Ahad, 29 Mac 2009

mesej

seorang sahabat bertanya. bagaimana untuk menyatakan rasa simpati atas kematian seorang kenalan atau keluarga kepada rakan dalam sebuah pesanan ringkas? macam mana untuk mengucapkan takziah?

jawapan satu:


sahabat kata tak. dia mahu buat ayat takziah.

jawapan dua:


tapi sahabat masih tak berpuas hati dengan jawapan. ayat-ayat yang dikemukakan tidak biasa dituturkan. sahabat mahukan ayat yang kasual.

oleh sebab kehabisan idea, jawapan seterusnya begini:

Khamis, 26 Mac 2009

kebahagiaan dalam seminggu

kepalakotak menggantikan smiley. bulat sudah jadi bosan.
-gambar hiasan-

minggu lepas, kami mengalami satu kebahagiaan. oleh sebab yang tidak diketahui sekolah kami memberikan cuti sehari tambahan. biasanya cuti kami hanya pada hari jumaat. sahaja. 6 hari seminggu tidaklah melelahkan. tambahkan waktu tidur, lelah akan terubat. ini ayat sarkastik.

setelah diberi cuti sehari pada minggu lepas, cuti kami jadi 2 hari.

berikut ialah catatan dalam tempoh 2 hari, bermula hari rabu.

malam rabu.
fikiran dipenuhi dengan "esok tiada kelas. kelas tiada esok. tiada kelas esok." dengan sengaja kami melewatkan tidur malam. seluruh beban persekolahan terasa terangkat. dengan sengaja juga, kami berkesempatan melupakan persekolahan. buku kami letak jauh-jauh.

siang khamis.
selepas subuh, tidur malam diqada'kan. bangkit ketika matahari sudah tinggi. fikiran terisi dengan " esok masih cuti. masih cuti esok. esok cuti lagi." aktiviti pada siang hari penuh keriangan. buku terletak jauh dijeling-jeling.

malam khamis.
buku kami pegang-pegang dan selak-selak saja. tidur malam dilewatkan, terulit dengan mimpi-mimpi indah.
siang jumaat.
hari pasar. ke pasar membeli barang.

malam jumaat.
buka buku. penat seminggu terubat. rasa gembira.

tamat cuti 2 hari kami. jika anda mendapat cuti 2 hari dalam seminggu, sepatutnya anda rasa bahagia dan bersyukur.

sekiranya anda tidak cuti walaupun sehari dalam seminggu dan sedang membaca ini, anda tentunya berkata : awak cuti sehari dalam seminggu, sepatutnya awak rasa bahagia dan bersyukur; anda sememangnya betul dan tiada hujah dapat mematahkan kata-kata anda.

kesimpulan kata, manusia bukan robot. rehat itu penting. elakkan kerisauan mengarut dan macam-macam sehingga mengalami tekanan perasaan dan kemurungan. cuti itu kebahagiaan.

*kemaskini. penambahan catatan biasa jika cuti sehari.*

malam khamis.
penat.
pagi jumaat.
pasar. futsal.
malam jumaat.
esok perlu ke sekolah lagi.

-merindui cuti-cuti yang berlalu. sentiasa dalam hati.-

*satu blog menghimpunkan blog-blog tulisan pelajar malaysia di mesir, tekan sini untuk lompat ke laman.*

Sabtu, 21 Mac 2009

teori tiga elemen

memperkenalkan segi tiga elemen kehidupan pelajar moden.

air merupakan keperluan paling besar: untuk memasak dan kelancaran melakukan rutin harian beristinjak serta memastikan barang-barang yang tidak diingini dinyahkan.

elektrik pula membekal tenaga kepada barangan elektrik seperti komputer, router internet dan paling penting lampu; kerana malam-malam tanpa sinaran lampu kalimantang menerangi rumah ialah malam yang membutakan dan menghindar pelajar daripada mendekati buku.

manusia ialah makhluk sosial yang memerlukan perhubungan dengan rakan-rakan, keluarga dan dalam kes-kes tertentu, rakan rapat juga. dengan terputusnya talian internet, tuntutan perasaan pelajar terganggu lantas menyebabkan perubahan mood mendadak.

terdapat perhubungan antara elemen elektrik dan internet. tanpa elektrik semestinya tiada internet kerana tiada tenaga elektrik yang menghidupkan router. namun tidak semestinya semasa tiada internet, elektrik tiada.

menurut teori segi tiga elemen kehidupan pelajar yang dikemukakan ini, kehilangan 2 daripada 3 elemen akan menyebabkan hilang fungsi pembelajaran seorang pelajar. hal ini disebabkan perasaan pelajar terganggu kerana asas kehidupan mereka terganggu. kebosanan akan memuncak dan klimaks kebosanan akan diakhiri dengan pelajar-pelajar menempatkan kepala di atas bantal, mencari perlindungan di alam mimpi daripada kebosanan yang membunuh.

-bersama kita harapkan muhandis akan bekerja lebih pantas dan cekap-

Isnin, 16 Mac 2009

pengajaran daripada kepala paip

tandas rumah kami ada banyak. banyak juga kepala paip. penghuni rumah kami berjumlah 20 orang. setiap pagi, tengah hari, petang, maghrib dan malam larut akan ada tangan yang akan menggunakan paip-paip di dalam bilik air.

paip rumah kami jenis paip tolak satu hala.

setelah 6 bulan, satu paip tiba-tiba mengalami kerosakan. awalnya air menitik sikit-sikit. puas dipastikan aliran air disekat habis dengan menolak tuil paip ke takat maksima. ada juga cuba untuk menolaknya melebihi takat maksima. namun air tetap menitik.

kami biarkan sahaja begitu untuk beberapa hari.

selepas beberapa hari paip dipinggirkan (tidak diambil kisah), titisan air menjadi aliran air. dalam masa 15 minit, satu baldi air boleh ditadah.

****************************

satu pagi yang ditakdirkan ketika sedang menggosok gigi, kita menggunakan paip berkenaan. setelah siap, kita tolak tuil paip secara malas, tidak sampai ke takat maksimum dan mendapati aliran air dari paip berhenti sepenuhnya.

kemudian kita buat satu eksperimen.

tolak tuil paip sampai habis : air mengalir.
tolak tuil paip hampir-hampir habis (4/5) : air berhenti mengalir.


wah.

kalau kami tahu air yang terbuang sebelum ini dapat diselamatkan. pengajarannya. tak semua perkara boleh diselesaikan dengan tenaga kasar. perlu penggunaan sedikit sel-sel neuron otak untuk mengaplikasikan tenaga.

dalam kata lain melakukan kerja dengan berhikmah.
terima kasih kepala paip kerana mengingatkan hakikat ini.

Khamis, 12 Mac 2009

belajar dari dora

bukan doraemon.
ini tentang dora si pengembara. budak kecil mengembara bersama rakan monyetnya, boots. selepas subuh buka saluran nickelodeon arab dan tonton rancangan dora si pengembara versi arab. dapat belajar bahasa arab sambil berhibur.

kita mengira anak tangga sama-sama:
wahid, ithnain, talata, arba', khamsa, sittah, sabaa'ah, tamaniah...

pagi yang lepas, kita menonton siri dora si pengembara menyelamatkan anak raja yang di tangkap oleh ahli sihir di sebuah menara tinggi. dalam proses meloloskan diri, kebetulan ahli sihir baru sahaja pulang bersiar-siar dengan menaiki penyapunya. kemudian:

ahli sihir : ha! kamu nak pergi mana? kamu ingat kamu boleh melarikan diri?!

dora dan boots : (serentak) alamak! ahli sihir dah pulang!

putera : tak mengapa. saya ada bola ajaib ini. (lantas mengeluarkan bola ungu dengan bentuk bintang kuning di tengahnya, seakan-akan bebola naga) wahai bola ajaib (menyeru dengan muka serius) tangkap ahli sihir yang jahat ini!!

ahli sihir: (menjadi kecil, kemudian terus disedut masuk ke dalam bola. terperangkap dan marah- marah. tak lama selepas itu berhenti meronta dan bermuram muka. sedih)

dora : tengok tu, putera. ahli sihir bersedih. mungkin kita boleh membebaskan dia dengan syarat dia berjanji untuk menjadi ahli sihir yang baik.

putera : (awalnya ragu) baiklah. saya akan membebaskan kamu hanya kalau kamu berjanji menjadi ahli sihir yang baik.

ahli sihir : (teragak-agak) saya janji....er...saya akan jadi ahli sihir yang baik.
dipendekkan cerita, ahli sihir dibebaskan. pada penghujung rancangan mereka semua, dora, boots, putera dan ahli sihir yang baru sahaja berjanji menjadi baik menari-nari dan menyanyi :

"najahna, najahna!! "
"we did it, we did it!!"

kerana mereka berjaya menyelesaikan siri pengembaraan mereka kali itu, untuk menyelamatkan putera.

ini cerita kanak-kanak, di mana semua orang ialah rakan dan engkau akan diterima selepas bermusuhan dengan berjanji menjadi baik. engkau yang menonton akan tergelak kecil; dunia penuh dengan orang-orang jahat, janji setakat pemanis bibir - sambil merindui untuk kembali bebas daripada tanggungan.

Isnin, 9 Mac 2009

kibarkan jalur itu

kredit diberikan kepada aiman khalifah. jalan cerita diputar sedikit bagi memudahkan bercerita.

di luar kedai makan nusantara, di mana kami berjumpa dengan arab yang fasih berbahasa melayu. kami lihat rumah-rumah sekeliling. memerhati rumah-rumah arab yang tinggi-tinggi. kami memerhati kain jemurannya.

kemudian aiman khalifah membuat kesimpulan.
"lihat rumah tu. itu rumah orang baik-baik. dia jemur jubah. ada telekung sekali. mestinya rumah orang melayu. ada jemur kain batik. tepi tu, kain pelikat."

kain pelikat. jalur-jalur. bercorak petak-petak comel.

satu idea tercetus dalam kepala kami.

buat satu post dalam blog, menyarankan orang-orang malaysia yang tertebar di seluruh dunia untuk menyidai kain pelikat atau kain batik di tempat sidaian. untuk memudahkan pengembara-pengembara malaysia, atau nusantara mencari pertolongan di kala kesusahan.

"tapi kalau macam tu, orang nak buyyah pun senang juga. tengok je kain pelikat, mereka label rumah buyyah."

Selasa, 3 Mac 2009

membantah?

kita letakkan satu kotak kecil di tepi atas blog ini untuk meninjau pendapat. semua yang membahaskan permasalahan ini inginkan kebaikan daripada apa-apa tindakan yang akan diteruskan - sama ada meneruskan pembelajaran dalam bahasa inggeris atau perlu ditukar kembali, diajar dalam bahasa melayu@bahasa malaysia@bahasa kebangsaan seperti sedia kala.

meminjam teknik pembahagian jasad tept sigmoid, kita bahagikan diri kepada 3 untuk memikirkan masalah ini. hasilnya:

kotak 1
kita sebagai pelajar perintis dalam PPSMI, tidak terkesan kepayahan meneruskan pengajian di institut pengajian tinggi. tidak terkejut dengan buku-buku rujukan berbahasa inggeris. istilah-istilah saintifik juga sudah terbiasa dengan sebutan inggerisnya. dengan kata lain, merasai kelancaran dalam proses belajar kerana lali dengan perbezaan bahasa. lebih mampu bersaing?

teknik pembahagian jasad. hasilnya kurang dramatik. harap maaf.

kotak 2
bahasa kebangsaan secara automatik dinafikan sebagai bahasa pengantar ilmu. bahasa sebagai alat penyatuan satu bangsa malaysia lantas menjadi karutan - tiada siapa mahu berbahasa kebangsaan kerana sibuk berbahasa bahasa dunia. kita punya akar sendiri. lari dari akar, siapalah kita. kita masih ingat, bahasa kita ini pernah jadi lingua franca. perlukah diragui lagi?

kotak 3
belajar dalam bahasa apa pun sama. masalah penguasaan ilmu kerana bahasa bukan faktor total. one plus one equals to two. begitu juga satu tambah satu sama dengan dua. untuk menguasai satu bahasa, perkuasakan pembelajaran bahasa.

hilang jati diri kerana tidak menggunakan bahasa ibunda itu masalah lain. selagi tidak berbangga dengan asal sendiri dan memperkecilkan keupayaan diri, jati diri tak akan terbina.
sejujurnya, kita benar-benar iri hati dengan orang-orang jepun. kebanggaan menjadi seorang warga nippon diekspresikan sehingga diterap masuk dalam animasi.

Isnin, 2 Mac 2009

kulat

musim dalam peralihan. dahulu sejuk kering bertukar sejuk lembab. banyak penyakit merebak. selesema, batuk dan lain-lain. daripada lembab udara, kulat gemar naik merayap di dinding. dahulu tompok-tompok hijau comel sudah jadi besar dan garang.

dalam cbox pula macam-macam terpacul. carutan bukan-bukan. tapi bagus juga kerana memeriahkan suasana. boleh letak jenaka-jenaka sendiri dan gelak sesama sendiri. kalau itu membahagiakan.

kejadian mengebom baru-baru ini ada juga menimbulkan rasa tidak selesa. menambahkan lagi alasan untuk tidak bersiar-siar dan sebaliknya menonton timbunan filem yang sudah sedia dimuat turun. mungkin inilah keindahan torrent disebalik penyedutannya yang hebat terhadap kelajuan wayarles. perkongsian.

ambil cuti awal. nota-nota telah ditolak ke tepi. kempen sudah tamat.

-pihak kepalakotak tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi atau komen rasmi melalui kotak cbox dan yang sewaktu dengannya. ada akaun blogger sendiri. harap maklum- : )