Khamis, 29 Oktober 2009

lelaki yang paling anda harap muncul di muka pintu



hosam abu yousef.




-beliau pembekal talian internet. kemunculannya diiringi dengan korus "aaahhhh". kemudian matahari akan muncul dari sebalik awan mendung, burung-burung dan rama-rama akan datang terbang menyanyi-nyanyi.-


Ahad, 18 Oktober 2009

fragmen

aku tidak pasti
masa, pernahkah berlalu
bila bersamamu.


-sepetang di tepi laut
pantainya menggatalkan telapak kaki.-

Khamis, 8 Oktober 2009

reviu : kasut biru rubina

himpunan cerita-cerita ekstra pendek, mesra pembaca yang gemar membaca sesuatu yang singkat, tetapi indah dalam masa yang sama, misterius bak sehelai mini skirt. saiz buku ini comel, sesuai dibawa bersama semasa berjalan ke midvalley, dalam elarti atau semasa menunggu kawan tiba di midvalley dan elarti.

tekan sini untuk ke situs kasut biru rubina di silverfish books.


bahasa yang digunakan segar, dengan metafora-metafora lebih segar serta menangkap perhatian diadun bersama "pop".

secara personal, cerita terbaik dalam himpunan fiksyen ini tentulah "kasut biru rubina".
cerita fasal seorang budak, rubina namanya yang menemui sepasang kasut biru. kata kasut biru itu, mereka akan jadi TSS (teman sejati selamanya). namun kakak pelayan memberitahu, kasut itu cuma menipu rubina. kakak itu pun pernah dahulu tertipu oleh sepasang kasut jimmy choo. kakak pelayan menasihatkan rubina supaya tidak membeli kasut biru itu, dan mencadangkan supaya ke kedai bata.

per 10, kasut biru rubina layak mendapat 9.

Selasa, 6 Oktober 2009

teleport

teleportkan aku
dari kaca televisyen
terus ke sana
dan berkongsi sorak
bersama beribu yang lain.

kemudian
kembali ke iskandariah
dengan aman.

Sabtu, 3 Oktober 2009

jumper

jon dan jonah mula menyanyi-nyanyi di sebuah taman hijau berlatarkan menara kembar petronas yang tinggi, tidak nampak puncaknya. secara spontan keluar penari-penari lelaki dalam 20 orang; muncul begitu sahaja bagai terbit daripada udara kasa. kemudian jon dan jonah berkejar-kejaran tertawa dan senyum - jonah pura-pura bersembunyi di sebalik sebatang pohon manakala jon cuba menangkapnya. tangan jon pantas memegang lengan jonah dan menariknya. jonah kini dalam dakapan jon. jonah melepaskan dirinya daripada dakapan jon, berlari anak sambil tersenyum lagi. jon mengejar lagi. sejurus itu mereka berada di hadapan taj mahal masih menyanyi lagu-lagu cinta. penari-penari turut ada dan sama-sama menyanyi bait-bait puisi cinta jon dan jonah. habis beberapa rangkap, mereka di padang pasir mesir yang luas. pasirnya jernih sejauh mata memandang hingga nun di horizon sana pasirnya bagai bertemu di kaki langit. penari-penari juga merangkap penyanyi latar masih setia bersama jon dan jonah menyanyi walau matahari padang pasir panas - sehangat cinta jon dan jonah yang telah meleburkan hati mereka lantas terpateri-lah kedua-duanya. kini jon dan jonah sedang memacu unta, masih juga bermain kejar-kejaran sambil di belakang mereka terdapat khemah arab badwi. tak lama selepas itu mereka berguling-guling menuruni bukit hijau di satu kawasan padang ragut binatang ternak. kambing-kambing serta lembu jadi saksi sesungguhnya mereka benar-benar berguling turun ke bawah bukit.

akhirnya mereka kembali ke taman hijau tadi. tangan jonah dalam genggaman jon. jonah matanya berkaca-kaca gembira. jon pun begitu. kata jon, "kita makan di secret recipes. mahu?"




-pengaruh bacaan terbaru. sebuah aliran gaya penulisan yang mungkin bermaksud atau tidak bermaksud apa-apa (sampah). namun membenarkan imaginasi liar ke dimensi yang belum diteroka, berekperimen dengan kata-kata, meneroka ruang baharu.-