Sabtu, 26 September 2009

raya #3


gambar akan membesar jika diklik.

mesin ini dinamakan PAO (pemberi angpau otomatik). PAO boleh dipasang kukuh pada pintu rumah atau pagar hadapan. kamera bertujuan tiada pengunjung berulang, dilengkapi dengan sistem pengenalan wajah. boleh dimuatkan 100 helai sampul wang. turut disertakan sistem penggera.

Jumaat, 25 September 2009

raya #2

"assalamualaikom."

kanak-kanak datang beraya. dalam 5 orang.

"ASSALAMUALAIKOM!!"

diam. tiada balasan dari dalam rumah. pintu depan terbuka. tingkap pun.

"ASSALAM-MUALAI-KOOOM!!"

senyap saja.

.........

..................

"kedekut.." kemudian berlalu pergi.


-beraya biar ikhlas.

Khamis, 24 September 2009

raya

+ dari mana ni?

- dari hujung kampung.

+ jauh tu. yang ini adik awak?

- bukan. mak kita kawan. kita pun kawan lah.

+ dari pukul berapa keluar?

- 10 pagi.

+ woah. sekarang dah pukul 5 lebih tau. sembahyang zohor tak?

- tak.

+ kenapa?

- tak ada jam.

petang semakin larut, matahari condong berselindung di sebalik bukit. kanak-kanak ini minum sirap perlahan-lahan.

- boleh tumpang tandas?

+ ada. ada satu jamban luar sana. keluar kemudian belok kanan.

Selasa, 22 September 2009

syawal

ramadhan lepas, penuh dengan:


puasa

terawih

tadarus

dan sabar.


raya ini hati-hati dengan:


mercun

bunga api

pelesit jalan

rendang, lemang, lontong

serta segala kuih manis-manis

dan pastikan angpau benar-benar kosong sebelum dibuang




mari kita bermaafan.


Selasa, 8 September 2009

1ramadhan

sambil berjalan, kau sempat memerhatikan di seberang jalan terdapat satu kedai pajak gadai. dalamnya orang berbaris panjang, bengkang-bengkok. dari dalam kedai, di depan kaunter hingga hampir ke luar. ada laki-laki dan perempuan. kemudian seorang wanita berkemeja-T labuh, lepas hingga ke paras pertengahan peha dan berkemungkinan besar seorang ibu keluar dari kedai pajak sambil membawa pursenya di tangan.

dia berjalan sebentar hingga ke muka pintu kedai seterusnya. sebuah kedai pakaian keluarga. dan terus masuk untuk berbelanja.

di sebelah kanan kedai pajak pula, kedai emas.

minda kau memeta-meta. 3 serangkai ini mungkin telah berpakat. sederet ini merupakan jerangkap wang orang ramai. di belakang kedai, mereka berkongsi keuntungan. bulan yang lepas, mungkin wanita itu membeli barangan kemas di kedai sebelah. kemudian hari ini dia memajak atau terpaksa menggadaikannya. terus-terusan wang itu tumpah ke kedai pakaian.

dan itu cuma imaginasi liar, mungkin.

masuk ke dalam kereta, radio dihidupkan. lagu-lagu raya bermain. selamat hari raya. selamat hari raya. selamat...

hari itu pertama ramadhan.

Selasa, 1 September 2009

reseptor

pada mulanya, pertama kali menonton ultraman tiga di siaran ntv7, aksi ultraman dirasakan bosan. sepakannya nyata dibuat-buat. dan makhluk raksaksa tidak menggerunkan, atau selayaknya bagi seekor raksaksa.

walaupun grafik dan efeknya hebat. pancaran laser ultraman semakin canggih. malah ultraman boleh bertukar warna - merah untuk tenaga kuat, ungu untuk kelajuan, merah dan ungu untuk mod antara.

kemudian dibandingkan dengan ultraman zaman lampau. ultraman yang awal. kenang-kenangan kanak-kanak membandingkan, ultraman zaman dahulu lebih hebat. kumpulan MET bertanggungjawab menentang makhluk raksaksa yang jahat. berseragam warna jingga dan memakai topi keledar putih. rancangan ultraman pada masa itu ditaja oleh kiko.

beberapa hari lepas adik yang kecil itu mengajak menonton cd ultraman yang lama. kemudian aku dihampakan, kerana ternyata aksi ultraman dahulu dan sekarang sama sahaja. mungkin kerana setiap kanak-kanak mempunyai reseptor aksi ultraman.

reseptor ini apabila dirangsang akan membangkitkan rasa seronok dalam jiwa setiap kanak-kanak. namun selepas mencapai akil baligh, resptor ini tidak diperlukan lagi dan digantikan dengan reseptor yang lain. yang berkaitan dengan perasaan yang pelik-pelik, mungkin.





lagu ultraman 80 yang kacak. bahagian "aaahhhh!!" itu memang hebat. pengaruh bee gees, mungkin.