Selasa, 8 Mac 2011

balang kaca

ada satu balang kaca. atas puncak bukit. antara bilah-bilah rumput. bagaimana balang kaca berkenaan boleh ada di situ tidak diceritakan. dari puncak bukit kelihatan lampu-lampu dari rumah dan jalan, oren dan putih bersama lampu merah kereta sentiasa bergerak. bulat-bulat jingga berbalam-balam.

hujung pemandangan disekat banjaran titiwangsa mengunjur ke selatan semacam lembaga besar berliput kabus dan pencemaran udara.

dalam balang kaca ada Paul. dia lihat semuanya dari sebalik ketebalan balang kaca. dia dapat rasa hujan dan embun dari dalam. kadang-kadang bila cuaca betul-betul sejuk, dalam balang kaca akan muncul renik-renik air teruap.

satu hari dia membuat keputusan. hendak turun ke bawah bukit. dan itu bermakna dia akan tercampak, terlontar di dalam balang. balang itu akan terguling-guling, memusingkan Paul dan menghentamnya. Paul memberanikan diri. masa itu hampir terbit matahari ketika ayam-ayam pagi mula berkokok.

Paul melihat pemandangan atas bukit sekejap. dia menyimpan imej itu buat bekalannya.

satu, dua, tiga. balang kaca itu pun berguling dari puncak bukit. memecut. dan memecut. terus memecut. sambil Paul terjerit-jerit dalam balang kaca. awalnya dia menjerit kerana cuak dan tidak pasti. kemudian dia menjerit seronok. bila sampai di kaki bukit, balang kaca Paul berhenti berguling. Paul terlentang menengadah. balang kacanya sudah comot dengan lumpur dan rumput mati.

dia menarik nafas lega. sebentar. seminit selepas itu dia memaksa balang kacanya berguling lagi. dia dengar bunyi air deras hampir. semakin hampir. plop!! balang kaca jatuh ke dalam sungai. Paul tahu sungai akan menghilir mengalir ke muara. pengembaraan Paul baru saja bermula.

harapannya, balang kaca akan pecah bila sampai di muara nanti sebab dia mahu berlayar pula.

Khamis, 3 Mac 2011

visa


dijangkakan kaunter visa balik mesir di kedutaan lebih meriah daripada kaunter tiket konsert justin bieber.

kalau libya pecah perang..


Khamis, 17 Februari 2011

subkonsius


kerana lama meninggalkan tv sebagai sumber informasi dan hiburan, ibu jari tercari-cari butang fast forward pada alat kawalan jauh.


Isnin, 14 Februari 2011

pelarian

rasa macam zaman sahabat berhijrah dulu. baru tau rasanya meninggalkan semua harta milik, tak pasti keadaannya bila pulang nanti.

ada suara yang, katanya: "kalau aku kat mesir, aku ikut sekali berdemonstrasi. ini detik bermakna - revolusi menggulingkan tirani. ikut berkhemah di tahrir. " kata aku, ada pihak yang lebih menilaikan nyawa kami - penaja, famili dan lain-lain, daripada meletakkan diri kami di tengah-tengah kemelut. siapa tak mau menyumbang dalam revolusi?

sejujurnya, pada awal aku rasakan evakuasi ini semua tak perlu. kalau duduk berdiam di rumah sepanjang waktu berkurung semuanya insyaallah selamat. namun kalau dilihat dari aspek lebih besar, risiko itu ada dan kalau berlaku apa-apa pihak atasan akan langsung disalahkan kerana tidak mengambil tindakan. jadi, kami perlu dipindahkan. lagipun, nyawa lebih penting.

seluruh proses pelarian aku mengambil masa seminggu. 5 hari tercongok menunggu sambil dihiris kebosanan membunuh di jeddah. 2 hari baki habis di airport - preposterous. sepanjang kempen pelarian ini, sebuah game kad terup baru hampir tercipta di mana kad jack boleh menewaskan queen, dan kad ace pula merupakan seorang tukang masak di istana.

menurut jangkaan popular di kalangan orang mesir, semuanya akan ok menjelang isnin. jumaat 4 febuari hari mubarak akan mengalah(tewas terus) dan 6 haribulan, keadaan pulih seperti biasa. bila mubarak masih berucap dan berhasrat mengekalkan kuasa pada hari selasa kalau tak silap, aku lega kerana aku telah keluar dari bumi mesir - menonton aljazeera sambil menjamah roti canai di kompleks tabung haji jeddah.

hosni mubarak terus menjadi keldai bila omar sulaiman, secara tiba-tiba mengeluarkan kenyataan mubarak melepaskan jawatannya, tak sampai sehari - beberapa jam setelah aku baru saja tiba di malaysia. dari kaca mata seorang pelajar, peletakan jawatan ini bermaksud cuti pelarian menjadi pendek - takut-takut kuliah akan bermula minggu depan sedangkan kami jangkakan tidak kurang dari sebulan.

namun itu cuma perasaan yang remeh. rasa bersyukur dan bangga menyelaputi hati kami kerana kejatuhan era mubarak, kuda tunggangan amerika dan sekutu, kemenangan untuk seluruh rakyat mesir.

Jumaat, 4 Februari 2011

hari-hari rusuhan


sekurang-kurangnya
firaun pernah buat piramid

.