Sabtu, 17 Januari 2009

kejadian ganjil melibatkan anjing di malam hari


memikirkan terjemahan tajuknya mengambil masa 10 minit. the curious incident of the dog in the night time. buku terakhir dibaca sejak 4 bulan yang lepas. novel ini memenangi hadiah novel terbaik whitbread bagi tahun 2003.

kisahnya berkisar seorang budak remaja, Christopher yang mengalami masalah autisme. Christopher membenci warna kuning dan coklat, menganggap warna merah sebagai warna tuah, tidak suka dan tidak boleh disentuh serta tidak memahami ekspresi wajah manusia. Christopher meminati haiwan dan amat cekap dalam matematik.

cerita bermula apabila anjing jirannya mati tertikam dipercayai dibunuh. kemudian Christopher mula menyiasat kes itu dan menulis novel ini. turut diselitkan permasalahan matematik (kerana Christopher suka matematik) yang boleh diselesaikan dihujung buku (jika berminat) serta masalah monty hall.


mungkin ada di shorouk.

nilaian:5/5

Khamis, 15 Januari 2009

ke rumah jiran

jiran anda tertinggal telefon bimbitnya selepas berziarah ke rumah anda. namun anda hanya sedar keciciran telefonnya ketika jam di dinding betul-betul tepat pukul 10 malam. ingin menjadi jiran yang baik, anda terus menuju ke rumahnya untuk memulangkan telefon terbabit. jenama m-mobile.

anda bagi salam. tiada siapa menjawab. anda tekan pula suis loceng pintu. tiada respon. lampu dalam rumah terpasang. begitu juga televisyen. anda cuba memulas tombol pintu. tidak berkunci.


kemudian entah mengapa, entah kegatalan apa yang menyinggah, anda tergerak untuk masuk ke dalam rumah. anda masuk, bagi salam sekali lagi. masih diam. cuma televisyen yang berbunyi-bunyi. kerana anda seorang yang baik dan mementingkan penjimatan elektrik untuk mengurangkan perbelanjaan, anda matikan televisyen yang tidak ditonton.

anda meninjau-ninjau.

akhirnya kaki anda membawa anda ke bilik belajar. tangan anda pula menggatal. anda tinjau pula koleksi buku jiran anda di rak buku. anda tarik dari rak, satu buku tebal. tiba-tiba rak buku berganjak ke tepi, membuka satu lorong rahsia menuju sebuah bilik rahsia yang rahsia.

tidak berfikir panjang, anda berjalan masuk ke bilik rahsia.

anda terkejut. terdapat mayat rakan anda yang disangka telah kahwin lari di sempadan yang siap diawet bersama beberapa lagi mayat manusia dan tulang-temulang bersepah-sepah di satu sudut. jiran anda ialah seorang pembunuh bersiri!!

tindakan anda seterusnya...(pilih satu sahaja)

A-keluar dari bilik rahsia, hilangkan kesan-kesan kehadiran anda di situ dan sambung mencari jiran anda untuk memulangkan telefonnya.
B-lari secara panik dan telefon polis.
C-cuba untuk keluar dari rumah, tetapi terserampak dengan jiran anda yang tahu anda sudah tahu rahsianya.
D-melarikan beberapa bahan bukti seperti tulang dan mayat siap diawet
E-melarikan semua mayat-mayat dan tulang-tulang

(fikir..)



jika anda menjawab:

E-anda ialah seorang penyeludup mayat, meniaga mayat di pasar gelap untuk kegunaan yang bukan-bukan.
A-anda ialah juga,seorang pembunuh bersiri. perkara begitu tidak memeranjatkan.
D-anda ialah seorang pelajar perubatan yang terdesak dan akan menghadapi ujian anatomi tidak lama lagi.
B-anda ialah seorang ahli tetangga yang baik! tahniah!
C-anda ialah seorang wira@hero yang sentiasa menghadapi kesusahan sebelum kemenangan.

-jabatan penilaian kepalakotak
2009-

Ahad, 11 Januari 2009

kisah 2

jumaat lepas, bersebab lagi-lagi serangan orang-orang jahat terhadap penduduk Gaza satu rapat umum berlaku di hadapan Masjid Ibrahim, Gamek Ibrahim, Iskandariah. muslim dan muslimat berduyun-duyun berkumpul di hadapan masjid, dari ibu-ibu dan bapa-bapa hingga ke anak-anak. masing-masing bawa bersama bendera Palestin bersaiz kecil hingga ekstra besar.

pasukan keselamatan yang berkawal pun bukan calang-calang banyak. berlori-lori.

kemudian seorang kawan, terkesan dalam matanya keinginan yang betul-betul. dia mahu menggambari suasana dengan fotografi. kami kata : bahawa ini bukan negara kita baiklah tidak difotograf. lagi-lagi dengan pasukan keselamatan yang berlori-lori.

keputusan akhir, kami lihat sahaja suasana dari jauh, luar lingkungan manusia yang rapat-rapat.

tukang beri kata-kata ceramah berbahasa arab. kami tak faham maksud yang disampaikan, lagi-lagi hanya mendengar dari jauh. suara semangatnya sayup-sayup kedengaran. diselang-seli dengan takbir. hati sesama muslim punyai tauhid, walau kami tak faham ceramahnya, kami terasa semangatnya.

dalam berjalan pulang kami nampak semua mata menumpu ke arah Masjid Ibrahim. orang-orang menunggu tram berdiri di hujung stesen, mengarah ke masjid. pakcik-pakcik sedang berasap syisya, minum teh dan kopi panas menikmati masa mereka.

untuk sudut kotak lain, klik sini.

(begitu dekat)

Jumaat, 9 Januari 2009

kisah I

ada makcik ni. kerjanya mengutip sampah. atau apa saja yang kamu anggap sampah. makcik ini tidak begitu. makcik melihat dari sudut lain, menganggap dari juru berbeza. kerana, kamu patut tahu, makcik ada satu kesusahan ini.

tidak. makcik bukan perempat.

makcik berumah. sambil kamu jalan, kelihatan rumah makcik dari jauh. atau apa yang kamu tanggap sebagai rumah itu berbeza. rumah patut ada ini : tempat tidur, tempat berehat, tempat berlindung - semasa sejuk musim dan panasnya, teduhan daripada hujan, berlindung daripada matahari.

patutnya dan selayaknya, rumah makcik dianggap rumah.

sebab itu,makcik akan melalut, bermonolog, berdialog dengan angin kosong setiap kali kamu lalu. pandangan kamu lontarkan merendahkan nilai rumah makcik, yang susah-susah makcik buat sendiri. makcik betul-betul marah, mungkin.

masalah makcik, makcik dikacau orang.

makcik tidak pernah kena halau. pandangan-pandangan mata dah lama tidak mengacau rasa makcik. begini. orang selalu dengki dengan makcik. mereka ambil harta-harta makcik. makcik dah susun elok-elok di tepi rumah; botol-botol, kotak-kotak, plastik dan barang kaca tetap kena cekau.

satu tengah hari, seorang budak datang. dia cekau barang-barang makcik, masukkan dalam tongnya. budak itu tinggi kuat. makcik marah. budak itu pun marah sama. sama-sama marah. makcik tolak tong budak itu. habis berterabur semua di tengah jalan. kereta-kereta tak boleh lalu pasal tong itu merintangi jalan.

kemudian makin bingit.
makcik mencarut. budak mencarut.
kereta di jalan tekan hon tak henti-henti.
budak mengeluarkan tinjunya. makcik tak mampu elak.

petangnya makcik kelihatan bertampal dahi kirinya. ada merah-merah pada tampalan dahi makcik. setiap kali orang lalu makcik akan marah-marah.

(saksi secara langsung)

Sabtu, 3 Januari 2009

sudah tahun baru

azam bersamaan dengan niat, melambangkan semangat.
dari niat terpasang, minda separa sedar kita automatisnya mengarahkan setiap daya kita untuk melaksanakan apa-apa yang diniatkan. dalam kata yang lain dengan memikirkan dan membayangkan tujuan sahaja, kerja yang akan dilakukan telah pun siap separuh jalan.
perlukah berazam?

azam awal tahun kali ini kita berazam untuk menyambung azam tahun terdahulu, satu.
seterusnya kita berazam untuk mengingati apa yang diazamkan pada tahun itu, dua.
ketiganya, buku-buku dari malaysia yang tidak tersentuh di dalam laci ingin dihabiskan.
empat, ingin tulis panjang-panjang sedikit.

tidak salah berazam secara pukal. barang yang baik diberi ganjaran sejak dari awal berniat.

(hm)