Selasa, 31 Mei 2011

atas bukit, bawah bukit

"hari jumaat ni berapa haribulan?"

"dua. eh, bukan," kemudian mula mengira pangkal jari pada buku lima. sendi antara jari dan metakarpal. "atas bukit 31 ke 30?"

"31."

"30 la."

diam sebentar. "ha ah. 31. jadi, hari jumaat ni 3 haribulan."


ini pelajaran yang paling comel pernah diajar di sekolah rendah dahulu.

Isnin, 30 Mei 2011

sublimation


kau mula membuka diri, sejak itulah kau jadi mempan. cebir ini akan dicantumkan. siapa saja dapat membaca kau, mengenal kelemahan, ketakutan.

agak tidak bijak sebenarnya.

siapa pula dapat berterusan mengelak dari berhubung dengan dunia selain korea utara.

Ahad, 29 Mei 2011

sepasang

ada sepasang stokin.

umum sudah tahu, stokin tercipta berpasangan. tak ada dijual sebelah.

jadi bila satu stokin ini, pada satu hari telah terjatuh dari longgokan baju kotor langsung tersorok bawah katil. ditelan bayang-bayang. temannya sehari-hari cuma bebola habuk atau lipas dan tikus yang tumpang lalu.

masa beralih. sebelah stokin itu masih di pojokan gelap bawah katil, dan pasangannya telah digandingkan dengan satu stokin lain yang hampir sama warna, juga yang telah kehilangan pasangannya.

sampai waktu yang tertakdir ketika sedang mengemas rumah, pemilik stokin menemukan stokin yang tersorok di bawah katil. sudah berlubang sana sini digigit lipas atau tikus. lalu stokin itu diambilnya dan dijadikan kain buruk buat mengelap tingkap, para-para, kerusi dan meja.

seusai mengelap, stokin itu - yang sekarang hanya kain racik buat membersih dibilas dan digantung pada ampaian. bersama baju-baju basah yang lainnya. bersama kelompok stokin yang lain. betul-betul sebelah pasangannya yang dahulu itu, sekarang sudah sedikit pudar dan getahnya landur.

ketika itu, tuhan memberikan mereka lisan untuk berkata.

"hai."

kemudian angin bertiup kuat, bermulanya ribut dua hari melanda sepanjang mediterranian. semua kain sidaian terlepas dari sepitan. terus hilang tak dijumpai lagi.


Selasa, 24 Mei 2011

tukang gambar

studionya cuma ruang bawah tangga, mungkin sebuah stor. cat dinding mengelupas sana sini bertompok. ada gambar bergantungan dalam bingkai menghias dinding dan meja. suasana studionya lebih mirip kedai tinggal di chernobyl.

dia menyilakan duduk di bangku boleh pusing rendah. beberapa kali dia membetulkan posisi kepala - sedikit teleng, sedikit mendongak. tangannya berbau abu rokok. kemudian dia membetulkan pula kameranya. berkeriut-keriut. sambil aku memerhati kekok menahan posisi kepala. aku rasa macam tengah berlakon filem yasmin ahmad.

akhirnya dia suruh senyum. senyum lebih lebar. kali ini, aku teringat pula satu babak dalam paradise now, watak utamanya disuruh senyum oleh jurukamera. dia tak mau. apa yang jurukamera tak tahu, gambar itu akan digunakan untuk poster syahid pengebom berani mati selepas meletupkan dirinya.

kan gambar pasport perlu wajah serius atau bermuka kosong? lagi lebar, saya tak nampak senyuman awak, katanya. lampu oren kamera menyala. snap!

2o genih,

Selasa, 17 Mei 2011

rasa

tahu rasanya?

ikutkan saja kata hati
tinggalkan logik dan sebab
jangan kisahkan yang lain
tanggalkan belenggu
buang hirau resah berpaut pada akal
buat semua yang mau
sampai ke dasar ruang kehendak
yang sebenarnya lohong tak berdasar

terapung:
ini satu jatuhan bebas melanggar tanah
deru-deru angin laju
swoosh, swooosh
namun sunyi

tiada siapa yang kau marahkan
cuma diri yang berontak.

-dan segala berputar seperti biasa, dengan atau tanpamu-

Sabtu, 14 Mei 2011

rumah

keluasan dunia yang sentiasa sedang berkembang ketika baris ini ditulis menjangkau planet, galaksi dan bintang - dan kita disini menyewa ruang beberapa meter persegi dalam sebuah bandar dengan penduduknya berjuta; digelar rumah. kalau hidup itu perjalanan kitalah kelana, tubuh ini kenderaan diberi pinjam oleh tuannya, dan ruang rumah ini semacam parkir.

malam ketika tidur kita memarkir. terhindar dari embun, hujan, angin, puing, petir, ribut, perampok. mudah-mudahan juga dalam lindungan tuhan.

kebosanan adalah penyakit dan idea-idea ini analgesik sebentar. mata cuma melihat apa yang ingin dipercaya dan setiap seorang hidup kerana kepercayaannya.

Tahu mengapa aku sayangi kau lebih dari siapa pun? Karena kau menulis. Suaramu takkan padam ditelan angin, abadi, sampai jauh. -Bumi Manusia, Pramoedya Ananta Toer

Sabtu, 7 Mei 2011

lukisan

ini lukiskan sebuah foto bertarikh sekitar awal 2010 yang sepatutnya terakam kalau ada kameranya.

subjeknya seekor kucing, bangkai kucing lebih tepat. warna perang berbulu lebat. antara kerikil-kerikil simen dan debu jalan. terbaring di lambung kiri. anatominya separuh terpelihara, sebelah kirinya habis reput betul-betul seperti potongan sagittal yang disengajakan. matanya celik dengan saat terakhirnya sebelum rebah. fokus gambar tepat pada matanya di tengah, lain cuma kabur dan kelabu jalan simen: perlahan-lahan diserap kembali menjadi tanah.

nama foto ini "yang terlupakan".

Khamis, 5 Mei 2011

fiksyen disney

beberapa hari lepas, orang jahat yang diburu selama 9 tahun berjaya dibunuh. diktaktor yang menolak demokrasi terus-terusan dibedil bom keadilan.

dan seorang putera mahkota selamat dinikahkan penuh upacara di kathedral dengan puteri pilihan hatinya. namun perlu diingat, wedding dan marriage bukan perkataan yang sama.

di sini dunia, syurga fiksi bagi yang mengejarnya.