Bersambung dari siri yang lalu
Imbas kembali pepatah " with mobile phone in your hands, comes with great power and responsibilities". Ini bermakna seseorang pengguna telefon selular perlu bertanggungjawab atas telefon yang digunakannya. Tanggungjawab tersebut ringan saja tetapi boleh memberi kesan yang maha besar. Ramai penduduk Malaysia yang berbangga kerana berjaya mempertahankan maruah dan kebebasan tanah air ini, begitu terlupa dengan beberpa langkah yang perlu diambil ketika keluar berjalan membawa bersama telefon selular, antaranya:
a.tukar kepada mod senyap apabila berada di khalayak umum, atau paling kurang perlahankan kelantangan nada dering.
b.bercakap dengan sopan ketika menjawab panggilan semasa berada di tempat awam
Ketika di dalam kelas kokurikulum pelajaran pemandu (KPP) saya berjumpa banyak orang yang mengabaikan tata tertib adab kesopanan dan budi bahasa yang sudah termaktub dalam Rukun Negara.
Kes pertama, kes yang klise, nada dering yang terlalu kuat. Kami, pelajar-pelajar baru dunia memandu di tempatkan di bilik kelas yang sempit. Tingkap di tutup rapat untuk mengelakkan hawa dingin terlepas dari bilik. Hanya kerusi-kerusi belajar, meja penceramah dan hamparan karpet yang menghiasi bilik, bersama dengan cat dindingnya berwarna oren cerah yang diharap boleh membuat ruang bilik belajar lebih luas. Saya begitu tidak selesa dan hampir sahaja diserang klaustrofobik.
Semasa pertengahan kelas, semua pelajar sudah kehilangan daya untuk duduk tegak kerana tenaga tersebut telah disedut oleh ceramah Tuan Penceramah dengan ceramahnya yang panjang, sarat isi-isi penting dan kelihatan tidak akan tamat sampai bila-blia. Kami tidak mampu untuk menanggap serta menangkap kesemua maklumat yang meluncur keluar dari bibir Tuan Penceramah. Kami menjadi begitu lemah longlai bagai lalang terlentok. Lagi-lagi dengan kedinginan suhu bilik, menyerap begitu sahaja suhu badan hingga terasa berada di alam lain. Alam tidur yang pulas.
Dan seperti biasa, secara tiba-tiba, seseorang tak menyenyapkan telefon maka satu bilik kelas yang kecil bergema dengan nada dering bayi tertawa dengan cara yang diolah untuk menjadi kononnya, comel.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan