Isnin, 31 Mei 2010

mesej ke planet jauh

**teet**

**teet**

**teet**

hanya ada bunyi statik sahaja. tak ada balasan.

kapten kapal penjelajah mencuba sekali lagi.

**teet**

**teet**

**teet**

kapten melepaskan keluh berat, mengarahkan kapal menuju ke arah bintang orion di sudut galaksi sana.

mungkin di sana ada planet yang dihuni.

(kapal perlahan-lahan bergerak. tak ada api biru menujah pergerakan kapal. bahan api sudah lama habis. hanya tarikan graviti antara jirim planet menggerakkan kapal.)

mesej ke planet jauh.

Rabu, 26 Mei 2010

pusing


katanya:

"what doesn't kill you, makes you stronger."

nyawa cuma satu.

ini bukan mario atau megaman.

kalau anda telah dibunuh anda tak boleh kata,

oh, orait, benda sekian-sekian ni

boleh membunuh.


mungkin lebih elok

kalau dikata begini:

"before you know it, it will kill you."


dengan itu

kita akan lebih berhati-hati

dan berhenti daripada

sesuatu yang sepatutnya sudah lama kita tinggalkan.


isi tempat kosong di bawah, benda yang

sudah lama dijauhi:

________________

.

Jumaat, 21 Mei 2010

orang, namanya abdul hadi

ingat, bagaimana doktor dibandingkan dengan mekanik? katanya, mekanik tak boleh baiki kereta kalau enjin hidup, sedangkan doktor boleh. sebenarnya, mekanik hanya membaiki kereta setelah enjin dimatikan kerana dia mampu sedangkan doktor tak boleh.

kami ada seorang pesakit, seorang atuk bernama abdul hadi - kalau tak salah sebab doktor kelas kami memanggilnya abdul hadi. jadi, limpa atuk abdul hadi telah membesar. kami tak diberitahu apa penyakit yang dihidapnya kerana hari itu kami hanya perlu mengenal simptom pembesaran limpa dan bagaimana untuk mempalpat abdomen pesakit tersebut.

kerana limpanya telah membesar, seluruh kandungan abdomennya tertolak kehadapan - perut abdul hadi memboyot macam periuk belanga. otot rectus abdominisnya menjadi lemah bila tertolak begitu menyebabkan sebahagian ususnya keluar dari ruang abdomen melalui pusat. jadi, bukan saja spleenomegali, abdul hadi juga mengalami hernia pusat. (burut)

berbanding pusat yang normal, pusat abdul hadi membalik keluar membentuk sebuah bonjolan gelap seperti cendawan di tengah-tengah perutnya.

sepanjang kelas, doktor menerangkan simptom yang dialami abdul hadi. dan abdul hadi pula perlu mempamerkan perutnya untuk tatapan seisi kelas. doktor menunjukkan cara mempalpat yang betul, perlu bermula dari garis inguinal atas pelvis kemudian ke seluruh abdomen.

bila pelajar dipanggil mempalpat abdul hadi, seluruh kelas bersemangat ingin mencuba. sedang abdul hadi dipalpat, kami berbincang-bincang antara kami, dalam bahasa ibunda kami yang langsung asing buat abdul hadi.

sampai satu waktu, atuk abdul hadi yang dari awal bermula kelas menyelak bajunya ke paras dada menurunkan selakan itu. dia bertanya dalam kepada doktor - satu-satunya orang di dalam kelas yang mampu memahami sempurna ammi masri. sebagai orang tengah menterjemah, kata doktor, abdul hadi merasakan kami mengata buruk pasal perutnya.

untuk menyelesaikan masalah, semua orang dalam kelas tak boleh bercakap-cakap melainkan dalam bahasa arab atau inggeris. sebarang pertanyaan boleh ditanya terus kepada doktor.

kemudian kelas bersambung seperti biasa. semua mata dalam kelas terpaku pada perut atuk abdul hadi.

tertakluk kepada pendapat dan perasaan personal, saya rasa sikit orang yang memerhatikan muka atuk abdul hadi. tangannya disilangkan di mukanya. kadang-kadang menggaru janggutnya yang tak gatal. meraba-raba sisi perutnya. matanya melilau-lilau antara siling dan entah apa.

pernah rasa situasi bila anda harap, anda tak pernah ada tangan kerana tangan anda tak membantu apa-apa malah lebih canggung kerana anda tak tahu apa yang perlu tangan anda buat? dalam situasi begitu, anda letakkan tangan anda di seluruh muka dan anda menggaru-garu tempat yang tak gatal.

sepatutnya beza doktor dan mekanik bukan boleh atau tidak membaiki dengan enjin kereta yang masih hidup. doktor merawat orang, yang mungkin namanya abdul hadi, yang tentu sekali ada perasaan.

Isnin, 17 Mei 2010

wanita kucing

hari ini bertemu dengan wanita kucing.

dia seorang perempuan yang rapuh beruban penuh. memakai skirt labuh hitam dan blaus hitam. bersamanya sebuah tas membeli belah yang selalu dijual di carrefour untuk menggantikan plastik.

jam sudah hampir sebelas malam ketika terserempak dengannya. dari jauh, dia terbongkok-bongkok meletakkan helaian surat khabar di atas tanah. meskipun tak perlu sebenarnya kerana kucing-kucing jalanan tidak memilih dalam hal makanan.

sambil helaian surat khabar diletakkan atas tanah, wanita kucing menjeling-jeling sekeliling melalui cermin matanya berbingkai bulat penuh seolah-olah dia sedang menjalankan kegiatan terlarang berlindungkan kegelapan jam hampir sebelas malam.

kalau dia tak membuat bunyi-bunyi "citt-citt-citt" memanggil kucing-kucing dari bawah kereta, barangkali dia dianggap seorang tua yang sunyi serta hilang siuman.

dia seorang ibu kepada berpuluh-puluh kucing di sekitar jambatan gamaah.

Jumaat, 7 Mei 2010

seberang

seorang pakcik biasa-biasa yang selalu kita lihat tiap hari berkemeja lepas dan seluar slack, buncit dan botak, kasut kulit, turun ke jalan sampai ke tengah kemudian mengangkat tangan menyuruh kereta-kereta memecut perlahan. kereta-kereta semua patuh dan membenarkan dia jalan.

tak ada konflik. tak ada permasalahan. tiada kemalangan jiwa.

kadang-kadang hidup lebih mudah, kalau tahu nak ke mana. ke seberang jalan.