Khamis, 28 Januari 2010

sementara

sementara mencari ruang kecil untuk menulis, menari bersama matt dahulu



dan berlayar bersama dewangga sakti.




@__@

Isnin, 25 Januari 2010

biar perlahan


dan tiba-tiba hujan aku berjalan perlahan merasa bijih-bijih awan yang jatuh dari kayangan, setitik-setitik tiap satunya melanggar muka, kot, kasut dan seluar - dingin, pejalan kaki lantas berlari ke kaki lima, tergesa-gesa melewati aku; lopak-lopak itu sengaja aku pijak; seisi alam kini dalam sebuah irama tik-tik-tik-tik-tik rintik renyai lembut, alir-alir halus kelihatan pada dinding perang berdebu, turun perlahan akhirnya bersatu atas jalan membentuk sungai-sungai kecil.

aku tak kisah lenjun dalam hujan kerana ia mengingatkan sebuah tempat yang jauh.

Ahad, 24 Januari 2010

imejan

Secawan kopi susu. Wap bergulung di bibir cawan. Komputer di hadapan. Aroma kafein menggoda hidung, disedut masuk terus naik ke otak. Mata sedikit celik. Fikir yang serabut, tumpul menajam kembali. Lebih peka. Halaman buku terselak berselerak atas lantai saling timpa-menimpa dengan lembar-lembar nota kertas putih. Aksara-aksara pada nota dan buku seakan bangkit menari-nari. Berpusing-pusing. Simpang-siur di udara. Bunyi-bunyi gendang dan hilai seperti primitif hutan amazon muncul sayup-sayup kemudian menguasai ruang. Mana pemukul lalat tadi? Tangan kanan mencapai kopi susu. Masih panas. Tangan kiri meraba-raba sofa mencari pemukul lalat. Rangkai-rangkai kata penuh mengelilingi seisi ruang tamu. Tiup sedikit kopi susu. Tangan kiri sudah bertemu pemukul lalat.


Dong. Dong.

Dong. Dong.


Ambil sehirup kopi susu.



Semuanya hilang. Beransur huruf-huruf tadi kembali ke tempat asalnya.



Kotak mesej instan tidak terjawab bertepek-tepek di muka komputer. Berapa lama masa melarikan diri daripada kesadaran?



Sedikit-sedikit kopi susu dihirup. Lebih baik tidur saja.

Sabtu, 23 Januari 2010

bidadari cinta

dia menghayun rambang jaringnya sambil terlompat-lompat seperti mahu mengutip butir-butir bintang berlatar langit malam. satu-satu pari-pari tertangkap dalam jaringnya, kemudian dimasukkan ke dalam balang besar kemas terikat di pinggangnya. sekarang balangnya bercahaya sama intensitinya dengan sebiji mentol 250 watt.

pari-pari bertempiaran cuba terbang lebih tinggi daripada jangkauan jaringnya atau menghilangkan diri di sebalik rimbunan tebal. ribuan tompok-tompok kuning di tengah-tengah gelita semakin jauh. kumpulan cahaya kuning keemasan tadi telah terserak selepas dia mula menyerang dan menangkap pari-pari. cuma balangnya sahaja yang bersinar.

dia menjatuhkan jaringnya. balang besar dipinggangnya diangkat ke muka. pari-pari yang tadi memukul-mukul dinding balang membantah penculikan mereka terdiam gerun. matanya ke dalam sedikit dengan lopak lebam dibawahnya, tidak tercukur kemas; rambut-rambut pandak mencacak dari sisi muka turun ke bawah dagu dan leher, gigi sedikit rompong dan bibir gelap di tengah.

puas melihat hasil tangkapannya dia duduk atas tanah berumput lembab embun malam. balang besar diletakkan di hadapan. dia mencapai pula beg selempangnya dan menggodek-godek. satu lagi balang kaca besar dikeluarkan, diletakkan sebalah balang tadi.

penuh hati-hati dia membuka tutup balang berisi pari-pari, mengambil seorang dan cepat-cepat menutup kembali. pari-pari yang lain diam hanya memerhati. pari-pari dalam genggamannya meronta-ronta. dari jauh dia kelihatan seperti menggengam emas berkilauan. kepala pari-pari tersebut dijentik dan terus jatuh pengsan.

sayap pari-pari tersebut direntap. pari-pari itu terus hilang cahayanya. sayapnya masih memancarkan cahaya. dia kemudiannya menyimpan sepasang sayap itu dalam saku dadanya. pari-pari yang pengsan itu dimasukkan ke dalam balang kosong.

pari-pari dalam balang diserang frantik serta panik melihat rakan mereka diperlakukan begitu. sesetengah yang lain terus jatuh pengsan.

"kamu. semua. akan jadi begini. kamu. semua. (ketawa terkekeh-kekeh) kamu. semua. akan jadi bidadari cinta. kamu kerja dengan aku. aku beri kau makan. pakaian. wang. tempat tinggal. sampai waktunya aku pulangkan sayap-sayap kamu. kamu tahu, kamu tak boleh kembali tanpa sayap kamu."

menjelang pagi dia sudah tidak kelihatan duduk di situ. cuma tinggal puntung-puntung rokok dan bungkusan plastik coklat. pari-pari yang terselamat muncul dari celah-celah daun berkumpul kembali menangisi nasib rakan mereka.

Isnin, 18 Januari 2010

lihat

3 sekawan duduk berbual-bual di stesyen tram. mata semua terpejam atau kelopaknya terangkat sedikit menampakkan putih mata sahaja. masing-masing ada tongkatnya sendiri tergenggam dalam tangan.

tak tahu butir apa yang mereka borakkan.

baju mereka bersih. bersaid. lebih kemas daripada orang yang tidak buta di samping. sedangkan mereka tidak pernah melihat "kemas","cantik" dan "bersih".

hari berikutnya seorang lelaki berkaca mata hitam masuk naik ke dalam tram, dipimpin oleh rakannya. seluarnya berkeredut seribu. dia baru sahaja hilang penglihatan.

sifat, bukan pada pandangan sahaja.

Jumaat, 15 Januari 2010

dari mana

+dari mana virus datang?

-apa sebenarnya virus?

+virus tu bukan haiwan. tak ada tanda-tanda hidup, tak mati.

-wah. sungguh hiperbola.

+ya lah. virus cuma sekuen asid nukleik terbungkus dalam satu semacam kapsul. kemandiriannya hanya boleh diteruskan bila menceroboh masuk ke dalam sel hidup. hanya jalinan DNA atau RNA namun ada fikirannya untuk mengganda dirinya.

-hebat.

+pendapat kau? dari mana asalnya?

-entahlah. rasanya datang dari benda yang hidup. yang ada DNA, RNA dan semua tu. mungkin datang dari manusia.

+?

-manusia. mungkin orang-orang yang tak ada perasaan selain benci dalam hati. orang yang membenci semuanya. sekelumit kasih pun tak terkesan dalam hati. setiap nafasnya sarat benci. kemudian selnya berubah. menjadi sel-sel virus.

dari nafasnya yang penuh benci, dia menyebarkan virus kepada orang lain. dalam kata lain, virus itu sendiri perasaan bencinya. dia menjangkitkan orang lain dengan rasa benci.

+kau minum kopi terlampau banyak. kau meracau.

-oh ya.

(jeda sebentar)

-dari mana ikan datang kat tasik buatan?

+orang campak ikan ke dalam tasik. mereka membiak lagi pantas dari yang kau sangka.

Rabu, 13 Januari 2010

panduan

untuk jiwa-jiwa malang yang tersesat ke blog ini, yang tidak mengerti maksud entri - itu pun jika mempunyai maksud.

1.kalau kamu berhadapan dengan tulisan yang tiba-tiba sampai ke sebuah puncak gunung, atau sebuah bilik yang sempit, atau seorang budak yang sedang berjalan-jalan; kamu perlu bayangkan seperti menonton satu babak dalam filem, atau bayangkan kamu sedang menonton filem pendek youtube.

2.kadang-kala kamu akan bertemu dengan objek yang bukan-bukan dan sama sekali aneh seperti unikon dan zombie, ini mungkin sekali perlambangan yang disama-ertikan dengan kehidupan harian yang biasa, dilihat melalui pandangan hiperbola.

3.seringkali kamu dihidangkan dengan cebis-cebis dunia surrealisme, abstrak, dimensi lain dan sebagainya. mungkin ada maksud atau sama sekali sampah. sedangkan aku pun tidak memahaminya. mungkin kamu memahaminya?

4.tidak perlu membebankan daya fikir kamu menafsir. jika kita bertembung di pasar atau terserempak di dalam tram, kamu boleh menyapa dan bertanya apa-apa yang membebani kamu yang datang dari blog ini.

5.kebanyakannya, apa yang tertulis, itulah yang dimaksudkan. tiada erti lapis ke-2 atau ke-3 atau lapis-lapis dalaman lagi.

terima kasih kerana sudi membaca.

Selasa, 12 Januari 2010

lebih hampir

bilik itu sempit. buku berada di mana-mana berebutkan ruang di rak-rak yang tidak cukup. antara longgokan buku-buku di lantai hanya ada ruang sempit untuk berjalan dari pintu ke meja tulis. di bilik inilah dia menghabiskan masa bergeming.

"suara kau terlampau lantang. mereka takkan boleh mempersetankan sahaja tiap tulisan kau."

"dan?"

"tentunya mereka tidak senang dengan kau."

dia mengemas lembar-lembar kertas yang berkecah di atas meja tulis. di sudut meja, sebuah bingkai gambar terlangkup. dia mendirikan bingkai itu dan memerhatikan gambar yang tersisip padanya.

"apa yang mereka dapat bila memberkas seorang renta seperti aku?"

badannya beralih. kali ini dia memandang tepat ke dalam mataku.

"aku sudah tua begini. tiada apa yang akan aku rugi. tiada apa lagi yang tinggal untuk aku kehilangannya. aku, akan mati bila-bila saja."

hening. dia melihatku tercatuk diam, dia meneruskan katanya.

"kau, juga, boleh mati bila-bila saja. kematian lebih dekat daripada kau sangka; antara nafas kau - kau menyedut udara dan tidak menghembusnya atau kau menghembus nafas tidak menarik udara lagi. tetapi, tentulah. kau ada mereka yang ingin kau lindungi."

dia memandang lagi gambar di sudut mejanya.

"mereka akan tiba sebentar lagi."

Ahad, 10 Januari 2010

doktorah yang lebih tua daripada malaysia

aku tersesat dalam kuliah.

aku membayangkan doktorah seorang pemandu pelancong di sebuah bandar, atau doktorah merupakan bandar itu sendiri. dia menerangkan urat-urat, pembuluh darah, arteri dan vena, berselirat simpang siur seperti memandu arah jalan-jalan di bandar.

suara doktorah serak-serak. ayatnya satu-satu, sebiji-sebiji, jelas. doktorah mencoret-coret di papan hitam. sesuatu yang kelihatan semua orang faham kecuali aku.


corat-coret doktorah dari pandangan peribadi.
aku tersesat sekitar di mana garis panjang biru bertemu dengan garis pendek merah.


setiap rinci jalan sudah berada di belakang tangan doktorah. arteri ini, dari sini turun ke bawah, bercabang menjadi arteri ini dan ini. vena ini pula akan bertemu di atas bergabung aliran dengan vena yang ini, membentuk lekuk. kemudiannya darah akan di salurkan ke vena yang ini dan ini. dari mahattah raml jalan terus sampai ke medan saad zaghloul, belok ke kiri, lintas jalan, terus lagi. akan jumpa tugu berkuda kemudian terus lagi, masuk ke lorong, masuk kanan selang beberapa kedai......

tahu-tahu saja aku berada di dimensi lain.

tenang.

senyap.

sunyi.

rehat.

gelap.

aku menemukan jalan pulang bila jam sudah pukul 11. segar.

Khamis, 7 Januari 2010

rambang

dalam peperiksaan tamadun cina dahulu kala, calon peperiksaan akan dikurung beberapa hari sebelum mengambil kertas ujian. hukuman untuk peniru? mati.

tentunya ramai sudah tak ada di sini dan, tinggal beberapa kerat orang sahaja.


jantung punya rentaknya. jantung abnormal lebih menarik bunyinya.

kemudian aku teringat ini;





jika kamu meminati puisi, di sini satu sajak chairil anwar:

DOA

kepada pemeluk teguh

Tuhanku
Dalam termangu
Aku masih menyebut namamu

Biar susah sungguh
mengingat Kau penuh seluruh

cayaMu panas suci
tinggal kerdip lilin di kelam sunyi

Tuhanku

aku hilang bentuk
remuk

Tuhanku

aku mengembara di negeri asing

Tuhanku
di pintuMu aku mengetuk
aku tidak bisa berpaling

13 November 1943


bagaimana dikatakan hilang bentuk dan remuk?

Isnin, 4 Januari 2010

langkah

tiba-tiba dia tersedar dia sedang berjalan mendaki anak tangga. langkahnya jatuh satu-satu, kakinya menapak satu-satu; sedang dia tidak pun menggerakkannya. kakinya membawa dia berjalan tanpa kemahuannya. betapa mindanya mengerahkan kaki untuk berhenti dia masih juga berjalan.

lewat kereta-kereta terkandas dalam sesak.

lewat kerumunan orang-orang pulang petang.

lewat lorong-lorong, di mana kanak-kanak kecil berkejaran tertawa.

anak kecil itu mengingatkan dia masa lalunya. pada anak kecil itu dia nampak dirinya. bebas dari bebanan langsung terkecuali daripada peristiwa dan pergolakan di sekitar walau besar mana pun.

dia harap kakinya akan berhenti melangkah. sekurang-kurangnya dia mahu sedar di mana dia tercampak setelah jauh berjalan kerana dia sekarang bukan berjalan dengan kehendaknya.

dan dia pun tidak pasti bagaimana dia boleh sampai ke sini.

Jumaat, 1 Januari 2010

serangan zombie

tahun baru.

entah mengapa zombie tiba-tiba muncul. jalan lengang. serpih-serpih kaca berterabur sana-sini. tengah-tengah jalan ada unggun api. sesekali kereta lalu perlu mengelak api yang dinyalakan di tengah jalan. angin malam berbau asap. di kaki lima, zombie-zombie masih berkeliaran.

kami ke kedai piza Spicy. ada 2 orang tukang masak, seorang juruwang dan seorang pelanggan. kata juruwang, mereka ada khidmat penghantaran piza. cuma tambah LE1. di tengah-tengah serangan zombie pun mereka masih menghantar piza. woah.

kami pesan satu piza sedang dan satu roti gula.

dalam perjalanan pulang kami ambil jalan dalam. masih ada zombie di tepi-tepi jalan.