“Kau ingat pertama kali kau mengalami krisis kewujudan?” dia mendekatkan mukanya yang berminyak sambil menjegilkan mata. Beberapa helai rambutnya terjuntai dari ubun-ubun mencecah kening ditarik kembali ke sisi. Senyum. Sebaris gigi yang sempurna tapi kekuningan di tengah.
Katanya dia masih ingat. Ibunya menyuruh dia mengemas bilik dan mencuci pinggan di sinki. Dia asyik khusyuk dengan PSone, mata terpaku pada skrin televisyen tiub 20 inci. “Buat apa kemas bilik, nanti kecah balik. Pinggan tu pun sama,” jawabnya. Kemudian dia terfikir, buat apa mandi kalau akan busuk esok paginya. Makan kemudian lapar selepas 4 jam. Menyapu kembali berhabuk.
Hidup. Kemudian mati.
“Ah! Aku rasa macam dilanggar sebuah lori pasir. Seluruh hayat aku akan berakhir suatu hari nanti. Setelah aku sibuk berkehidupan. Berusaha sepenuh usaha. Habis! Begitu saja!” dia memetik jari laju-laju. “Tamadun manusia berganti-ganti cuba untuk terus kekal megah hanya berkesudahan menjadi batu dan debu! Kau tak rasa ini satu kesia-siaan?”
Dia menyambung ceritanya: lama dia bermenung memikirkan tujuan permainan kewujudan serta hidup ini namun tak pernah jumpa jawapannya. Dia yakin semuanya sia-sia. Benar-benar yakin Lantas dia mahu orang ramai tahu betapa permainan ini tak bermakna. Suka, duka, seronok dan luka cuma perisa penambah yang remeh untuk diendahkan sepanjang “hidup” (sambil membuat isyarat dengan telunjuk kanan dan kirinya).
“Marilah kita bertemu pencipta dengan sebuah letupan nuklear! Bersama!”
Dia menekan butang merah.
Dari jauh kelihatan sebuah matahari merah dari arah barat diikuti dengan dentuman letusan memecahkan cermin-cermin dan kaca. Kepulan awan berbentuk cendawan muncul serta merta mencecah horizon.
Dari jauh kelihatan sebuah matahari merah dari arah barat diikuti dengan dentuman letusan memecahkan cermin-cermin dan kaca. Kepulan awan berbentuk cendawan muncul serta merta mencecah horizon.