Ahad, 17 Mei 2009

eksport budaya

kami berjalan ke kelas. dalam 15 meter di depan kami ada wanita malizi berbaju kurung corak bunga-bunga. warna-warni.

sambil berjalan kami nampak di belah kiri kami 2 wanita arab berjalan merangkul nota-nota kuliah dan berborak-borak. kemudian mereka terperasan dengan kehadiran wanita malizi berbaju kurung.

dari jauh, 2 wanita arab itu melontarkan sejenis pandangan. jenis pandangan ini dilontarkan wanita-wanita bila ada seorang dewi ramping rambut lurus ala-ala iklan di televisyen, lengkap berhias dengan kristal asfour di pergelangan, tengkuk dan telinga, berjalan perlahan-lahan di hadapan mereka sambil menyesakkan udara sekeliling dengan pewangi yang boleh dihidu sepekan perjalanan.

kami tidak faham dengan bahasa wanita. hanya wanita yang memahaminya. perlukan penterjemah bahasa.

namun yang kami dapat rasakan, 2 wanita arab itu memandang pada kain baju kurung yang bercorak bunga-bunga. wanita arab tidak memakai baju bercorak bunga-bunga.

**************************

kami berbaju melayu. lengkap. berjalan-jalan. arab kata, kami pakai skirt.

Jumaat, 15 Mei 2009

sumpahan 100, 200 genih

semua orang pun sudah tahu. akan tiba masanya bila semua duit poket habis dibelanjakan, dompet tinggal hanya dompet - segenih mahupun langsung tiada dalam tangan. kemudian pada masa itulah teknologi memainkan perananannya; mencucuk wang.

daripada 500 genih yang dituntut keluar: sehelai 200 genih, dua 100 genih dan dua 50 genih.

tak lama kemudian dua keping nota 50 genih usai. luak. habis. kehidupan hanya berteman nota 200 dan 100 genih yang benar-benar disumpah.

situasi 1.
ke kedai makan. selesai makan. harga sepinggan nasi dan ketulan-ketulan ayam, LE 5. engkau mencapai dompet dalam poket. membukanya. HAH! pakcik di kaunter terkebil melihat engkau mengeluarkan nota 100. katanya, "ada duit kecil?"

situasi 2.
ke kedai makan. bayar dahulu sebelum makan. harga nasi LE 4. dengan selamba engkau menghasilkan nota 100 daripada saku seluar. pakcik di kaunter tiada baki. kemudian, pesanan makanan dibatalkan.

situasi 3.
jangan sesekali jadi sebegini. engkau menaiki tram yang tiketnye bernilai LE 0.25 dengan hanya LE 200 dalam tangan. kemungkinan besar akan menyusahkan penjaga tram.
kerana nilainya yang begitu besar, nota 100 dan 200 genih disumpah. bawa sahaja ke mana-mana. kebanyakkan penjual akan menolaknya. pengemis yang tua mungkin diserang sakit jantung kerana terkejut dengan kemurahan hati engkau (ini bukanlah satu masalah, sentiasalah jadi pemurah).

engkau punyai wang tetapi engkau tak mampu membeli. kalaulah wang 100 dan 200 genih disediakan dengan ciri-ciri penceraian. jadi jika ingin membeli air tebu bernilai 1 genih, engaku boleh mengoyakkan sedikit bucunya untuk menyamai nilai 1 genih.

jalan keluar bagi sumpahan ini, duit 100 dan 200 genih tersebut perlulah dipecahkan dengan:
1)pergi ke pasar raya berhampiran. bukan pasar.
2)membeli isian semula kredit mobil.
3)berbelanja besar di kedai manisan yang mahal-mahal. atau apa-apa kedai yang kelihatan mewah.
namun, engkau boleh sahaja membelanja rakan-rakan di kedai makan dengan wang yang besar nilainya itu demi mendapatkan duit pecah. inilah dinamakan komensalisme. atau jariah. mana-mana yang engkau suka.

Rabu, 13 Mei 2009

percayalah, keperitan bagiku lebih daripada keperitan yang kau rasa



percayalah, keperitan bagiku lebih daripada keperitan yang kau rasa.
maaf jika mengasari kau.

yang termampu, skapel itu sudah dipastikan setajam yang mungkin.

faktor masa sepenuhnya tidak disengajakan.

Khamis, 7 Mei 2009

orang miskin, jalan kaya : lapar

ke kuliah lagi seperti pagi-pagi biasa. cuma kali ini perut tidak lagi berkeroncong, malah memainkan irama heavy metal yang berat. tisu-tisu perut dirasakan sudah tercerna sedikit demi sedikit. lapisan mukosa gagal menjalankan tugasnya.

2 minit pertama perjalanan, berjumpa dengan seorang makcik meminta sedekah. "demi tuhan," katanya sambil menadah tangan. kemudian berselisih dengan seorang lagi makcik meminta sedekah sedang berjalan, kemungkinan besar ke tempat biasanya.

hampir ke hujung jalan, berjumpa dengan Mama Nagah pula. ini nama yang kami beri kepada makcik ini. ayatnya setiap kali lalu dihadapannya : "kamu akan berjaya, demi allah." atau yang seumpamanya.

jadi, pagi itu di jalan saad zaghloul ada 3 makcik peminta sedekah.

hampir tiba di kuliah, ada lagi seorang makcik. berbanding makcik-makcik yang sebelumnya yang berbadan gempal, makcik ini kurus kecil. dia bercangkung, berlindung di belakang sebuah kereta dengan tudung labuhnya menutup seluruh badannya yang kecil. angin musim masih dingin. "untuk kamu kejayaan," kata makcik yang kecil itu.

langkah dipercepat. tiap kali otot abdomen tergerak menyinggung perut, pedih-pedih panas terasa. niat memonteng menyelebungi akal sambil bayangan ful dan falafel menyemakkan kewarasan. tidak satu pun daripada 4 orang makcik itu diberi wang sedekah, walaupun suku genih.

mungkin makcik-makcik tadi juga lapar?

Jumaat, 1 Mei 2009

setahun

satu mei.

genap setahun blog ini bertapak di blogspot.
sebelumnya ber-blog di friendster, kemudian dipindahkan ke sini.
tujuan asal membuat blog samar-samar dalam ingatan. kemungkinan besar kerana kebosanan menganggur selepas spm.

owh ya. selamat bercuti. sehari pun tetap bercuti.
"engkau sudah mengikat takdir semenjak awal lagi ketika memilih untuk ke sini. masih boleh menyesal, namun tak berguna," tiba-tiba fikiran ini terbit, serta-merta dimasukkan dalam catatan blog. namun perkaitannya dengan catatan kali ini diragui. tafsirkan sendiri.

baik. mendarat ke tilam.