Sabtu, 12 November 2011

sebatang kali

Hidup sebatang kali
memanjat undakan batu dugaan
turun di jeram curam dan tajam
menghilir hayat ke muara.

Menjadi sebatang kali
bertemu persimpangan kuala
biarlah engkau menjadi kecil,
 diamnya mengutip zat-zat halus
senyap alirnya dicari selalu
dirimba manusia sering bermuka.

Usahlah kali bertukar
amukan arus ganas,tanpa
mengira jurus apa dituju
mengapung budi bangkai berbau.
dari asalmu air di hulu.

Sepanjang  penghidupan sebatang kali
lepaskanlah alir jasamu ke laut
kelak meng-awan dilangitkan
jatuh tumpah kembali
menyubur bumi. 


-untuk tepianmuara, sebelum lepas menjadi laut. 

Jumaat, 11 November 2011

miss call


seorang yang bijaksana telah berkata: jangan mencari bahagia bukan di tempatnya.

kalau tercicir sebentuk cincin pada malam hari, secara logiknya carilah di mana jatuhnya cincin itu. buka mata luas-luas dan meraba-raba tanah jika perlu.

dan akulah orang yang terus berkeliaran bawah tiang lampu sebab cuma di situ ada cahaya walaupun barang yang tercicir tersorok dalam gelap.

cuba korang miskol jap.

Khamis, 10 November 2011

merenung api


api di sahara seperti air dalam hutan.
merenung api adalah sebuah hiburan bila tak ada internet. panaskan badan. halau nyamuk. sambil melihat api meliuk mengikut arah angin, kadang-kadang butir-butir baranya terbang ikut sekali. pikiran pun terus tenang seperti api perlahan-lahan menjamah kayu kering yang berkeriang-keriut bila dipatahkan api. sesekali bara api dijolok-jolok walaupun tak perlu.

jam 2 pagi, bulan pun hilang. bintang jadi lebih terang. kayu pun habis. rasa mau melompat masuk ke dalam bara. sejuk makin sejuk. malam ini macam selamanya malam.

Ahad, 30 Oktober 2011

jalan lurus tram


selain kibdah, iskandariah juga best kerana jalannya yang lurus tegak tanpa belok-belok. tram biru iskandariah merupakan antara pengangkutan yang paling lambat di muka bumi namun tambangnya juga paling murah. aku suka duduk terbuai-buai dalam tram. bau minyak gris dan landasan besinya menenangkan.

ada satu syarat kalau nak naik tram: kalau ada dua tram di satu stesyen, lebih baik jalan kaki. selalunya tram mengambil masa sekitar 20 minit untuk ke gamaah dari azarita atau gamek ibrahem pada waktu puncak. berjalan kaki dari kuliah ke gamaah juga sekitar 20 minit, tak bosan menunggu tram bergerak dan juga baik untuk jantung.

selalunya aku berjalan sorang sambil berpikir hal-hal sendiri.

hari ini, bila ada seorang akhawat@saudari turut berjalan sepanjang jalan eskandareyah akbar@jalan tram, semuanya jadi canggung dan awkward. aku jadi macam seorang stalker di siang hari.

semua orang tahu, stalker zaman sekarang tak mengekori dari belakang, cukup dengan membelek laman mukabuku. sampai kat syuban muslimin aku belok ke kiri masuk ke port said nak elak fitnah. tadi pun nampak muka dia dah risau semacam dan asyik toleh-toleh belakang.

jadi sekiranya ada orang cerita pada anda, ada orang malaysia berjalan kat belakang dia dari azarita sampai syatbi, katalah saya orangnya dan saya memang selalu balik jalan kaki.

.

Rabu, 26 Oktober 2011

procrastination


antara negara bangsa yang terbesar dan terhebat pengaruhnya kepada tamadun manusia moden tentunya procrasti-nation, satu nation yang tak ada dalam mana-mana peta.

pendapat saya, bertangguh exam juga satu procrastination.

happy eid semua.