Memaparkan catatan dengan label buku. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label buku. Papar semua catatan

Khamis, 8 Oktober 2009

reviu : kasut biru rubina

himpunan cerita-cerita ekstra pendek, mesra pembaca yang gemar membaca sesuatu yang singkat, tetapi indah dalam masa yang sama, misterius bak sehelai mini skirt. saiz buku ini comel, sesuai dibawa bersama semasa berjalan ke midvalley, dalam elarti atau semasa menunggu kawan tiba di midvalley dan elarti.

tekan sini untuk ke situs kasut biru rubina di silverfish books.


bahasa yang digunakan segar, dengan metafora-metafora lebih segar serta menangkap perhatian diadun bersama "pop".

secara personal, cerita terbaik dalam himpunan fiksyen ini tentulah "kasut biru rubina".
cerita fasal seorang budak, rubina namanya yang menemui sepasang kasut biru. kata kasut biru itu, mereka akan jadi TSS (teman sejati selamanya). namun kakak pelayan memberitahu, kasut itu cuma menipu rubina. kakak itu pun pernah dahulu tertipu oleh sepasang kasut jimmy choo. kakak pelayan menasihatkan rubina supaya tidak membeli kasut biru itu, dan mencadangkan supaya ke kedai bata.

per 10, kasut biru rubina layak mendapat 9.

Selasa, 25 Ogos 2009

buku : panggil aku melaju



"lalu hang nak panggil apa?"
"panggil aku MELAJU."
"melaju? bangsa apa tu?"
"melaju bangsa yang maju. kerana bangsa melayu yang ingin maju,
mereka tidak boleh panggil diri mereka melayu. melaju tidak boleh layu.
dan, bangsa melaju jangan mahu lagi dipanggil melayu."


anehnya buku ini diterbitkan dengan spoiler di bahagian kulit belakangnya yang sepatutnya dimuatkan dengan ringkasan pendek. penceritaan berbolak-balik antara dua dimensi : alam khayal Pengkhayal meniti asal bangsanya, dan alam sebenar - Hospital KL di mana berlakunya siri pembunuhan wanita yang sadis.

per sepuluh, novel ini layak mendapat 6. tambahan satu markah untuk tajuknya yang memikat. serta pengemukaan teori asal bangsa melayu dan bahasanya yang jauh berasal, berentetan sejak zaman bahari.

jika ingin membelinya, pastikan tidak terbaca "sinopsis" di kulit belakang. potong atau buang sahaja atau lekatkan dengan apa-apa pelekat agar tidak terbaca.

Sabtu, 17 Januari 2009

kejadian ganjil melibatkan anjing di malam hari


memikirkan terjemahan tajuknya mengambil masa 10 minit. the curious incident of the dog in the night time. buku terakhir dibaca sejak 4 bulan yang lepas. novel ini memenangi hadiah novel terbaik whitbread bagi tahun 2003.

kisahnya berkisar seorang budak remaja, Christopher yang mengalami masalah autisme. Christopher membenci warna kuning dan coklat, menganggap warna merah sebagai warna tuah, tidak suka dan tidak boleh disentuh serta tidak memahami ekspresi wajah manusia. Christopher meminati haiwan dan amat cekap dalam matematik.

cerita bermula apabila anjing jirannya mati tertikam dipercayai dibunuh. kemudian Christopher mula menyiasat kes itu dan menulis novel ini. turut diselitkan permasalahan matematik (kerana Christopher suka matematik) yang boleh diselesaikan dihujung buku (jika berminat) serta masalah monty hall.


mungkin ada di shorouk.

nilaian:5/5

Ahad, 27 Julai 2008

mahabbah

karya:SN Shahnon Ahmad
tajuk:Mahabbah
terbitan:DBP

sinopsis

keseluruhan cerita hanyalah berkisar pemikiran Endar. Endar sudah tua dan terlantar kerana penyakit
Myasthenia Gravis yang melumpuhkan seluruh dayanya. Dia tidak mampu untuk bersuara lantang seperti dahulu lagi. Yang termampu bagi Endar hanyalah untuk menggerakkan hati dan mindanya berfikir tentang bangsanya yang berpecah serta dirinya yang akan meninggalkan dunia fana'.

Bangsa Endar, Endar tamsilkan dengan sebatang sungai. Awalnya sungai itu bergerak dalam satu aliran. Namun setelah masa berlalu aliran sungai yang satu itu telah berpecah kepada dua yang dipisahkan oleh tebing atau tembok yang besar.

Sepanjang sungai itu berpecah kepada dua aliran, sepanjang itu dua sungai itu saling mengotori sesama sendiri. Dan menjadi hasrat Endar untuk melihat dua sungai itu kembali menjadi satu. Kalau boleh, Endar ingin mengangkat tembok yang memisahkan itu, yang menjadi punca permusuhan.

Namun pada akhirnya Endar berpendapat, tembok itu tidak perlu dicabut tetapi perlu dibersihkan, dimurnikan daripada segala syaitan dan manusia durjana yang bertenggek di atasnya. Kemudian di atas tembok itu akan didirikan bangunan serta taman-taman yang indah. Dan dua aliran sungai itu akan terus mengalir suci menurut perintah-Nya.

(jika terdapat sebarang kesilapan pada sinopsis ini, minta diperbetul..)

tiada siapa dapat menafikan peranan politik dalam kehidupan seharian kita serta kepentingannya dalam membentuk sebuah negara. namun politik tidak sepatutnya menjadi sebab pertelingkahan, kerana tujuannya ialah membentuk sebuah kerajaan bagi negara. lalu, jika bertelingkah kerana politik, berfitnahan sesama sendiri dan bertohmahan, bukankah telah mencabuli tujuan asal berpolitik?

sesiapa yang ingin menceburkan diri dalam bidang politik perlu membaca renungan-renungan dalam Mahabbah kerana kita pasti akan menjadi tua, merasai waktu menghampiri kematian; dan pada masa itu kita akan melihat kembali perbuatan-perbuatan kita yang terdahulu.

-imej kulit buku dari ujanailmu

Selasa, 13 Mei 2008

ranjau sepanjang jalan; sebuah penghargaan buat petani


karya: SN shahnon ahmad
tajuk: ranjau sepanjang jalan
terbitan: alaf 21

Sinopsis
Kisahnya berkisar sebuah keluarga petani: Lahuma si bapa, Jeha si ibu dan tujuh anak perempuan mereka; Sanah, Milah, Jenab, Semek, Liah, Lebar dan Kiah, yang hidup pada pertengahan abad ke-20.

Menjadi keluarga anak tani bukannya mudah. Mereka mengusahakan sawah mereka dengan penat jerih. Hidup dan mati mereka semuanya bergantung pada hasil padi. Padi menjadi segala-galanya.Makanan. Wang. Semuanya datang daripada hasil padi. Walau untuk satu musim, padi tidak boleh terkurang.

Kedaifan keluarga petani ini bertambah teruk apabila Lahuma meninggal dunia akibat terpijak onak nibung. Sebelum itu, selalunya Lahuma mengerjakan sawah mereka dan dibantu oleh Jeha. Tetapi dengan ketiadaan Lahuma, Jeha bersama anak-anak perempuannya pula memikul beban mengerjakan sawah. Namun tenaga Lahuma tidak terganti walaupun dengan gabungan tenaga Jeha dan anak-anak perempuannya.

Mereka mempertahankan pokok-pokok padi mereka daripada banjir, serangan ketam dan burung-burung tiak. Pokok padi boleh mati jika ditenggelami air. Ketam-ketam mematahkan tangkai padi yang muda. Bila padi mula menguning, burung tiak pula datang menyerang, memakan padi.

Malangnnya Jeha tidak dapat bertahan dengan segala kesusahan yang diharunginya sendirian tanpa Lahuma. Banjir, serangan ketam-ketam dan burung-burung tiak menjadikan Jeha tidak keruan dan akhirnya Jeha menjadi gila; meninggalkan pula beban mengusahakan sawah kepada anak-anak dara Jeha.

Ranjau Sepanjang Jalan mengisahkan kepayahan kaum tani untuk mendapatkan beras, bagaimana sawah dan pokok padi menjadi kepentingan utama dalam hidup mereka. Pokok padi dilayan seperti anak-anak mereka, malah mungkin lebih daripada itu. Pokok padi mestilah sentiasa dalam keadaan terbaik. Dijaga daripada banjir dan kemarau; tangkai padi bagaikan tengkuk anak-anak, tidak boleh terpatah, manakala isinya pula diawasi daripada dicuri burung - walaupun sebutir.

Kini, harga beras di pasaran seluruh dunia semakin meningkat namun harga hasil tanaman padi yang dibeli daripada petani-petani tidak berganjak. Sekali lagi kaum tani dihimpit satu lagi kesusahan. Mungkin bukan kesusahan dari segi teknologi pertanian seperti yang dihadapi kaum tani pada waktu dahulu, tetapi dari segi tekanan ekonomi global.

Setelah berlakunya peningkatan harga beras ini, saya benar-benar terasa kesusahan yang ditanggung oleh mereka, dan barulah saya sedar kepentingan peranan mereka dalam kehidupan seharian kita.

Shahnon Ahmad sememangnya telah mengabdikan penghargaan dan penghormatannya kepada petani-petani dalam Ranjau Sepanjang Jalan, jauh lebih awal sebelum saya menyedari sumbangan mereka dalam setiap hari yang saya lalui.

imej kulit buku daripada Ujanailmu

-novel ini pernah diadaptasi kepada filem sebanyak 2 kali, dengan tajuk "ranjau sepanjang jalan" pada tahun 1983 dan "rice people" pada tahun 1994 -pada minggu lepas, seorang petani telah meninggal dipanah petir semasa mengerjakan sawahnya di dalam hujan. moga allah merahmati rohnya-