Tak boleh tidur. Guling-guling, kalih kiri kanan, meniarap, terlentang, silang tangan; semua tak jadi. Main game pun bosan. Jadi aku pun buka blog. Baca balik tulisan lama-lama. Aku yang dulu macam-macam dia tulis. Antaranya dari tahun awal zaman sekolah medik.
Aku pun pelik macam mana boleh sampai sini sekarang.
Aku selalu berpikir, ada satu soalan yang lama aku tak ada jawapan. Kenapa orang yang tak pernah suka durian tapi dia makan durian. Dia memang tak suka durian walaupun orang lain kata durian tu sedap - rasa lemak krim vanilla karamel dengan sedikit bau bawang putih. Ada orang suruh cuba. Dia dah cuba. Raja buah? Butuh. Durian memualkan baginya. Mungkin dia antara orang yang ditakdirkan untuk tak menyukai durian sampai bila-bila.
Ada orang kata aku akan menyesal nanti. Memang. Aku yakin nanti aku menyesal. Hidup macam main RPG. Ada macam-macam pilihan. Pilihlah pilihan mana-mana, kau tak boleh buat dua pilihan dalam masa yang sama. Kau tak boleh berkecuali dalam memilih. Pendapat aku, tak ada pilihan yang salah. Yang ada cuma pilihan. Rujuk filem Mr. Nobody.
6 tahun yang sia-sia? Tak juga. Aku boleh la kenal sikit-sikit tanda awal penyakit, tahu beza ubat dan produk penipuan MLM. Sijil ni juga boleh buat hiasan gantung dekat ruang tamu.
The death of one man is a tragedy, the death of millions is a statistic. Dan aku cuma statistik.
Selasa, 2 Jun 2015
Ahad, 31 Mei 2015
selfish
“Kau ingat pertama kali kau mengalami krisis kewujudan?” dia mendekatkan mukanya yang berminyak sambil menjegilkan mata. Beberapa helai rambutnya terjuntai dari ubun-ubun mencecah kening ditarik kembali ke sisi. Senyum. Sebaris gigi yang sempurna tapi kekuningan di tengah.
Katanya dia masih ingat. Ibunya menyuruh dia mengemas bilik dan mencuci pinggan di sinki. Dia asyik khusyuk dengan PSone, mata terpaku pada skrin televisyen tiub 20 inci. “Buat apa kemas bilik, nanti kecah balik. Pinggan tu pun sama,” jawabnya. Kemudian dia terfikir, buat apa mandi kalau akan busuk esok paginya. Makan kemudian lapar selepas 4 jam. Menyapu kembali berhabuk.
Hidup. Kemudian mati.
“Ah! Aku rasa macam dilanggar sebuah lori pasir. Seluruh hayat aku akan berakhir suatu hari nanti. Setelah aku sibuk berkehidupan. Berusaha sepenuh usaha. Habis! Begitu saja!” dia memetik jari laju-laju. “Tamadun manusia berganti-ganti cuba untuk terus kekal megah hanya berkesudahan menjadi batu dan debu! Kau tak rasa ini satu kesia-siaan?”
Dia menyambung ceritanya: lama dia bermenung memikirkan tujuan permainan kewujudan serta hidup ini namun tak pernah jumpa jawapannya. Dia yakin semuanya sia-sia. Benar-benar yakin Lantas dia mahu orang ramai tahu betapa permainan ini tak bermakna. Suka, duka, seronok dan luka cuma perisa penambah yang remeh untuk diendahkan sepanjang “hidup” (sambil membuat isyarat dengan telunjuk kanan dan kirinya).
“Marilah kita bertemu pencipta dengan sebuah letupan nuklear! Bersama!”
Dia menekan butang merah.
Dari jauh kelihatan sebuah matahari merah dari arah barat diikuti dengan dentuman letusan memecahkan cermin-cermin dan kaca. Kepulan awan berbentuk cendawan muncul serta merta mencecah horizon.
Dari jauh kelihatan sebuah matahari merah dari arah barat diikuti dengan dentuman letusan memecahkan cermin-cermin dan kaca. Kepulan awan berbentuk cendawan muncul serta merta mencecah horizon.
Khamis, 5 Mac 2015
D&D
Datuk membelek fail. Muka depan sekali aku letak SPM.
"Tengok ni Doktor. Bersusun A dia."
Doktor membengkokkan badan, mengangkat keningnya melihat sekeping sijil itu. Ujarnya, "Result saya pun tak macam ni," sambil ketawa kecil.
Datuk mengalihkan pandangannya ke muka kami. Dia bertanyakan fail siapa ni dan membacakan nama pada sijil tu. Aku menyahut perlahan.
"Awak boleh pergi mana-mana pun dengan result ni. So, is medicine your first choice?"
Aku jawab tak. No. Saya tak pilih medik, saya cuma jadi anak yang taat.
Selang beberapa soal-jawab dengan calon temuramah yang lain kemudian, Datuk kembali kepada aku. Tanyanya, "So, have you fallen in love with medicine?"
"No. Belum pernah."
"Haa?!" Doktor terkejut. Kali ini dua keningnya diangkat tinggi lagi dan dahinya berkeredut. Dia membongkok ke depan, keluar sedikit dari kerusinya.
Kaget, aku tanya kembali apa soalan tadi. Takut-takut aku tersalah dengar sebab doktor nampak terkejut benar.
"Have you fallen in love with medicine after 6 years?"
"Ooo. Nope."
"Habis tu macam mana..." Datuk kehabisan perkataan untuk disusun menjadi satu soalan susulan. Air mukanya tetap tidak berganjak dari ketenangannya.
"Dulu masa first year, saya kata nak quit. Boring medik ni, tak minat. Tapi parents suruh sampai tahun klinikal. Sampai tahun 4, saya kata jugak nak quit. Kawan kata dah separuh jalan. Habiskan je lah. Lagi pun kita cuma ada SPM. Rugilah. Bila dah habis belajar kita cakap tak nak jadi doktor; orang kata gila. Jadi, saya pun macam tu lah (sambil angkat bahu). Lagi pun apa pilihan lagi saya ada."
Datuk dan Doktor angguk perlahan mendengar penjelasan aku.
Datuk pandang aku. "Baguslah awak. Honest. Jadi doktor ni, kita perlukan passion. Kita berurusan dengan nyawa orang. Kita pun memang ada masalah, doktor-doktor ponteng, tak datang kerja. So I hope you'll find that passion somewhere along the road."
Kemudian Doktor jelaskan pada kami apa yang perlu kami buat kalau tak mampu untuk datang kerja. Minta cuti bergaji atau tanpa gaji dari bos. Jangan MIA, tiba-tiba hilang. Nanti rekod peribadi buruk. Aku iyakan semua.
Langgan:
Catatan (Atom)