seorang yang bijaksana telah berkata: jangan mencari bahagia bukan di tempatnya.

kalau tercicir sebentuk cincin pada malam hari, secara logiknya carilah di mana jatuhnya cincin itu. buka mata luas-luas dan meraba-raba tanah jika perlu.

dan akulah orang yang terus berkeliaran bawah tiang lampu sebab cuma di situ ada cahaya walaupun barang yang tercicir tersorok dalam gelap.

cuba korang miskol jap.

Rabu, 24 Ogos 2011

lau

pada satu hari ni, kami sengaja lambat ke kelas. encik hosam pun jarang datang awal. tepat jam dua petang baru kami bergerak (kelas sepatutnya mula jam 2) , tak menahan teksi bahkan kami naik tram - pengangkutan yang paling kurang pantas di dunia.

bila lalu di satu lorong ni, seorang tua renta bertongkat dengan bengkung leher terketar-ketar menapak langkahnya. rupanya pucat dan tak ada yang menemannya jalan. mungkin tua ini lari dari wad kerana marahkan anak-anaknya lalu mengambil teksi untuk pulang seorang diri ke rumahnya yang kosong setelah isterinya meninggal. atau mungkin dia tak pernah berkahwin pun dan hidup sendirian.

apa pun, berjalan bukan kudratnya dan dia terpaksa menyerah kepada sakitnya. dia berhenti menapak dan melihat gerun anak-anak tangga dihadapannya untuk naik ke atas. naratif ini berlaku semasa kami sedang berjalan ke arahnya lebih kurang 10 meter untuk menuju ke stesen tram.

bila menghampiri si tua, dia menggumam perlahan seolah-olah ayatnya tertelan dan suaranya tersangkut-sangkut dengan kahak. kawan aku lebih dahulu terkehadapan. aku pula kurang menangkap suara si tua. namun dalam situasi begitu, bahasa lisan bukannya alasan untuk tidak faham maksudnya. ada bahasa kemanusiaan yang paling asas: meminta pertolongan.

pada waktu itu litar logik aku seakan menemui ralat sintaks. ada kelas yang sedang aku terlambat datang. ada pula orang ini. perbalahan moral - membantu orang tua menentang kepentingan peribadi - namun alasannya cukup kukuh; terlambat ke kelas serta tambahan, mana mungkin tak ada pemuda lain yang akan lalu di lorong ini sebentar lagi yang akan membantu. di hujung lorong ada si penjual sayur, dia pasti akan membantu.

aku mengambil keputusan untuk terus berjalan tak mempeduli. lagi pun wajah asing seorang malaysian tentunya dianggap tak faham bahasa arab, dan aku pun pura-pura tak faham.

rasa sesal sekejap saja datang selepas itu menyerbu menerjang tak henti-henti sehari suntuk.

kalau-kalau itu cuma pementasan babak konflik seharian rancangan "lau kaana bainana" , barangkali wajah aku akan dikaburkan kemudian akan dinasihati oleh pengacara program (yang menyorok di belakang tangga) dengan hadis buat tayangan umum satu mesir. tv alhijrah pun dah lama menyiarkan rancangan ini di malaysia.


-mengisi kekosongan blog dan masa pada bulan ramadan-

Jumaat, 19 Ogos 2011

fragmen #6

ini projek tahun lepas, perenggan pertama:

Air dalam longkang beriak-riak kecil, berudu dan jentik-jentik bermain di permukaan. Lumut-lumut bewarna perang karat setona dengan merah tanah di tepi longkang. Memang di sini tanahnya sentiasa perang, merah atau jingga. Adik mendakwa anak-anak ikan tinggal dalam longkang ini. Cubaan untuk meyakinkan adik bahawa mereka sebenarnya berudu dan jentik-jentik terpotong bila suara dari dalam rumah memanggil.
sampai sekarang belum siap.

kalau setahun begini sebentar.

Khamis, 21 Julai 2011

drama: tahajjud cinta


Kalau secolet spesimen DNA yang diambil dari seseorang boleh menggambarkan seluruh sifatnya, tidak keterlaluan kalau kita rumuskan mesej dan kualiti seluruh drama siri ini dengan hanya menonton 13 minit dari salah satu episodnya.

klik sini.

Protagonis utamanya saya rasa wanita yang bernama Seri. Atau Sri. Seorang pelajar di timur tengah. Berniqab. Tetapi terselak niqab itu oleh tangan nista kawan lelakinya yang hilang kawalan perasaan. Kata lelaki itu (tak tau namanya): "dah tiga tahun kita berkawan Sri, tapi saya tak pernah pun nampak wajah awak".

Sri marah dengan tindakan lelaki itu. Dia terus-terusan mengelak dari berjumpa setelah pulang dari kembara padang pasir - berkhemah unggun api tengah padang pasir, melawat gua-gua dan makam berlitup kain hijau (saya tak tau makam apa).

"Takkan la perkara kecil macam ni awak nak hukum saya sampai macam ni sekali."
"Kecil awak kata??" tanya Sri kehairanan berbaur rasa marah.

Mereka kelihatan seperti seorang penuntut jurusan agama/syariah berdasarkan pemakaian mereka yang thiqah pada mata mana-mana orang pun. Namun tindakan lelaki itu tidak mencerminkan akhlak yang sewajarnya, sekali gus memberi gambaran yang mengelirukan tentang pelajar-pelajar di Jordan sana. (latar tempat macam Jordan sebab Mesir pemandangannya lain)

Kemudian lelaki tersebut mati dilanggar kereta yang dipandu pak arab. Mati eksiden jalan raya merupakan plot paling lapuk dalam sebuah cerita, berulang kali digunakan dalam mana-mana drama - paling kerap di Malaysia, terus dikitar semula untuk menamatkan riwayat seorang karakter. Malah lakonannya pun kurang meyakinkan - juling mata sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Tahajjud Cinta merupakan drama siri yang mengecewakan dengan tambahan mesej yang disampaikan mengelirukan, hasil dari kerakusan penerbit ingin membuat drama "Islamik" yang sedang popular sekarang ini.

Senang saja formulanya, cuma perlu tambah perkataan arab/islamik kepada perkataan cinta.

Fesyen rambut yang dipopularkan datin seri rosmah.

Kenapa mesti ada lagi elemen "Datuk Datin" ? Ada ke orang pakai baju batik tengah-tengah malam? Berpuluh tahun industri perfileman berkembang di Malaysia, namun masih gagal keluar dari kongkongan klise.


Isnin, 11 Julai 2011

source code


garis merah menunjukkan tamat 8 minit, di mana meletupnya
keretapi komuter chicago


gambar rajah atas boleh menjelaskan bagaimana mesin source code mengubah masa sekarang. awal cerita, walaupun Christina berjaya diselamatkan namun Kapten Colter Stevens mati. maka masa sekarang gagal diubah dan Christina tetap terkorban dalam letupan itu.

bila akhirnya bom dapat dimatikan dan pengebomnya berjaya ditahan, Steven berjaya untuk "tidak mati", lalu garis merah pada gambar rajah di atas terpadam - lantas mengubah masa sekarang.

adakah Stevens dapat menghidupkan kembali christina yang telah pun mati?

jawapannya ya dan tidak.

Fakta: source code bukan mesin perentas masa. semua mangsa letupan tetap terkorban.

apa yang telah Steven ubah cuma sebuah dimensi sejajar . dalam dimensi itu, Christina hidup dan source code belum pun dicuba keberkesanannya.

semua yang tertulis di atas merupakan spoiler.

r.i.p.


buat reviu filem boleh tak?

Selasa, 28 Jun 2011

bashamel

waktu musim panas jangan ada rasa mengidam makan bashamel. selalunya pasta tersebut akan dipamerkan depan kedai terdedah dan lalat pula aktif pada musim panas. kalau di malaysia, makan bashamel waktu musim panas sama seperti makan nasi lemak tepi jalan dan bekas nasi dibiar terbuka menadah debu.
-iklan-

bertentangan dengan pendapat popular, revolusi bulan febuari lepas walaupun kerusuhan dan tidak tenteram di mana-mana, merupakan satu tempoh yang benar-benar "aman".

rakyat mesir sepanjang tempoh seminggu kurang membuat bunyi, lebih tenteram dari huru-hara seharian. tak ada kereta gila mengehon dan pemandu yang marah. petang-petang orang besi buruk tak terjerit-jerit "BELKIAH!"

bunyi laut belah malam lebih mengharukan. jalan langsung lengang, kadang-kadang terselit bunyi bertih, peluru dilepaskan dari kejauhan yang tidak menghiraukan - kami selamat dalam kehangatan rumah: menikmati teh tarik panas sambil memborong pukal apa-apa saja filem yang ada.

sejak bekas presiden mesir memutuskan internet seluruh negara, semua orang tidak lagi menghabiskan masa bersosial secara digital dan sebaliknya lebih banyak berinteraksi dengan orang-orang yang sebenar di dunia sebenar berbanding menconteng di dinding maya.


tak ada keresahan dan susah hati. semua orang ada dan dekat. malah lebih rapat dari waktu aman. tak ada keberatan, kami bangun pagi dapat menghirup udara yang lebih segar dari biasa.

tujuan entri ini ditulis?

saya mau satu lagi revolusi supaya saya tak perlu sesak seperti sekarang.

Ahad, 26 Jun 2011

fragmen #5


dulu-dulu, saya pernah mencuri dua ekor ikan bilis yang belum disiang dari dulang atas meja, kemudian berlari ke bilik air dan melepaskannya dalam kolah.

ikan bilis itu terapung. bergerak-gerak antara riak dan gelombang air. saya cuit sedikit, namun tak ada respon.

saya keluarkan ikan bilis itu dan letakkan pula yang satu lagi.

sambil menunggu ikan bilis itu berenang saya menampar-nampar permukaan air dan mendagu pada kolah yang basah.

Khamis, 17 Februari 2011

subkonsius


kerana lama meninggalkan tv sebagai sumber informasi dan hiburan, ibu jari tercari-cari butang fast forward pada alat kawalan jauh.


Rabu, 1 Disember 2010

rujukan

Dua belah kening Professor terangkat, dahinya sekali berkeredut. Jalur-jalur tuanya semakin jelas. Tanyanya: mana rujukan awak? Kemudian tangannya terketar-ketar - barangkali menahan marah dan menyelak satu-satu helaian asainmen bertulis. Dia lihat nota pada muka surat terakhir, pada belah bawah. Tersenarai url panjang, 'en.wikipedia/...'.

"Wikipedia is not a reference!!" herdiknya.


apa yang tertulis di atas cuma dramatisasi dengan sedikit tambahan perisa emosi sahaja. namun yang lebih dahsyat boleh berlaku.

sekiranya menyalin tampal artikel wikipedia, gunakan daftar "reference" di bahagian bawah sekali. ini mungkin dikira menipu namun terdapat sedikit jalur kebenaran kerana artikel yang disalin dirujuk dari sumber bawah daftar "reference", bermakna anda juga merujuk kepada rujukan-rujukan itu. istilahnya dalam inggeris, "white lie".

kalau wikipedia bukan rujukan, apa sebenarnya wikipedia?

Rabu, 16 Jun 2010

bisu

kalau anda pergi ke laman fifa, di bar atas belah kanan akan ada pilihan bahasa. arab, inggeris, france, mandarin. paling kanan sekali ada lambang tangan. itu pilihan untuk bahasa isyarat internasional. pagi-pagi buta jam 3 aku menonton berita liputan piala dunia dalam bahasa bisu. tak ada bunyi langsung melainkan beberapa saat awal, bunyi-bunyi efek canggih semasa logo afrika 2010 keluar.

tukang berita bersilang tangan, mengerut dahi, kadang-kadang senyum, kadang-kadang menyeringai - melibatkan banyak ekspresi emosi menggantikan butir-butir kata daripada kerongkong. 8 minit bercakap tanpa bertutur. buat kau rasa bersyukur dapat mendengar dengan sempurna.

dan daripada segala bahasa pertuturan yang indah, puisi-puisi, pantun, prosa dan ayat, beberapa perkataan keramat ringkas yang jauh daripada sopan juga perlu.



dan korea utara, negara tertutup dilabel paksi teror mampu bertahan dan menjaringkan satu gol menentang brazil. pasukan nombor satu dunia menentang pasukan nombor 105. tak mustahil malaysia muncul di piala dunia 2018 kan?

Rabu, 9 Jun 2010

paru-paru besi


tiub besi ini merupakan alat bantu pernafasan untuk mereka yang lumpuh otot pernafasan akibat dijangkiti polio. perhatikan pada mata pesakit kecil di atas. matanya menjeling tepat jurufoto ketika lensa diacukan kepadanya.

kanak-kanak sepatutnya gembira, berlari-lari dan aktif. tetapi budak di atas terbatas aktivitinya kerana sakitnya. jauh daripada menarik muka panjang, sedih, ada sedikit determinasi daripada pandangannya - mahu keluar daripada paru-paru besi.

mungkin kerana dia masih kecil, dia tak mampu membaca nasibnya yang lumpuh pernafasan, maka dia tak putus asa. berfikir terlalu panjang kadang-kala tak membantu, dan bukan kuasa kita meramal masa depan.











owh, dan terima kasih kepada an.an.an.

Rabu, 24 Februari 2010

ahmed keluar rumah

ahmed keluar rumah. sebelum keluar tadi dia sudah pastikan air, api dan letrik dimatikan. tingkap bertutup. sinki bersih. sofa disusun dengan rapi. kain siap terlipat dalam laci. baju busuk dimasukkan dalam mesin basuh, disetkan pada kitaran mod A pada suhu 40 celsius. fail torrent dan muat turun dipastikan sedang berjalan, kemudian skrin digelapkan. perangkap tikus dibubuh belakang dapur. cadar katil tegang.

ahmed memegang tombol pintu. dia tertinggal satu.

kreeekkk, bunyi kaki kerusi bergesel dengan lantai jubin marmar. kerusi meja makan perlulah ditolak masuk, bisik ahmed seorang.

setelah menutup pintu dan menguncinya ahmed letak kunci bawah alas kaki welcome.

Jumaat, 15 Januari 2010

dari mana

+dari mana virus datang?

-apa sebenarnya virus?

+virus tu bukan haiwan. tak ada tanda-tanda hidup, tak mati.

-wah. sungguh hiperbola.

+ya lah. virus cuma sekuen asid nukleik terbungkus dalam satu semacam kapsul. kemandiriannya hanya boleh diteruskan bila menceroboh masuk ke dalam sel hidup. hanya jalinan DNA atau RNA namun ada fikirannya untuk mengganda dirinya.

-hebat.

+pendapat kau? dari mana asalnya?

-entahlah. rasanya datang dari benda yang hidup. yang ada DNA, RNA dan semua tu. mungkin datang dari manusia.

+?

-manusia. mungkin orang-orang yang tak ada perasaan selain benci dalam hati. orang yang membenci semuanya. sekelumit kasih pun tak terkesan dalam hati. setiap nafasnya sarat benci. kemudian selnya berubah. menjadi sel-sel virus.

dari nafasnya yang penuh benci, dia menyebarkan virus kepada orang lain. dalam kata lain, virus itu sendiri perasaan bencinya. dia menjangkitkan orang lain dengan rasa benci.

+kau minum kopi terlampau banyak. kau meracau.

-oh ya.

(jeda sebentar)

-dari mana ikan datang kat tasik buatan?

+orang campak ikan ke dalam tasik. mereka membiak lagi pantas dari yang kau sangka.

Khamis, 7 Januari 2010

rambang

dalam peperiksaan tamadun cina dahulu kala, calon peperiksaan akan dikurung beberapa hari sebelum mengambil kertas ujian. hukuman untuk peniru? mati.

tentunya ramai sudah tak ada di sini dan, tinggal beberapa kerat orang sahaja.


jantung punya rentaknya. jantung abnormal lebih menarik bunyinya.

kemudian aku teringat ini;





jika kamu meminati puisi, di sini satu sajak chairil anwar:

DOA

kepada pemeluk teguh

Tuhanku
Dalam termangu
Aku masih menyebut namamu

Biar susah sungguh
mengingat Kau penuh seluruh

cayaMu panas suci
tinggal kerdip lilin di kelam sunyi

Tuhanku

aku hilang bentuk
remuk

Tuhanku

aku mengembara di negeri asing

Tuhanku
di pintuMu aku mengetuk
aku tidak bisa berpaling

13 November 1943


bagaimana dikatakan hilang bentuk dan remuk?

Isnin, 21 Disember 2009

matahari barat


simbol atau grafiti ini terlukis pada batu penahan hakisan sepanjang pantai. keringkasannya begitu menarik. 4 oval dan 2 garis. kemudian pada batu sebelahnya akan ada tulisan. antaranya: adakah kamu redha adik perempuanmu diperlakukan sebegini.

warna petang jingga pekat. pakcik-pakcik 40-an membawa dulang dengan 2 cawan teh untuk 2 orang yang sedang duduk atas batu menghadap laut. pemancing dengan joran panjang pulang ke rumah. sekejap lagi maghrib.

pemancing dan pakcik teh juga pernah satu masa dahulu, muda.

Sabtu, 19 Disember 2009

bercerita bersama professor

beberapa hari lepas seorang professor bercerita semula pengalaman abangnya ke malaysia. katanya, abangnya itu bergambar di hadapan menara berkembar. tinggi. puncaknya tidak termasuk dalam gambar. katanya, abangya kata kuala lumpur indah. dia menyambung lagi, ketika abangnya bersiar-siar hari cerah sekelip mata jadi gelap; air turun tiba-tiba bagaikan kolong langit sudah terpokah. mencurah-curah air membasahi kuala lumpur.

"and then there was *poww*!!" sambil melukis garis-garis tajam atas kertas.


kami ambil masa beberapa saat untuk faham, professor memaksudkan guruh. petir. kilat. dan kami faham betapa jarangnya kilat,petir dan guruh di tanah airnya.

sedang mendengar cerita professor, segalanya tergambar jelas dalam fikiran. kami nampak lopak-lopak air di kaki lima, orang berpakaian pejabat berlari mencari teduhan; malah bau-bau besi awal hujan pun kami ingat. selepas hujan akan ada sisa-sisa hujan melekat pada hujung daun-daun pokok, atau menitik perlahan-lahan dari atas atap.

beribu batu jauh dari rumah, kami nampak indah dan istimewa tempat sendiri berbanding tempat orang. jarak telah mengajar kami. sama seperti melihat seisi kuala lumpur dari udara. anda perlu berada tinggi beberapa ribu meter di udara untuk melihat keunikannya.

"kuala lumpur is a beautiful place. there's a beach in kuala lumpur isn't it?" tanya professor.

Sabtu, 5 Disember 2009