Rabu, 24 Ogos 2011

lau

pada satu hari ni, kami sengaja lambat ke kelas. encik hosam pun jarang datang awal. tepat jam dua petang baru kami bergerak (kelas sepatutnya mula jam 2) , tak menahan teksi bahkan kami naik tram - pengangkutan yang paling kurang pantas di dunia.

bila lalu di satu lorong ni, seorang tua renta bertongkat dengan bengkung leher terketar-ketar menapak langkahnya. rupanya pucat dan tak ada yang menemannya jalan. mungkin tua ini lari dari wad kerana marahkan anak-anaknya lalu mengambil teksi untuk pulang seorang diri ke rumahnya yang kosong setelah isterinya meninggal. atau mungkin dia tak pernah berkahwin pun dan hidup sendirian.

apa pun, berjalan bukan kudratnya dan dia terpaksa menyerah kepada sakitnya. dia berhenti menapak dan melihat gerun anak-anak tangga dihadapannya untuk naik ke atas. naratif ini berlaku semasa kami sedang berjalan ke arahnya lebih kurang 10 meter untuk menuju ke stesen tram.

bila menghampiri si tua, dia menggumam perlahan seolah-olah ayatnya tertelan dan suaranya tersangkut-sangkut dengan kahak. kawan aku lebih dahulu terkehadapan. aku pula kurang menangkap suara si tua. namun dalam situasi begitu, bahasa lisan bukannya alasan untuk tidak faham maksudnya. ada bahasa kemanusiaan yang paling asas: meminta pertolongan.

pada waktu itu litar logik aku seakan menemui ralat sintaks. ada kelas yang sedang aku terlambat datang. ada pula orang ini. perbalahan moral - membantu orang tua menentang kepentingan peribadi - namun alasannya cukup kukuh; terlambat ke kelas serta tambahan, mana mungkin tak ada pemuda lain yang akan lalu di lorong ini sebentar lagi yang akan membantu. di hujung lorong ada si penjual sayur, dia pasti akan membantu.

aku mengambil keputusan untuk terus berjalan tak mempeduli. lagi pun wajah asing seorang malaysian tentunya dianggap tak faham bahasa arab, dan aku pun pura-pura tak faham.

rasa sesal sekejap saja datang selepas itu menyerbu menerjang tak henti-henti sehari suntuk.

kalau-kalau itu cuma pementasan babak konflik seharian rancangan "lau kaana bainana" , barangkali wajah aku akan dikaburkan kemudian akan dinasihati oleh pengacara program (yang menyorok di belakang tangga) dengan hadis buat tayangan umum satu mesir. tv alhijrah pun dah lama menyiarkan rancangan ini di malaysia.


-mengisi kekosongan blog dan masa pada bulan ramadan-

Jumaat, 19 Ogos 2011

fragmen #6

ini projek tahun lepas, perenggan pertama:

Air dalam longkang beriak-riak kecil, berudu dan jentik-jentik bermain di permukaan. Lumut-lumut bewarna perang karat setona dengan merah tanah di tepi longkang. Memang di sini tanahnya sentiasa perang, merah atau jingga. Adik mendakwa anak-anak ikan tinggal dalam longkang ini. Cubaan untuk meyakinkan adik bahawa mereka sebenarnya berudu dan jentik-jentik terpotong bila suara dari dalam rumah memanggil.
sampai sekarang belum siap.

kalau setahun begini sebentar.

Khamis, 18 Ogos 2011

belon-belon

awalnya dia minta satu belon. satu belon dia ambil. warna biru. dia kempiskan belon, menggulungnya dan disimpan dalam sakunya.

lepas tu dia tanya lagi. "saya nak belon boleh?" sambil tersengih.

bila kami kata tak boleh, satu saja cukup dia terus tersengih dan merentap belon lain dari hiasan hari itu. satu-satu belon dia ambil.

sampai habis semuanya.

baru kemudian kami sedar dia barangkali sinting.

dia beredar dengan kocek penuh belon.

Khamis, 21 Julai 2011

drama: tahajjud cinta


Kalau secolet spesimen DNA yang diambil dari seseorang boleh menggambarkan seluruh sifatnya, tidak keterlaluan kalau kita rumuskan mesej dan kualiti seluruh drama siri ini dengan hanya menonton 13 minit dari salah satu episodnya.

klik sini.

Protagonis utamanya saya rasa wanita yang bernama Seri. Atau Sri. Seorang pelajar di timur tengah. Berniqab. Tetapi terselak niqab itu oleh tangan nista kawan lelakinya yang hilang kawalan perasaan. Kata lelaki itu (tak tau namanya): "dah tiga tahun kita berkawan Sri, tapi saya tak pernah pun nampak wajah awak".

Sri marah dengan tindakan lelaki itu. Dia terus-terusan mengelak dari berjumpa setelah pulang dari kembara padang pasir - berkhemah unggun api tengah padang pasir, melawat gua-gua dan makam berlitup kain hijau (saya tak tau makam apa).

"Takkan la perkara kecil macam ni awak nak hukum saya sampai macam ni sekali."
"Kecil awak kata??" tanya Sri kehairanan berbaur rasa marah.

Mereka kelihatan seperti seorang penuntut jurusan agama/syariah berdasarkan pemakaian mereka yang thiqah pada mata mana-mana orang pun. Namun tindakan lelaki itu tidak mencerminkan akhlak yang sewajarnya, sekali gus memberi gambaran yang mengelirukan tentang pelajar-pelajar di Jordan sana. (latar tempat macam Jordan sebab Mesir pemandangannya lain)

Kemudian lelaki tersebut mati dilanggar kereta yang dipandu pak arab. Mati eksiden jalan raya merupakan plot paling lapuk dalam sebuah cerita, berulang kali digunakan dalam mana-mana drama - paling kerap di Malaysia, terus dikitar semula untuk menamatkan riwayat seorang karakter. Malah lakonannya pun kurang meyakinkan - juling mata sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Tahajjud Cinta merupakan drama siri yang mengecewakan dengan tambahan mesej yang disampaikan mengelirukan, hasil dari kerakusan penerbit ingin membuat drama "Islamik" yang sedang popular sekarang ini.

Senang saja formulanya, cuma perlu tambah perkataan arab/islamik kepada perkataan cinta.

Fesyen rambut yang dipopularkan datin seri rosmah.

Kenapa mesti ada lagi elemen "Datuk Datin" ? Ada ke orang pakai baju batik tengah-tengah malam? Berpuluh tahun industri perfileman berkembang di Malaysia, namun masih gagal keluar dari kongkongan klise.


Khamis, 14 Julai 2011

lengkap

tak pernah tau Super Mario Bros world 8-4 ada penghujungnya. kau cuma kena masuk setiap terowong lepas lahar api untuk sampai bertemu Bowser. tengok minit 2:50. bebola api berputar dalam air. wow.



tak ada lagi Toad dengan khabar mengecewakan. kali ni Princess Peach berjaya diselamatkan.

lepas lebih 10 tahun, baru aku dapat saksikan scene terhebat dalam dunia game video.


kenapa Bowser nak culik Toad?