Selasa, 30 September 2008

Satu syawal Mao

Satu syawal
tiada siapa di rumah, Mao tinggal seorang
kalau mengiau di depan pintu dapur
takkan ada orang menyahut.

Kalau panjat ke tingkap pun
takkan jumpa sesiapa.

Sekali sekala berkunjunglah ke
rumah jiran di tepi
atau di depan.

Di sini
banyak kucing-kucing
lebih malang
berdebu
dan mengiau dalam bahasa arab.

Isnin, 22 September 2008

kaherah

Kaherah.
Musim panas,
zahmah, sibuk dan bising
berdebu-debu
tahi hidung keras datang bertalu-talu.
Perbezaan bahasa masih
menjadi masalah.

"Ammu, ana tolib gadid
ulli bissarahah lau samah."

ok.

Sabtu, 20 September 2008

puisi penafsir

sebutir debu
hanyut di udara,
bertanya kepada diri
ke manakah angin membawa

sebiji kerikil
tersepak ke tepi jalan
ia tertanya-tanya, kepada
kaki-kaki
masihkah ada yang simpati

selaut buih
didorong arus terhempas ke pantai
serumpun rumput
tidak beralah kepada ribut

seorang penyair seorang penafsir
menterjemah setiap peristiwa
ke bahasa manusia.



Creative Commons License
This work is licensed under a Creative Commons Attribution-No Derivative Works 2.5 Malaysia License.

Isnin, 15 September 2008

menamakan proton

Proton mengadakan pertandingan menamakan model MPVnya yang dijangka akan keluar tahun depan. Kalau ada rezeki, tahun depan kita dapat kereta baru. Boleh bawa berjalan-jalan ke KL atau berziarah ke kampung.

Hmm. Pertandingan ni berlangsung sejak 8 september lalu, dan tutup pada 30 september. Guna SMS boleh, submit ikut rangkaian sesawang pun boleh. Maklumat lanjut, loncat ke proton.com.


Imej yang tertera di atas kemungkinan besar, ialah model skala kecil MPV Proton. Sidang kepalakotak tidak mahu menyebarkan khabar dari angin, jadi untuk maklumat paling tepat sila renangi laman sesawang.



mohon kepada abah anda, minta tukar kereta. katakan,
"kereta lama ni sepatutnya dok dalam muzium, bah!!"


-Selamat menjalani Ramadhan-

Sabtu, 13 September 2008

itu bukan namaku




Benar-benar emosi kakak penyanyi ni. Tajuk lagu dia, "Itu Bukan Namaku." Kalau samar-samar atau kurang mendengar liriknya, tekan sini.

Mengapa perlu begitu emosi menyanyikan lagu tentang nama? Perhatikan riak wajah kakak tadi, penuh dengan keberangan dan kemarahan yang meluap-luap.

Jadi, berdasarkan pengamatan terhadap lagu kakak ini, bolehlah disimpulkan bahawa orang akan marah jika dipanggil dengan nama yang salah, diberi gelaran yang bukan-bukan dan apa-apa yang sewaktu dengannya kerana nama itu penting. Lebih-lebih lagi jika digelar dengan gelaran yang bukan-bukan, mengarut, mencarut dan menghina.

Baca Surah Al-Hujraat (49) : ayat 11 dan 12.

Nama merupakan doa. Nama mencerminkan peribadi. Pada sesetengah orang, nama melambangkan darjat dengan awalan nama dato',datuk,datin,nenek atau SN. Sebagai misalan, panggil nama datuk dalam keluarga anda tanpa kata ganti nama "atok". Kemudian perhatikan reaksinya. Selamat mencuba.

Ramadhan Karim!!

Rabu, 10 September 2008

jalan-jalan: kuala kubu baru

Semalam gerak ke Kuala Kubu Baru mencari kedai tukang jahit. Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa singkat menjadi panjang kerana melalui jalan alternatif untuk mengelak kesesakan. Lalu ikut lebih raya dan kemudian menyusuri jalan-jalan terpencil; dari jalan-jalan sunyi Bukit Beruntung hingga ke celah-celah kebun.

Kalau difikirkan balik, dah lama tidak berkunjung ke kuala kubu. Kali terakhir ke sana 6 tahun lampau. Lepas 6 tahun, Kuala Kubu masih sama cuma Dataran KKB kelihatan tua dengan cat pudar dan sedikit rosak. Pekan KKB masih juga tenang macam biasa dan nostalgik.


Sampai di kedai jahit, tukang kedai nampaknya tidak begitu bersemangat untuk mengalu-alukan kedatangan. Semua pekerja sibuk menjahit. Mungkin akibat tempahan baju raya yang melampau banyak. Kata tukang kedai, tempahan hanya boleh siap dalam 10 hari. 10 hari terlalu lama. Jadi kedai jahit terbabit ditinggalkan begitu saja.

Malang sekali, tak ada gambar yang terakam sepanjang perjalanan. Keuzuran teknologi telefon mobil tidak membolehkan sebarang imej ditangkap masuk dan disalurkan ke komputer. Hanya imej yang dirembat dari entah mana mampu ditunjukkan.

Ok.

Selasa, 2 September 2008

cerita tentang mao - bhg 1

Si Mao telah 5 atau 4 bulan menjadi maskot rasmi blog kepalakotak. Namun kisah disebalik beliau diangkat menjadi maskot tidak pernah di ceritakan. Semasa menulis ini, segala kenang-kenangan beberapa tahun dahulu kembali menjadi jelas dalam kepala seperti menonton wayang gambar.

Baik.

Latar masa: 3 tahun yang lampau, dari tarikh post ini ditulis.
Latar tempat: halaman depan pintu belakang rumah, yang merupakan pintu bagi dapur.
Latar masyarakat: rakyat malaysia; nasi sebagai makanan ruji dan gemar durian.


Waktu itu bulan Ramadhan. Bulan puasa. Cekodok pisang baki sahur masih ada atas meja makan. Cekodok pisang untuk sahur sudah tidak panas lagi, sejuk, menjadi liat, benyek dan berminyak luar biasa. Biasanya pada waktu luar bulan puasa akan ada orang yang mencekau cekodok sejuk ketika tengah hari kerana tidak sempat bersarapan.

Semasa watak utama bermenungan di pintu dapur, kelihatan seekor kucing. Bulunya berwarna hitam cair, hampir-hampir kepada kelabu atau lebih tepat, warnanya menyamai sebuah baldi hitam yang tua, terdedah kepada kepanasan matahari buat waktu yang lama sehingga hitam itu menjadi luntur kepekatannya. Ekornya kontot, sama seperti seketul daging yang berpuntal sedikit manakala bulu-bulu pada ekor itu berpusar-pusar pada satu tempat.

Kucing itu meminta makanan, lalu watak utama memberikannya cekodok sejuk benyek berminyak dari atas meja makan. Tanpa banyak soal kucing tersebut terus menjamah sebiji cekodok sejuk benyek berminyak dan meminta diberikan lagi makanan setelah habis menelan cekodok sejuk benyek berminyak itu.

Sejak peristiwa tempoh hari kucing hitam itu semakin rajin datang ke rumah watak utama. Setiap pagi dia akan setia menunggu di depan pintu dapur. Hari demi hari. Tanpa disedari watak utama, hari demi hari perut kucing itu berkembang dan membesar, memboyot ke bawah.

Maka tibalah suatu hari, bila kucing itu tidak lagi kelihatan pada pintu depan dapur pada waktu pagi. Sehinggalah tengah hari sekitar pukul 12 lebih, barulah kucing itu ditemui dalam salah satu petak almari yang terbuka daripada salah satu almari di dalam bilik daripada bilik-bilik salah seorang ahli keluarga watak utama.

Alangkah gemparnya suasana dalam rumah apabila seisi keluarga mengetahui seekor kucing telah melahirkan 4 ekor anak kucing dalam petak almari.

Dari situlah, watak Mao Si Kucing mula diperkenalkan kepada dunia. Namun pada saat beliau dilahirkan beliau belum lagi dinamakan Mao.

-sambung lain kali-


-mao sedang bersantai di suatu lokasi yang dingin-