Memaparkan catatan dengan label al-kisah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label al-kisah. Papar semua catatan

Ahad, 31 Mei 2015

selfish


“Kau ingat pertama kali kau mengalami krisis kewujudan?” dia mendekatkan mukanya yang berminyak sambil menjegilkan mata. Beberapa helai rambutnya terjuntai dari ubun-ubun mencecah kening ditarik kembali ke sisi. Senyum. Sebaris gigi yang sempurna tapi kekuningan di tengah.

Katanya dia masih ingat. Ibunya menyuruh dia mengemas bilik dan mencuci pinggan di sinki. Dia asyik khusyuk dengan PSone, mata terpaku pada skrin televisyen tiub 20 inci. “Buat apa kemas bilik, nanti kecah balik. Pinggan tu pun sama,” jawabnya. Kemudian dia terfikir, buat apa mandi kalau akan busuk esok paginya. Makan kemudian lapar selepas 4 jam. Menyapu kembali berhabuk.

Hidup. Kemudian mati.

“Ah! Aku rasa macam dilanggar sebuah lori pasir. Seluruh hayat aku akan berakhir suatu hari nanti. Setelah aku sibuk berkehidupan. Berusaha sepenuh usaha. Habis! Begitu saja!” dia memetik jari laju-laju. “Tamadun manusia berganti-ganti cuba untuk terus kekal megah hanya berkesudahan menjadi batu dan debu! Kau tak rasa ini satu kesia-siaan?”

Dia menyambung ceritanya: lama dia bermenung memikirkan tujuan permainan kewujudan serta hidup ini namun tak pernah jumpa jawapannya. Dia yakin semuanya sia-sia. Benar-benar yakin Lantas dia mahu orang ramai tahu betapa permainan ini tak bermakna. Suka, duka, seronok dan luka cuma perisa penambah yang remeh untuk diendahkan sepanjang “hidup” (sambil membuat isyarat dengan telunjuk kanan dan kirinya).

“Marilah kita bertemu pencipta dengan sebuah letupan nuklear! Bersama!”

Dia menekan butang merah.

Dari jauh kelihatan sebuah matahari merah dari arah barat diikuti dengan dentuman letusan memecahkan cermin-cermin dan kaca. Kepulan awan berbentuk cendawan muncul serta merta mencecah horizon.

Khamis, 24 Mei 2012

Ada satu kucing ini


Seorang kucing berjalan pantas. Dia berwarna coklat perang, hitam dan putih. Empat kakinya yang halus itu putih semacam dia memakai sepasang celana putih - saling bersilang kanan dan kiri tergesa-gesa dengan ekornya terangkat-angkat sedikit. Tak ada orang yang mengejarnya. Tak ada buruan di depan yang dikejar. Namun seorang kucing ini tergesa-gesa menuju kafeteria.

Bila sampai di kaunter kafeteria, dia berdiri di celah-celah orang menunggu kopi dan teh siap. Dia mundar-mandir seketika. Menengadah ke atas, menoleh ke kanan, kiri. Kemudian barulah dia tersedar bahawa dia bukan manusia tetapi cuma seekor kucing. Satu ringgit pun dia tak punya.

Selesai dari sedarnya dia melompat ke tingkap berhampiran dan barangkali kemudian mencuri segigit roti dan seteguk teh.


Ahad, 29 Mei 2011

sepasang

ada sepasang stokin.

umum sudah tahu, stokin tercipta berpasangan. tak ada dijual sebelah.

jadi bila satu stokin ini, pada satu hari telah terjatuh dari longgokan baju kotor langsung tersorok bawah katil. ditelan bayang-bayang. temannya sehari-hari cuma bebola habuk atau lipas dan tikus yang tumpang lalu.

masa beralih. sebelah stokin itu masih di pojokan gelap bawah katil, dan pasangannya telah digandingkan dengan satu stokin lain yang hampir sama warna, juga yang telah kehilangan pasangannya.

sampai waktu yang tertakdir ketika sedang mengemas rumah, pemilik stokin menemukan stokin yang tersorok di bawah katil. sudah berlubang sana sini digigit lipas atau tikus. lalu stokin itu diambilnya dan dijadikan kain buruk buat mengelap tingkap, para-para, kerusi dan meja.

seusai mengelap, stokin itu - yang sekarang hanya kain racik buat membersih dibilas dan digantung pada ampaian. bersama baju-baju basah yang lainnya. bersama kelompok stokin yang lain. betul-betul sebelah pasangannya yang dahulu itu, sekarang sudah sedikit pudar dan getahnya landur.

ketika itu, tuhan memberikan mereka lisan untuk berkata.

"hai."

kemudian angin bertiup kuat, bermulanya ribut dua hari melanda sepanjang mediterranian. semua kain sidaian terlepas dari sepitan. terus hilang tak dijumpai lagi.


Selasa, 8 Mac 2011

balang kaca

ada satu balang kaca. atas puncak bukit. antara bilah-bilah rumput. bagaimana balang kaca berkenaan boleh ada di situ tidak diceritakan. dari puncak bukit kelihatan lampu-lampu dari rumah dan jalan, oren dan putih bersama lampu merah kereta sentiasa bergerak. bulat-bulat jingga berbalam-balam.

hujung pemandangan disekat banjaran titiwangsa mengunjur ke selatan semacam lembaga besar berliput kabus dan pencemaran udara.

dalam balang kaca ada Paul. dia lihat semuanya dari sebalik ketebalan balang kaca. dia dapat rasa hujan dan embun dari dalam. kadang-kadang bila cuaca betul-betul sejuk, dalam balang kaca akan muncul renik-renik air teruap.

satu hari dia membuat keputusan. hendak turun ke bawah bukit. dan itu bermakna dia akan tercampak, terlontar di dalam balang. balang itu akan terguling-guling, memusingkan Paul dan menghentamnya. Paul memberanikan diri. masa itu hampir terbit matahari ketika ayam-ayam pagi mula berkokok.

Paul melihat pemandangan atas bukit sekejap. dia menyimpan imej itu buat bekalannya.

satu, dua, tiga. balang kaca itu pun berguling dari puncak bukit. memecut. dan memecut. terus memecut. sambil Paul terjerit-jerit dalam balang kaca. awalnya dia menjerit kerana cuak dan tidak pasti. kemudian dia menjerit seronok. bila sampai di kaki bukit, balang kaca Paul berhenti berguling. Paul terlentang menengadah. balang kacanya sudah comot dengan lumpur dan rumput mati.

dia menarik nafas lega. sebentar. seminit selepas itu dia memaksa balang kacanya berguling lagi. dia dengar bunyi air deras hampir. semakin hampir. plop!! balang kaca jatuh ke dalam sungai. Paul tahu sungai akan menghilir mengalir ke muara. pengembaraan Paul baru saja bermula.

harapannya, balang kaca akan pecah bila sampai di muara nanti sebab dia mahu berlayar pula.

Rabu, 26 Januari 2011

love in the time of malaria


siapa sangka, akhirnya mereka - encik microgametocyte dan miss macrogametocyte, ditemukan dalam perut halus seekor nyamuk. mereka kemudiannya bahagia hingga ke hujung hayat.


walau parasit sekalipun, mereka juga tentu ada perasaan(?).

.

Isnin, 31 Mei 2010

mesej ke planet jauh

**teet**

**teet**

**teet**

hanya ada bunyi statik sahaja. tak ada balasan.

kapten kapal penjelajah mencuba sekali lagi.

**teet**

**teet**

**teet**

kapten melepaskan keluh berat, mengarahkan kapal menuju ke arah bintang orion di sudut galaksi sana.

mungkin di sana ada planet yang dihuni.

(kapal perlahan-lahan bergerak. tak ada api biru menujah pergerakan kapal. bahan api sudah lama habis. hanya tarikan graviti antara jirim planet menggerakkan kapal.)

mesej ke planet jauh.

Ahad, 25 April 2010

ulat

bentaknya, dunia ini tidak adil.

sesiapa saja dijumpainya yang begitu bermurah menderma sedikit masa menadah telinga mendengar, dia akan meluahkan berontakan isi akalnya. dalam metro, sementara menunggu bas, pemandu teksi, penjaja makanan, pengawal keselamatan, kucing, pokok kelapa dan lumut di atas batu merupakan pendengarnya setakat ini.

setelah ditimbang-timbang, dia yakin bahawa tiada secebis walaupun, kesaksamaan di dunia. nilai keadilan cuma perspektif - berbeza mengikut pihak, hanya yang terkuat mampu mendeklarasi kata adil. dan hanya mereka yang mampu mengangkat pedang keadilan lalu mencantas potong kerat cincang lumat hal-hal yang celaka durjana untuk dihapuskan langsung daripada kewujudan.

hajatnya, dia mahu putar kembali masa, kembali kepada asal kejadian masa untuk dilahirkan sebagai cacing parasit. hepatica, fashiola, gigantica, dan entah apa-apa lagi namanya: itu semua hajatnya. mahu ambil semuanya tanpa memberi sedikit pun. kemudian semuanya hanya perlumbaan, jika mereka - si hos, mati dahulu, dia akan mati kendian dalam jasad reput yang dia sendiri rosakkan.

jika dia perlu mati dulu, dia akan ke organ-organ penting, otak barangkali, biar dia membusuk di situ supaya dia akan diingati selalu. dikenang sebagai parut. tutup banyak mana pun dengan segala tisu fiber, diganti sel glial dan apa pun, dia akan masih di situ. jejaknya akan ditinggalkan. tak boleh dipadam. kekal.

hatinya melonjak gembira. dan mereka akan cacat, membawa kesannya sampai bila-bila. parut itu akan menjadi tayangan bersama kecacatan yang telah dia akibatkan. dan akhirnya dia tahu mereka akan kembali menjadi tanah. sedangkan telur-telur dia terus tersebar menular, menjangkiti seberapa ramai lagi orang-orang yang sama.

dia tidak kisah. siapa saja yang mengambil kira berontaknya. mana tahu dia benar-benar seekor cacing parasit dan tersesat di mana-mana organ penting.

.

Ahad, 28 Mac 2010

fragmen #4


"kamu tahu, ke mana perginya masa-masa yang dibuang?

mereka ke dimensi lain. lalu membentuk sebuah lubang, lohong dalam dimensi kita yang menyedut masuk segalanya.

sekarang separuh dunia sudah ditelannya."

keringat sejuk merenik dihujung dahinya.

"semua,kau yang punya pasal."

kemudian dia mencabut earphone, mematikan komputer, solat zohor,
dan keluar rumah untuk menyelamatkan dunia.

.

Ahad, 21 Mac 2010

tentang lasman

klik pautan di bawah untuk membaca cerita yang sederhana panjang.

pautan.


dan klik berikutnya untuk menonton filem epik kamen rider.




Khamis, 4 Februari 2010

bukan pada buku

ilmu di dada bukan pada buku, bermakna kita perlu bersatu bersama ilmu. ilmu perlu jadi sebahagian daripada kita. sebahagian daripada daging kita. mengalir dalam salur darah. berdenyut bersama nadi. dan sekarang semuanya tertulis pada buku. kau faham apa yang aku katakan?

dia angguk setuju. dia faham benar maksud saya.

saya bangkit dari sila menuju ke dapur bersama buku fisioloji. dia ikut di belakang. dia ambil periuk dan didihkan air. saya koyak-koyakan buku fisioloji. kami masukkan ke dalam periuk. kami sama-sama lihat serat-serat kertas terpisah, kanjinya perlahan-lahan memekatkan air. awalnya putih kemudian bertukar gelap oleh dakwat tulisan. kami biarkan merenih, berbuih-buih.

dia kata, perlu tambah banyak gula, dan tambah satu buku lagi kerana kami berdua. satu buku sahaja bermakna seorang hanya dapat separuh. saya tambah gula dan tambah satu lagi buku fisioloji.

kami tunggu sampai sejuk dahulu.

bila dia mencuba rasa dahinya berkerut ketat, matanya terpejam, mulutnya senget tertahan-tahan. saya mencuba rasa juga. saya juga buat muka contorted. tidak, dia kata. kejayaan tak boleh dicapai mudah.

kami habiskan satu periuk itu.

sampai situ saja. selepas itu saya tak ingat. kalau ikut kata doktor, saya ditemui mundar-mandir di ruang tamu bergeming di sudut gelap. dia tergelimpang atas lantai, di sisinya, apa yang kelihatan seperti, muntahnya sendiri. saya sudah ceritakan apa yang saya ingat. sekarang, boleh doktor lepaskan saya? sebab esok saya ada ujian histoloji pula. dan baju ni tak selesa. lengannya dikunci.

doktor?

doktor nak pergi mana?

DOKTOR!! DATANG SINI BALIK!! SAYA MASIH KAT SINI!! DOKTOR??!!


Sabtu, 23 Januari 2010

bidadari cinta

dia menghayun rambang jaringnya sambil terlompat-lompat seperti mahu mengutip butir-butir bintang berlatar langit malam. satu-satu pari-pari tertangkap dalam jaringnya, kemudian dimasukkan ke dalam balang besar kemas terikat di pinggangnya. sekarang balangnya bercahaya sama intensitinya dengan sebiji mentol 250 watt.

pari-pari bertempiaran cuba terbang lebih tinggi daripada jangkauan jaringnya atau menghilangkan diri di sebalik rimbunan tebal. ribuan tompok-tompok kuning di tengah-tengah gelita semakin jauh. kumpulan cahaya kuning keemasan tadi telah terserak selepas dia mula menyerang dan menangkap pari-pari. cuma balangnya sahaja yang bersinar.

dia menjatuhkan jaringnya. balang besar dipinggangnya diangkat ke muka. pari-pari yang tadi memukul-mukul dinding balang membantah penculikan mereka terdiam gerun. matanya ke dalam sedikit dengan lopak lebam dibawahnya, tidak tercukur kemas; rambut-rambut pandak mencacak dari sisi muka turun ke bawah dagu dan leher, gigi sedikit rompong dan bibir gelap di tengah.

puas melihat hasil tangkapannya dia duduk atas tanah berumput lembab embun malam. balang besar diletakkan di hadapan. dia mencapai pula beg selempangnya dan menggodek-godek. satu lagi balang kaca besar dikeluarkan, diletakkan sebalah balang tadi.

penuh hati-hati dia membuka tutup balang berisi pari-pari, mengambil seorang dan cepat-cepat menutup kembali. pari-pari yang lain diam hanya memerhati. pari-pari dalam genggamannya meronta-ronta. dari jauh dia kelihatan seperti menggengam emas berkilauan. kepala pari-pari tersebut dijentik dan terus jatuh pengsan.

sayap pari-pari tersebut direntap. pari-pari itu terus hilang cahayanya. sayapnya masih memancarkan cahaya. dia kemudiannya menyimpan sepasang sayap itu dalam saku dadanya. pari-pari yang pengsan itu dimasukkan ke dalam balang kosong.

pari-pari dalam balang diserang frantik serta panik melihat rakan mereka diperlakukan begitu. sesetengah yang lain terus jatuh pengsan.

"kamu. semua. akan jadi begini. kamu. semua. (ketawa terkekeh-kekeh) kamu. semua. akan jadi bidadari cinta. kamu kerja dengan aku. aku beri kau makan. pakaian. wang. tempat tinggal. sampai waktunya aku pulangkan sayap-sayap kamu. kamu tahu, kamu tak boleh kembali tanpa sayap kamu."

menjelang pagi dia sudah tidak kelihatan duduk di situ. cuma tinggal puntung-puntung rokok dan bungkusan plastik coklat. pari-pari yang terselamat muncul dari celah-celah daun berkumpul kembali menangisi nasib rakan mereka.

Selasa, 12 Januari 2010

lebih hampir

bilik itu sempit. buku berada di mana-mana berebutkan ruang di rak-rak yang tidak cukup. antara longgokan buku-buku di lantai hanya ada ruang sempit untuk berjalan dari pintu ke meja tulis. di bilik inilah dia menghabiskan masa bergeming.

"suara kau terlampau lantang. mereka takkan boleh mempersetankan sahaja tiap tulisan kau."

"dan?"

"tentunya mereka tidak senang dengan kau."

dia mengemas lembar-lembar kertas yang berkecah di atas meja tulis. di sudut meja, sebuah bingkai gambar terlangkup. dia mendirikan bingkai itu dan memerhatikan gambar yang tersisip padanya.

"apa yang mereka dapat bila memberkas seorang renta seperti aku?"

badannya beralih. kali ini dia memandang tepat ke dalam mataku.

"aku sudah tua begini. tiada apa yang akan aku rugi. tiada apa lagi yang tinggal untuk aku kehilangannya. aku, akan mati bila-bila saja."

hening. dia melihatku tercatuk diam, dia meneruskan katanya.

"kau, juga, boleh mati bila-bila saja. kematian lebih dekat daripada kau sangka; antara nafas kau - kau menyedut udara dan tidak menghembusnya atau kau menghembus nafas tidak menarik udara lagi. tetapi, tentulah. kau ada mereka yang ingin kau lindungi."

dia memandang lagi gambar di sudut mejanya.

"mereka akan tiba sebentar lagi."

Selasa, 29 Disember 2009

mata satu, mata dua

seorang pemburu berjalan-jalan di sebuah pulau yang baru diteroka. sedang dia menyusur pantai, dia terserempak dengan lelaki bermata satu(cyclop). benda pertama yang melintas dalam akalnya, dia ingin tangkap lelaki mata satu ini, dibawa ke tanah besar dan adakan sebuah sarkas freak show. tentu dia akan kaya, fikirnya.

"erm, encik mata satu. mahukah encik ikut saya ke tanah besar? banyak benda menarik di sana."

encik mata satu membalas, " sebelum itu, encik mata dua, marilah ikut saya ke rumah saya sebentar. saya perlu cakap dengan keluarga saya."

keluarga! alangkah bertuah nasibnya, fikir pemburu. bukan saja seorang mata satu akan dibawa balik ke tanah besar, malah dia mungkin dapat membawa satu keluarga mata satu.

maka berjalanlah mereka ke rumah encik mata satu.

sampai-sampai sahaja, si pemburu dicekup oleh sekumpulan lelaki mata satu. dia meronta-ronta, tapi tidak mampu melawan. kemudian dia diketuk sampai pengsan. bila sedar, dirinya sudah dalam sangkar besi dikelilingi oleh gerombolan kanak-kanak mata satu. dekat pada sangkar besi itu, lelaki mata satu yang dijumpai semalam.

"ya, tuan-puan, anak-anak semua. saksikan lelaki mata dua yang tidak pernah kita lihat sebelum ini!!"

-relativiti-

Selasa, 15 Disember 2009

bertukar

Mat namanya. dia sedang duduk bersila atas tanah di laman rumah di sisi sebuah buaian biru. di sisi Mat pula kucingnya yang sejak lahirnya tidak pernah dinamakan. Mat mengusap-mengusap kepala kucingnya.

"engkau ini apa kerja eh? " tanya Mat. "seharian terlentang tidur, senang. kemudian orang bagi makan."

kucing Mat diam. matanya tertutup. cuma misainya yang panjang itu tergerak-gerak. dan sesekali telinganya pun bergerak. kemudian kucing tersebut menguap luas hingga nampak taring-taringnya sampai ke tonsil sekali. bila matanya celik, kucing itu memandang Mat dengan pandangan yang bosan; seperti melihat serangga-serangga tak bermakna atau sampah-sampah.

menurut perkiraan Mat, kucing ini umurnya dalam 5 tahun. Mat tidak ingat bila mula dibelanya kucing itu. hati Mat bengkak bila memandang kucing itu. Mat sudah tua bangka melewati umur 20-an. namun kucingnya itu sudah dahulu "kahwin".

"kau tahu, aku kalau boleh nak jadi kucing," keluh Mat.

kucing itu bangun menggeliat seketika dan meninggalkan Mat terduduk sedang mata Mat mengekori kucingnya berjalan perlahan, macho.

Jumaat, 11 Disember 2009

fragmen #2

kau pernah dengar cerita ini?

dahulu, pernah ada sepasang stokin dalam rumah ini.

....

.........

Selasa, 1 Disember 2009

cuti panjang

Abdou duduk menghadap komputer. Hosni sedang memetik tali-tali gitar. Abhar pula menguis-nguis baki makanan atas pinggannya. telunjuknya bermain-main dengan beberapa biji kacang hijau yang tak dimakan, kemudian dipenyek-penyekkan begitu sahaja bila sudah bosan.

cuti masih panjang.

lima minit selepas itu, Abdou masih di depan komputer. Hosni melatih kelingkingnya untuk jatuh betul-betul pada atas tali, dalam kotak fret yang betul. Abhar sudah di dapur membasuh pinggan yang siap digunakan.

setengah jam berlalu. Abdou masih lagi di depan komputer. jari-jemarinya sudah tidak menaip lagi. dia hanya tengok sahaja skrin komputer. Hosni sudah berjaya melatih kelingkingnya. dia memainkan beberapa kord daripada sebuah lagu. grenggg, greeeengg, greeenngggg. Abhar duduk di meja ruang tamu menonton rakannya.

dalam hati mereka sama-sama menjeritkan kebosanan.

atas meja ruang tamu, buku-buku dan alat tulis Abdou bergelimpangan akibat peperiksaan yang lepas. Abhar cuba mengemas barang-barang Abdou di atas meja. alat tulis diletakkan pada satu sudut. buku pula Abhar letakkan di sebelahnya. ada satu buku warna merah, tertera padanya "kesihatan komuniti untuk pelajar 09/10".

Abhar tergerak untuk membacanya.

Abhar buka muka pertama dan terus membaca.

Abdou lihat abhar buka buku warna merah. Hosni juga melihat apa yang dilihat oleh Abdou. kemudian mereka berdua memandang sesama sendiri. masing-masing mata terbeliak.

"Abhar! jaaa-ngaaan!!" jerit Abdou sambil bangun berlari mendapatkan Abhar. Hosni ambil buku merah itu, terus menutupnya dan menolak buku merah itu ke hujung meja.

"Abhar! Abhar! kau o.k? Abhar! jawab la!! oi! kau o.k ??" kata Abdou. dia menggoncangkan kuat bahu Abhar namun Abhar masih membatu. matanya terbuka tidak berkelip sepicing pun. wajahnya kosong.

Hosni lihat buku warna merah tertera pada kulitnya "kesihatan komuniti untuk pelajar 09/10" penuh kebencian.

"Abdou, kau tak sepatutnya biarkan buku tu bersepah di mana-mana. tak ada apa yang kita boleh buat sekarang. sudah terlambat. Abhar, (jeda sebentar) sudah tiada."

Abdou masih menggoncang bahu abhar. Abhar masih juga begitu: mata terbuka luas tidak berkelip, wajah kosong sambil mengucapkan perkataan-perkataan pendek tanpa makna, seperti sebuah pemain piring hitam yang rosak.

"Abhar, maafkan aku. mmmm-me-mang salah aku biarkan buku tu bersepah," tangis Abdou.

namun Abhar tidak pulih. Abhar sudah jadi seperti pemain piring hitam yang rosak.

Khamis, 12 November 2009

hajat

langit tiba-tiba jadi hitam. kilat sambar menyambar. dewa naga sedang diseru oleh gohan. setelah susah payah mengumpulkan 7 biji mutiara naga yang tercampak ke segenap penjuru dunia, kini gohan tinggal perlu katakan saja hajatnya kepada dewa naga.

7 biji mutiara naga bersinar. kemudian satu terpancar satu cahaya kuning gemilang daripada 7 biji mutiara tersebut. dari cahaya itu dewa naga perlahan-lahan menjelma.

"nyatakan hajat kamu wahai gohan."

gohan pandang rakan-rakannya. pikor, bezita, buu, yamaha dan lain-lain semua percaya pada gohan. ini kali pertama gohan bertemu dewa naga. gohan agak gementar dan gugup.

"hi....hidupkan..hidupkan ayah saya!" seru gohan.

"tak boleh. ayah awak dah pernah dihidupkan kembali. awak ada hajat lain?"

gohan tunduk memandang hujung kasutnya. dia berfikir.

"kalau gitu, saya nak seekor unikon!"

pikor, bezita, buu, yamaha dan lain-lain semua terkejut. mata mereka terbeliak tidak percaya dengan hajat yang baru sahaja disebut oleh gohan.

"gohan! sanggup awak!!" herdik pikor.

"dewa naga. saya tukar hajat saya. saya tak mahu seekor unikon."

dewa naga sudah naik bosan. "baik. hajat tadi batal. apa hajat kau sekarang?"

"saya nak 10 ekor unikon, cukup untuk semua rakan-rakan saya!"

serta merta muncul pelangi turun ke bumi. di atasnya berlari-lari 10 ekor unikon. di hujung hari mereka semua menunggang unikon pulang ke rumah dengan perasaan gembira.

Rabu, 11 November 2009

berbasikal

Adham mencapai basikalnya yang terlantar di luar.

dia dirikan basikal.

selepas makan cekodok ikan bilis dan minum milo panas dia sudah berbuat keputusan dia hendak berjalan jauh dari sini. bukan pergi selama-lamanya.

bukan hendak tinggalkan tempat ini. dia cuma mahu jauh sebentar, berfikir. Adham tahu kalau dia lama-lama di sini dia akan bosan. bila dia sudah bosan dia akan bosan dengan kebosanan, tidur siang, internet, ps3, tv dan segala-galanya. fikirnya jauh akan membuat dia jadi rindu dengan tempat ini. tak kisahlah ke mana pun asalkan jauh.

"Adham oooiiii!! nak ke mana tu pagi-pagi ni??" tanya satu suara dari dalam rumah.

"bulan." jawab Adham perlahan.

Adham naik basikal dan mula mengayuh. kemudian dia terus naik ke hujung horizon arah barat bertentangan matahari pagi.

.

Isnin, 9 November 2009

Kompatabiliti

Kisahnya begini. Ketika sedang minum teh petang bersama rakan-rakan mereka, Juli berkata : “Kami ditakdirkan bersama selama-lamanya. Kami akan meningkat tua bersama, susah bersama, senang bersama, membesarkan anak bersama.” Juli memandang Rumi. Rumi membalas dengan senyuman. “Malah kami akan menggemuk buncit bersama.”

Kemudian seorang rakan mereka bertanya: “Jadi kamu kata, kamu memang telah tercipta sejak dalam rahim untuk bersama? Selama-lamanya?”

“Tentulah! Malah kalau kau uji darah kami ini, aku jamin kami memang serasi!” balas Juli.

“Ah. Kau baru saja beri aku idea,” kata rakannya itu tadi. Kebetulan rakannya seorang doktor pakar genetik dan penyakit saka, yang kebetulan pada petang itu telah terbawa satu kotak kit mengambil sampel darah di bonet keretanya.

Itu kisah 2 minggu lepas, ketika Rumi dan Juli sedang minum petang bersama rakan mereka membincangkan rancangan pernikahan mereka.

Beberapa jam lepas rakannya seorang doktor itu mengkhabarkan Rumi melalui telefon, bahawa mereka (Juli dan Rumi) merupakan pembawa penyakit genetik yang aneh. Jika anak mereka tidak dilahirkan buta, mereka akan bisu atau pekak atau gila. Tiada ubat atau teknik pencegahan boleh mencegah atau mengubati penyakit berkenaan.

“ Ah, patutkah aku beri tahu semua ni kat kau?” kata rakannya doktor itu setelah menerangkan segala risiko pasangan pembawa.

Rumi matikan talian telefon terus.

Pada hari pernikahan mereka, Juli perasan akan ketiadaan doktor itu. Kata Rumi dia terlalu sibuk, perlu berkonferen sampai ke amerika.

“Dan dia tak ucapkan apa-apa pun untuk kita? Tiada pesanan apa pun?”

“Tak. Tak ada.”

Juli lihat orang-orang kampung dan kenalan mereka dari meja bersantap mereka. Dia tersenyum. Hari ini adalah hari paling bahagia dalam hidupnya. Kemudian dia menggenggam tangan Rumi. Katanya, “ anak kita nanti pasti akan comel-comel. Bijak. Hebat bersukan. Jadi ahli perniagaan dan seorang doktor!”

Rumi cuba mengukir senyuman. “Ya,” balasnya ringkas.