Jumaat, 29 Mei 2009

yang mungkin menarik untuk dilakukan

satu idea pernah menyinggah.

kadang-kala hidup kelihatan terlampau berat untuk dihadapi. dunia dirasakan gelap. nasib tidak pernah menyebelahi. seakan-akan seisi dunia dan apa di dalamnya berkonspirasi untuk mengenakan engkau. ketika itu engkau mahukan jalan keluar. namun semua pintu-pintu penyelesaian tertutup buat engkau. bagaikan sesat di dalam gua yang gelita, pada malam paling pekat. engkau mahukan semuanya berakhir. ya, akhir. itu sahaja jalan keluar yang kelihatan.

sesetengah individu tidak mampu menerima beban seperti itu. dia mahukan semuanya berakhir. dan akhir bermakna mengakhirkan hidup. sebelum masanya.

dia naik ke aras tingkat 8, bangunan 8 tingkat. ke atapnya. di situ dia menyerahkan nyawanya kepada tarikan graviti. dalam masa kurang 5 saat, graviti mengambil nyawanya yang diserahkan. dan dia sepatutnya tahu, hidup ini untuk melawan daya-daya yang menjatuhkan dan menarik kita.

jadi, dalam masa kurang 5 saat itu, pada detik ketika terawang memecut ke tanah, apakah yang difikirkan? penyelesaian termudah yang tidak pernah difikirkan, rasanya. dan penyesalan menerjah namun itu bukan waktunya. semakin hampir ke tanah.

........

berakhir di situ.

lebih tinggi daripada yang ini

mungkin, dalam buntu mencari jalan keluar anda boleh mencuba ini. naik ke tempat-tempat yang tinggi, yang mampu membunuh jika terjatuh. lihat ke bawah. biarkan gayat membengkak dalam dada.

pejamkan mata. secara bayangan, terjun dari tempat yang tinggi itu.

penyelesaian mungkin akan muncul selepas itu.

jangan lakukan ini tanpa berteman.

Rabu, 27 Mei 2009

kata hikmah # 5

seorang pertapa, penuh di dadanya falsafah-falsafah dan ilmu sejarah bertapa di puncak sebuah gunung di samping hutan tebal dan haiwan liar. terpisah daripada peradaban manusia sekaliannya, hanya berteman alam keliling si pertapa berdiam dalam tafakurnya.

setelah sekian lama, si pertapa turun daripada puncak gunung membuat kemunculan keduanya. di kaki gunung, tercetus pertikaian antara saudara-saudaranya. persoalan ketika makan nasi ayam, nasi harus dicurahkan dengan sup atau sup harus dicolek dengan sudu yang berisi nasi menjadi pertikaian yang besar.

pertapa mengarahkan saudaranya mendirikan satu skrin besar untuk tontonan bersama. kemudian pertapa meminta sebuah komputer dan projektor LCD. pertapa memanggil saudara-saudaranya menonton video yang ingin disampaikan.



semua saudaranya faham. dan mereka berbaik-baik. dan mereka menyanyikan lagu itu bersama-sama.

"apa yang penting?? kerjasama! apa yang penting? kerjasama! kami tak besar, dan kami tak kuat,
bila bekerjasama semua jadi mudah.
"

ketika saudara-saudaranya ralit, pertapa mendaki ke puncak gunung kembali ke pengasingannya.

Isnin, 25 Mei 2009

percayalah, semangat yang membakar hatimu turut membakar hatiku

berusaha mendapatkan tempat duduk terbaik

mengelap kerusi tidak pernah rasa seseronok ini.

kemudian pensyarah menanyakan satu soalan. semua tidak menjawab dan membatu kayu. pensyarah nampak tersinggung.

dia memecah kesunyian kelas dengan soalan retorik, berbunyi:
" what's wrong with you?
or is there any wrong with me?"
dan ternyata pelajar-pelajar yang berhati besar itu semuanya dalam kelas yang kondusif.

dia ini juga seorang tukang blog.

semoga semua berjaya dalam usaha masing-masing.

semangat pelajar perubatan yang membara. tahniah buat anda.
kagum.

Jumaat, 22 Mei 2009

kata hikmah # 4

seorang pertapa, penuh di dadanya falsafah-falsafah dan ilmu sejarah bertapa di puncak sebuah gunung di samping hutan tebal dan haiwan liar. terpisah daripada peradaban manusia sekaliannya, hanya berteman alam keliling si pertapa berdiam dalam tafakurnya.

setelah sekian lama, si pertapa turun daripada puncak gunung membuat kemunculan pertamanya dikalangan saudara-saudaranya. semua orang terkesima terdiam melihat si pertapa dan menantikan tindakan si pertapa yang seterusnya.

si pertapa berkata lantang, sambil diperhatikan oleh saudara-saudaranya. katanya:

" nescaya dunia lebih aman jika setiap orang
membasuh pinggan mangkuk
setelah siap makan."

kemudian si pertapa kembali mendaki ke puncak gunung meninggalkan saudara-saudaranya untuk mencerna kata-katanya.

Rabu, 20 Mei 2009

panduan memilih haiwan peliharaan

pemilihan haiwan peliharaan yang masuk akal. haiwan tersebut perlulah menepati kriteria-kriteria di bawah:

1. comel - ini tujuan asal membela haiwan peliharaan.

2. boleh berinteraksi dengan tuannya - haiwan yang tidak menunjukkan sebarang emosi istimewa terhadap tuannya yang rapat dengannya ternyata bosan.

3. memainkan peranan dalam rumah - kucing misalnya, boleh dilatih memburu tikus.

4. beranak sedikit.

5. tidak dijangkiti selesema yang membunuh.

6. lazat dimakan. jadi bila tidak lagi larat memelihara mereka, anda boleh mengabadikan semua kenangan bersama. tidak gaduh membuang mereka dalam kotak-kotak.

cadangan haiwan yang terbaik untuk dibela?

Selasa, 19 Mei 2009

hari ini 18 mei

cikgu dahulu pernah berkata, penggunaan "selamat hari jadi" itu salah. hari jadi ialah hari engkau menjadi; dalam kata lain hari pertemuan sperma dan ovum matang. maka, ucapkan selamat hari jadi 9 bulan awal dari tarikh lahir. cikgu suruh gunakan "selamat hari lahir". itu lebih tepat, katanya. persenyawaan ovum berlaku dalam rahim ibu. atau jika engkau merupakan bayi tabung uji engkau disenyawakan dalam tabung uji, namun akhirnya kembali ke rahim ibu untuk ditanam di sana.

"selamat hari ibu, cikgu dan lahir. hari ini 18 mei."

Isnin, 18 Mei 2009

kisah tipu : kami jumpa pesalah

kami jumpa si pesalah. sebelum ini dia enggan mengaku. kami hanya ingin tahu salah siapa. lama-kelamaan rasa ingin tahu berubah menjadi benci. dari benci kemudiannya dendam. dan akhirnya kami dapat tahu si pesalah, dengan kesalahannya kali ke-3. membanjirkan rumah. (klik sini)

kami seisi rumah menolak pesalah ke dapur, di mana lantainya bertakung air akibat tidak menutup paip sinki dapur. mukanya memaparkan rasa memberontak. katanya dia tidak sengaja. kalau tidak sengaja mengapa enggan mengaku kesalahan, tanya seorang daripada kami. dia diam. memang, pesalah banyak menyusahkan kami, termasuk hampir-hampir mengorbankan sebuah komputer riba.

kemarahan memuncak. seorang dari kami, dinamakan X tampil berdepan dengan pesalah, hampir-hampir hidung mereka bertemu. dari jauh kami boleh mendengar dengusan kemarahannya.

satu tumbukan padu dilayangkan tepat ke perut pesalah. dia terkebelakang sambil menahan senak, kemudian jatuh tersepuk dalam takungan air. sakit senak itu menjalar-jalar. muka merahnya menunjukkan perasaan memberontak terhadap pengadilan yang diterimanya.

kerana tidak puas hati dengan ekspresi muka itu, X menolak pesalah yang terduduk hingga terbaring, duduk di atas dada pesalah dan mengunci bahu pesalah dengan lututnya. X mengepal buku lima di udara.

ada suara daripada belakang. "jangan tumbuk lagi. itu melampau. tampar kurang sakit. tampar saja."

kepalan dibuka. pesalah ditampar beberapa kali tanpa mampu melawan. akhirnya tamparan-tamparan itu menanggalkan ekspresi mukanya yang memberontak. kali ini mukanya agak bengkak dan kelihatan keliru. berpinar-pinar. kemudian dia diludah tepat ke muka.

habis di situ.

kami meninggalkan pesalah terduduk dalam takungan air. tiada siapa pun menunjukkan rasa simpati. kemudian kami dengar sedu tangisnya. heh.

Ahad, 17 Mei 2009

eksport budaya

kami berjalan ke kelas. dalam 15 meter di depan kami ada wanita malizi berbaju kurung corak bunga-bunga. warna-warni.

sambil berjalan kami nampak di belah kiri kami 2 wanita arab berjalan merangkul nota-nota kuliah dan berborak-borak. kemudian mereka terperasan dengan kehadiran wanita malizi berbaju kurung.

dari jauh, 2 wanita arab itu melontarkan sejenis pandangan. jenis pandangan ini dilontarkan wanita-wanita bila ada seorang dewi ramping rambut lurus ala-ala iklan di televisyen, lengkap berhias dengan kristal asfour di pergelangan, tengkuk dan telinga, berjalan perlahan-lahan di hadapan mereka sambil menyesakkan udara sekeliling dengan pewangi yang boleh dihidu sepekan perjalanan.

kami tidak faham dengan bahasa wanita. hanya wanita yang memahaminya. perlukan penterjemah bahasa.

namun yang kami dapat rasakan, 2 wanita arab itu memandang pada kain baju kurung yang bercorak bunga-bunga. wanita arab tidak memakai baju bercorak bunga-bunga.

**************************

kami berbaju melayu. lengkap. berjalan-jalan. arab kata, kami pakai skirt.

Jumaat, 15 Mei 2009

sumpahan 100, 200 genih

semua orang pun sudah tahu. akan tiba masanya bila semua duit poket habis dibelanjakan, dompet tinggal hanya dompet - segenih mahupun langsung tiada dalam tangan. kemudian pada masa itulah teknologi memainkan perananannya; mencucuk wang.

daripada 500 genih yang dituntut keluar: sehelai 200 genih, dua 100 genih dan dua 50 genih.

tak lama kemudian dua keping nota 50 genih usai. luak. habis. kehidupan hanya berteman nota 200 dan 100 genih yang benar-benar disumpah.

situasi 1.
ke kedai makan. selesai makan. harga sepinggan nasi dan ketulan-ketulan ayam, LE 5. engkau mencapai dompet dalam poket. membukanya. HAH! pakcik di kaunter terkebil melihat engkau mengeluarkan nota 100. katanya, "ada duit kecil?"

situasi 2.
ke kedai makan. bayar dahulu sebelum makan. harga nasi LE 4. dengan selamba engkau menghasilkan nota 100 daripada saku seluar. pakcik di kaunter tiada baki. kemudian, pesanan makanan dibatalkan.

situasi 3.
jangan sesekali jadi sebegini. engkau menaiki tram yang tiketnye bernilai LE 0.25 dengan hanya LE 200 dalam tangan. kemungkinan besar akan menyusahkan penjaga tram.
kerana nilainya yang begitu besar, nota 100 dan 200 genih disumpah. bawa sahaja ke mana-mana. kebanyakkan penjual akan menolaknya. pengemis yang tua mungkin diserang sakit jantung kerana terkejut dengan kemurahan hati engkau (ini bukanlah satu masalah, sentiasalah jadi pemurah).

engkau punyai wang tetapi engkau tak mampu membeli. kalaulah wang 100 dan 200 genih disediakan dengan ciri-ciri penceraian. jadi jika ingin membeli air tebu bernilai 1 genih, engaku boleh mengoyakkan sedikit bucunya untuk menyamai nilai 1 genih.

jalan keluar bagi sumpahan ini, duit 100 dan 200 genih tersebut perlulah dipecahkan dengan:
1)pergi ke pasar raya berhampiran. bukan pasar.
2)membeli isian semula kredit mobil.
3)berbelanja besar di kedai manisan yang mahal-mahal. atau apa-apa kedai yang kelihatan mewah.
namun, engkau boleh sahaja membelanja rakan-rakan di kedai makan dengan wang yang besar nilainya itu demi mendapatkan duit pecah. inilah dinamakan komensalisme. atau jariah. mana-mana yang engkau suka.

Rabu, 13 Mei 2009

percayalah, keperitan bagiku lebih daripada keperitan yang kau rasa



percayalah, keperitan bagiku lebih daripada keperitan yang kau rasa.
maaf jika mengasari kau.

yang termampu, skapel itu sudah dipastikan setajam yang mungkin.

faktor masa sepenuhnya tidak disengajakan.

Khamis, 7 Mei 2009

orang miskin, jalan kaya : lapar

ke kuliah lagi seperti pagi-pagi biasa. cuma kali ini perut tidak lagi berkeroncong, malah memainkan irama heavy metal yang berat. tisu-tisu perut dirasakan sudah tercerna sedikit demi sedikit. lapisan mukosa gagal menjalankan tugasnya.

2 minit pertama perjalanan, berjumpa dengan seorang makcik meminta sedekah. "demi tuhan," katanya sambil menadah tangan. kemudian berselisih dengan seorang lagi makcik meminta sedekah sedang berjalan, kemungkinan besar ke tempat biasanya.

hampir ke hujung jalan, berjumpa dengan Mama Nagah pula. ini nama yang kami beri kepada makcik ini. ayatnya setiap kali lalu dihadapannya : "kamu akan berjaya, demi allah." atau yang seumpamanya.

jadi, pagi itu di jalan saad zaghloul ada 3 makcik peminta sedekah.

hampir tiba di kuliah, ada lagi seorang makcik. berbanding makcik-makcik yang sebelumnya yang berbadan gempal, makcik ini kurus kecil. dia bercangkung, berlindung di belakang sebuah kereta dengan tudung labuhnya menutup seluruh badannya yang kecil. angin musim masih dingin. "untuk kamu kejayaan," kata makcik yang kecil itu.

langkah dipercepat. tiap kali otot abdomen tergerak menyinggung perut, pedih-pedih panas terasa. niat memonteng menyelebungi akal sambil bayangan ful dan falafel menyemakkan kewarasan. tidak satu pun daripada 4 orang makcik itu diberi wang sedekah, walaupun suku genih.

mungkin makcik-makcik tadi juga lapar?

Jumaat, 1 Mei 2009

setahun

satu mei.

genap setahun blog ini bertapak di blogspot.
sebelumnya ber-blog di friendster, kemudian dipindahkan ke sini.
tujuan asal membuat blog samar-samar dalam ingatan. kemungkinan besar kerana kebosanan menganggur selepas spm.

owh ya. selamat bercuti. sehari pun tetap bercuti.
"engkau sudah mengikat takdir semenjak awal lagi ketika memilih untuk ke sini. masih boleh menyesal, namun tak berguna," tiba-tiba fikiran ini terbit, serta-merta dimasukkan dalam catatan blog. namun perkaitannya dengan catatan kali ini diragui. tafsirkan sendiri.

baik. mendarat ke tilam.