Bersambung lagi dari siri yang lalu
Kemudian kedengaran bunyi tawa bayi dari poket salah seorang daripada kami. Tuan Penceramah pun terus memberhentikan ceramahnya sebentar untuk memberi laluan buat Tuan Telefon menyeluk poketnya dan melihat telefonnya. Kami, peserta ceramah KPP pada hari itu cepat-cepat mengalihkan perhatian kepada Tuan Telefon. Tidak dinafikan, kami mengalihkan perhatian kepada Tuan Telefon bukan sahaja kami terdesak untuk mengelakkan daripada tenaga kami terus-terusan disedut keluar oleh ceramah yang panjang tidak putus-putus, tetapi juga kerana bunyi tawa bayi itu menjegkelkan, meluatkan, menimbulkan perasaan marah dan membencikan.
Masakan tidak, luas bilik kelas itu hanya seperti lif yang besar dan dengan dinding konkritnya, cukup untuk memperbesar kelantangan bunyi ketawa itu lantas, bergerak memukul gegendang telinga. Ditambah pula dengan faktor psikologi, setelah kami terperuk di dalam bilik kelas itu buat jam yang ke-4, perasaan kami tidak lagi tenteram dan timbul pula perasaan memberontak ingin meninggalkan ceramah. Apa-apa sahaja boleh mencetuskan kemarahan sesiapa saja pada waktu ketegangan psikologi tersebut.
Dalam kes yang kedua pula, semasa menjawab panggilan di khalayak awam. Seorang pakcik dalam komuter sarat penumpang menuju ke stesen x menerima panggilan. Tiada siapa dalam kalangan penumpang yang lain yang mendengar nada dering telefon pakcik itu kerana dia menyambungkan kepada sambungan earphone. Dan tiba-tiba sahaja dalam kekusutan gerabak komuter yang sempit, pakcik itu berbual keseorangan, dengan suaranya yang garau dan keras seperti guruh.
Suaranya yang kuat benar-benar mengganggu penumpang lain. Dan pakcik itu pun terus berbual dengan kawannya di hujung talian, tanpa melihat kelilingnya. Kerana penumpang-penumpang yang dekat dengannya sedang memberikan pakcik itu pandangan seolah-olah helang yang akan menerkam mangsanya. Dan kalau pakcik itu sedang berada di gerabak komuter bukan di Malaysia, tentu saja dia akan mendapat lebih dari pandangan tajam.
Jika anda juga bersikap seperti Tuan telefon atau pakcik dalam gerabak komuter, hentikan. Mulalah bertanggungjawab dengan telefon di tangan anda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan