Rabu, 24 Februari 2010

ahmed keluar rumah

ahmed keluar rumah. sebelum keluar tadi dia sudah pastikan air, api dan letrik dimatikan. tingkap bertutup. sinki bersih. sofa disusun dengan rapi. kain siap terlipat dalam laci. baju busuk dimasukkan dalam mesin basuh, disetkan pada kitaran mod A pada suhu 40 celsius. fail torrent dan muat turun dipastikan sedang berjalan, kemudian skrin digelapkan. perangkap tikus dibubuh belakang dapur. cadar katil tegang.

ahmed memegang tombol pintu. dia tertinggal satu.

kreeekkk, bunyi kaki kerusi bergesel dengan lantai jubin marmar. kerusi meja makan perlulah ditolak masuk, bisik ahmed seorang.

setelah menutup pintu dan menguncinya ahmed letak kunci bawah alas kaki welcome.

Khamis, 18 Februari 2010

pevmen

5 meter hadapan sepotong kayu diletakkan melintang. paku tajam mencacak-cacak daripadanya. 5 meter lagi trotoar akan tamat, diselang dengan jalan tar lebar 3 meter lebih sebelum trotoar bermula semula.

berjalan dengan fikir yang berat, hanya menekur ke bawah memerhati kerikil-kerikil, aku tidak sedar ada sepasang kaki tercatuk kaku di antara selang itu.

lagi 1 meter sebelum kayu melintang itu aku mengambil keputusan untuk turun di sisi trotoar, berjalan di atas tar jalan raya - lantas membatalkan niat asal untuk melompati kayu tadi.

bila melepasi kayu itu baru aku sedar ada sepasang kaki tegak berdiri. seluar slack hijau kekuningan, kasut hitam. dua-dua comot dengan calit tompok simen serta berdebu. aku mengangkat kepala memandang pemilik kaki itu.

pandangan matanya menggambarkan dendam kesumat hitam bercorak kebencian seribu tahun lama, seperti kami pernah berseteru dalam kehidupan lampau. dan sekarang setelah dilahirkan semula kerana gagal mencapai moksha untuk bebas daripada roda kesengsaraan, kami perlu menyelesaikan perseteruan ini yang tertangguh seribu tahun dahulu.

aku mengalihkan jurus pandangan aku ke tempat lain - tidak sanggup melihat dalam kebenciannya. bila pandangan aku jatuh ke trotoar tadi semula, aku nampak bahagian hujung yang baru disimen, masih basah.

perkiraan minda aku menambah simen basah kepada kayu melintang berpaku, diproses dengan logik. jawapannya: kayu melintang itu untuk mengelakkan orang daripada memijak simen yang belum kering. aku tersentap. bukankah aku hampir-hampir memijak bahagian trotoar yang baru disimen tadi?

ooo.

patutlah.

Isnin, 15 Februari 2010

mereka buat buku ini bukan tanpa sebab


warna merah. banyak ong maa!!

gong xi fa cai.

Selasa, 9 Februari 2010

fragmen #3



sambil koleknya dipukul gelombang
yang berekor daripada feri besar
yang lalu di tepi, dia lebih fokus
pada jalanya. katanya:
"paras laut di mana pun
kan sama?"




Khamis, 4 Februari 2010

bukan pada buku

ilmu di dada bukan pada buku, bermakna kita perlu bersatu bersama ilmu. ilmu perlu jadi sebahagian daripada kita. sebahagian daripada daging kita. mengalir dalam salur darah. berdenyut bersama nadi. dan sekarang semuanya tertulis pada buku. kau faham apa yang aku katakan?

dia angguk setuju. dia faham benar maksud saya.

saya bangkit dari sila menuju ke dapur bersama buku fisioloji. dia ikut di belakang. dia ambil periuk dan didihkan air. saya koyak-koyakan buku fisioloji. kami masukkan ke dalam periuk. kami sama-sama lihat serat-serat kertas terpisah, kanjinya perlahan-lahan memekatkan air. awalnya putih kemudian bertukar gelap oleh dakwat tulisan. kami biarkan merenih, berbuih-buih.

dia kata, perlu tambah banyak gula, dan tambah satu buku lagi kerana kami berdua. satu buku sahaja bermakna seorang hanya dapat separuh. saya tambah gula dan tambah satu lagi buku fisioloji.

kami tunggu sampai sejuk dahulu.

bila dia mencuba rasa dahinya berkerut ketat, matanya terpejam, mulutnya senget tertahan-tahan. saya mencuba rasa juga. saya juga buat muka contorted. tidak, dia kata. kejayaan tak boleh dicapai mudah.

kami habiskan satu periuk itu.

sampai situ saja. selepas itu saya tak ingat. kalau ikut kata doktor, saya ditemui mundar-mandir di ruang tamu bergeming di sudut gelap. dia tergelimpang atas lantai, di sisinya, apa yang kelihatan seperti, muntahnya sendiri. saya sudah ceritakan apa yang saya ingat. sekarang, boleh doktor lepaskan saya? sebab esok saya ada ujian histoloji pula. dan baju ni tak selesa. lengannya dikunci.

doktor?

doktor nak pergi mana?

DOKTOR!! DATANG SINI BALIK!! SAYA MASIH KAT SINI!! DOKTOR??!!