Selasa, 30 Mac 2010

untuk mao

kucing yang anda lihat di kotak atas belah kanan blog ini, namanya sudah tertulis di situ. mao. kata orang, jangka hayat kucing dalam tujuh atau enam atau lima tahun saja. selepas itu mereka akan mati sakit tua atau hilang begitu saja tanpa dikesan.

pagi-pagi mao akan lompat ke tingkap waktu lepas subuh menanti setia untuk makanan. kadang-kadang bila mao bosan menunggu dia ke dapur, walaupun dia tahu masuk ke dapur dilarang sama sekali bagi seekor kucing. tengah hari mao akan tunggu lagi di tingkap, atau di hadapan pintu dapur di luar rumah.

mao sudah beranak beberapa kali. entah berapa anaknya tak dikira. kejap-kejap ada, kejap-kejap tak ada. seperti mao sendiri, dia mengajar anaknya untuk tidak mendekati orang. kalau dekat dengan anaknya, mao akan buat bunyi "hissss, hisss" menyeringai, gigi tajamnya dinampakkan.

mungkin trauma pada satu masa dahulu, mao tak suka orang. tak mahu disentuh. tapi mahu makan diberi.

mao ada ekor pendek. berpuntal. semacam seketul daging terlekat dibelakangnya. mao dapat ekor tersebut daripada ibunya yang tak dinamakan.

walaupun mao tak bersikap seperti kucing domestik yang lain, mao masih dibela. mungkin kata kerja "bela" tidak sesuai, kerana mao tak dibenarkan masuk dalam rumah. mao cuma diberi makan tiap hari. kalau ada tikus yang tertangkap, hayatnya akan berakhir di celah taring mao.

kalau begitu mengapa mao masih diberi makan, ditanya khabarnya, diambil berat?

pasal, mao sudah dijaga dari kecil, sampai meningkat dewasa, sekitar 20 tahun kucing yang bersamaan tiga tahun manusia. mao sudah jadi semacam keluarga. anda tak boleh membuang keluarga. buruk mana pun. lari jauh mana pun, menukar nama, menyembunyikan identiti, membuat surgeri plastik. pertalian itu ada.

tahun ini, congak-congak, mao umurnya dalam lima tahun. atau lebih. kalau mao tak ada tahun ini, rasanya akan ada kesedihan yang dalam. walaupun kita sudah menjangkakan waktunya, kita cuma memang tak boleh bersedia. sekarang saya faham, mengapa orang animal planet mampu berjurai air mata kehilangan anjingnya, atau kucing, atau dolfin atau apa-apa saja.

owh, mao sekarang masih sihat.

sempena umur blog yang meningkat 2 tahun. gambar mao sudah 2 tahun di kotak atas itu. kalau mao boleh membaca dan kenal komputer, apa katanya.

.

Ahad, 28 Mac 2010

fragmen #4


"kamu tahu, ke mana perginya masa-masa yang dibuang?

mereka ke dimensi lain. lalu membentuk sebuah lubang, lohong dalam dimensi kita yang menyedut masuk segalanya.

sekarang separuh dunia sudah ditelannya."

keringat sejuk merenik dihujung dahinya.

"semua,kau yang punya pasal."

kemudian dia mencabut earphone, mematikan komputer, solat zohor,
dan keluar rumah untuk menyelamatkan dunia.

.

Ahad, 21 Mac 2010

tentang lasman

klik pautan di bawah untuk membaca cerita yang sederhana panjang.

pautan.


dan klik berikutnya untuk menonton filem epik kamen rider.




Khamis, 18 Mac 2010

mental konstipesyen

semuanya ada, semuanya di sini

cuma tak mahu keluar.



Jumaat, 12 Mac 2010

lain kali

lain tempat
lain masa
lain letak

lain dimensi
lain sisi

lain orang
lain subjek

lain suhu
lain rasa

lain fikir
lain usia

dan tidak pernah akan sama waktu ini bila lain kali.


lain kali sajalah.