Si Mao telah 5 atau 4 bulan menjadi maskot rasmi blog kepalakotak. Namun kisah disebalik beliau diangkat menjadi maskot tidak pernah di ceritakan. Semasa menulis ini, segala kenang-kenangan beberapa tahun dahulu kembali menjadi jelas dalam kepala seperti menonton wayang gambar.
Baik.
Latar masa: 3 tahun yang lampau, dari tarikh post ini ditulis.
Latar tempat: halaman depan pintu belakang rumah, yang merupakan pintu bagi dapur.
Latar masyarakat: rakyat malaysia; nasi sebagai makanan ruji dan gemar durian.
Waktu itu bulan Ramadhan. Bulan puasa. Cekodok pisang baki sahur masih ada atas meja makan. Cekodok pisang untuk sahur sudah tidak panas lagi, sejuk, menjadi liat, benyek dan berminyak luar biasa. Biasanya pada waktu luar bulan puasa akan ada orang yang mencekau cekodok sejuk ketika tengah hari kerana tidak sempat bersarapan.
Semasa watak utama bermenungan di pintu dapur, kelihatan seekor kucing. Bulunya berwarna hitam cair, hampir-hampir kepada kelabu atau lebih tepat, warnanya menyamai sebuah baldi hitam yang tua, terdedah kepada kepanasan matahari buat waktu yang lama sehingga hitam itu menjadi luntur kepekatannya. Ekornya kontot, sama seperti seketul daging yang berpuntal sedikit manakala bulu-bulu pada ekor itu berpusar-pusar pada satu tempat.
Kucing itu meminta makanan, lalu watak utama memberikannya cekodok sejuk benyek berminyak dari atas meja makan. Tanpa banyak soal kucing tersebut terus menjamah sebiji cekodok sejuk benyek berminyak dan meminta diberikan lagi makanan setelah habis menelan cekodok sejuk benyek berminyak itu.
Sejak peristiwa tempoh hari kucing hitam itu semakin rajin datang ke rumah watak utama. Setiap pagi dia akan setia menunggu di depan pintu dapur. Hari demi hari. Tanpa disedari watak utama, hari demi hari perut kucing itu berkembang dan membesar, memboyot ke bawah.
Maka tibalah suatu hari, bila kucing itu tidak lagi kelihatan pada pintu depan dapur pada waktu pagi. Sehinggalah tengah hari sekitar pukul 12 lebih, barulah kucing itu ditemui dalam salah satu petak almari yang terbuka daripada salah satu almari di dalam bilik daripada bilik-bilik salah seorang ahli keluarga watak utama.
Alangkah gemparnya suasana dalam rumah apabila seisi keluarga mengetahui seekor kucing telah melahirkan 4 ekor anak kucing dalam petak almari.
Dari situlah, watak Mao Si Kucing mula diperkenalkan kepada dunia. Namun pada saat beliau dilahirkan beliau belum lagi dinamakan Mao.
-sambung lain kali-
-mao sedang bersantai di suatu lokasi yang dingin-
1 ulasan:
saya bukanlah peminat kucing..
tp kadang2 rase geli...
tp x smapi thp tkut la..
hahhaa..
dlu2 de gak bela kucing..
abh sume kne blasah..
ye r..time 5 ..6 thn..
pe x tnye..
mmpos sumenye..
berdisalah ak ...T_T
Catat Ulasan