Selasa, 29 Disember 2009

mata satu, mata dua

seorang pemburu berjalan-jalan di sebuah pulau yang baru diteroka. sedang dia menyusur pantai, dia terserempak dengan lelaki bermata satu(cyclop). benda pertama yang melintas dalam akalnya, dia ingin tangkap lelaki mata satu ini, dibawa ke tanah besar dan adakan sebuah sarkas freak show. tentu dia akan kaya, fikirnya.

"erm, encik mata satu. mahukah encik ikut saya ke tanah besar? banyak benda menarik di sana."

encik mata satu membalas, " sebelum itu, encik mata dua, marilah ikut saya ke rumah saya sebentar. saya perlu cakap dengan keluarga saya."

keluarga! alangkah bertuah nasibnya, fikir pemburu. bukan saja seorang mata satu akan dibawa balik ke tanah besar, malah dia mungkin dapat membawa satu keluarga mata satu.

maka berjalanlah mereka ke rumah encik mata satu.

sampai-sampai sahaja, si pemburu dicekup oleh sekumpulan lelaki mata satu. dia meronta-ronta, tapi tidak mampu melawan. kemudian dia diketuk sampai pengsan. bila sedar, dirinya sudah dalam sangkar besi dikelilingi oleh gerombolan kanak-kanak mata satu. dekat pada sangkar besi itu, lelaki mata satu yang dijumpai semalam.

"ya, tuan-puan, anak-anak semua. saksikan lelaki mata dua yang tidak pernah kita lihat sebelum ini!!"

-relativiti-

Selasa, 22 Disember 2009

ruang untuk mereka yang

aku merenung titik-titik habuk pada cermin pintu balkoni. sesekali cermin pintu balkoni bergetar bila ditampan angin kuat. hari warna kelabu. lalu lintas sibuk seperti biasa. tv terpasang tak ditonton. bunyi-bunyinya bermain di corong telinga. aku jauh dari sini. jauh. jauh..

zuuppp!!

hitam. gelap. tiada atas, tiada bawah. aku terapung-apung dalam ruangan hampagas. kemudian ada satu suara menyeru.

"ada sesiapa di sana?"

cemas, aku pantas menjawab. beberapa detik selepas itu muncul seorang lelaki berkot kulit hitam, jeans cikang dan but paras tumit. dia tersenyum. selamat datang katanya.

"di mana aku?" tanyaku.

"di mana? di mana-mana!!"

aku marah. dia tertawa. terbahak-bahak.

"kau sedang berada dalam hati kau sendiri. sini-lah ruangan di mana orang-orang putus asa akan berakhir. orang-orang yang tidak lagi punya harapan. yang tiap paginya tidak berminat untuk meneruskan harinya. hati kau terlalu kosong, lompong (sambil menuding telunjuknya ke dadaku) hingga kau tersedut dalamnya. sama seperti prinsip vakum."

aku terkejut. "dan macam mana rakan-rakan aku? keluarga aku? mereka akan sedar kehilangan aku?"

"tentulah. tapi mereka takkan menjumpai kau lagi."

"siapa kau?"

"oh, kau tentunya kenal aku," jawabnya sambil masih tersenyum.

aku menutup mata sambil berharap semuanya akan kembali seperti biasa.

Isnin, 21 Disember 2009

matahari barat


simbol atau grafiti ini terlukis pada batu penahan hakisan sepanjang pantai. keringkasannya begitu menarik. 4 oval dan 2 garis. kemudian pada batu sebelahnya akan ada tulisan. antaranya: adakah kamu redha adik perempuanmu diperlakukan sebegini.

warna petang jingga pekat. pakcik-pakcik 40-an membawa dulang dengan 2 cawan teh untuk 2 orang yang sedang duduk atas batu menghadap laut. pemancing dengan joran panjang pulang ke rumah. sekejap lagi maghrib.

pemancing dan pakcik teh juga pernah satu masa dahulu, muda.

Sabtu, 19 Disember 2009

bercerita bersama professor

beberapa hari lepas seorang professor bercerita semula pengalaman abangnya ke malaysia. katanya, abangnya itu bergambar di hadapan menara berkembar. tinggi. puncaknya tidak termasuk dalam gambar. katanya, abangya kata kuala lumpur indah. dia menyambung lagi, ketika abangnya bersiar-siar hari cerah sekelip mata jadi gelap; air turun tiba-tiba bagaikan kolong langit sudah terpokah. mencurah-curah air membasahi kuala lumpur.

"and then there was *poww*!!" sambil melukis garis-garis tajam atas kertas.


kami ambil masa beberapa saat untuk faham, professor memaksudkan guruh. petir. kilat. dan kami faham betapa jarangnya kilat,petir dan guruh di tanah airnya.

sedang mendengar cerita professor, segalanya tergambar jelas dalam fikiran. kami nampak lopak-lopak air di kaki lima, orang berpakaian pejabat berlari mencari teduhan; malah bau-bau besi awal hujan pun kami ingat. selepas hujan akan ada sisa-sisa hujan melekat pada hujung daun-daun pokok, atau menitik perlahan-lahan dari atas atap.

beribu batu jauh dari rumah, kami nampak indah dan istimewa tempat sendiri berbanding tempat orang. jarak telah mengajar kami. sama seperti melihat seisi kuala lumpur dari udara. anda perlu berada tinggi beberapa ribu meter di udara untuk melihat keunikannya.

"kuala lumpur is a beautiful place. there's a beach in kuala lumpur isn't it?" tanya professor.

Selasa, 15 Disember 2009

bertukar

Mat namanya. dia sedang duduk bersila atas tanah di laman rumah di sisi sebuah buaian biru. di sisi Mat pula kucingnya yang sejak lahirnya tidak pernah dinamakan. Mat mengusap-mengusap kepala kucingnya.

"engkau ini apa kerja eh? " tanya Mat. "seharian terlentang tidur, senang. kemudian orang bagi makan."

kucing Mat diam. matanya tertutup. cuma misainya yang panjang itu tergerak-gerak. dan sesekali telinganya pun bergerak. kemudian kucing tersebut menguap luas hingga nampak taring-taringnya sampai ke tonsil sekali. bila matanya celik, kucing itu memandang Mat dengan pandangan yang bosan; seperti melihat serangga-serangga tak bermakna atau sampah-sampah.

menurut perkiraan Mat, kucing ini umurnya dalam 5 tahun. Mat tidak ingat bila mula dibelanya kucing itu. hati Mat bengkak bila memandang kucing itu. Mat sudah tua bangka melewati umur 20-an. namun kucingnya itu sudah dahulu "kahwin".

"kau tahu, aku kalau boleh nak jadi kucing," keluh Mat.

kucing itu bangun menggeliat seketika dan meninggalkan Mat terduduk sedang mata Mat mengekori kucingnya berjalan perlahan, macho.

Jumaat, 11 Disember 2009

fragmen #2

kau pernah dengar cerita ini?

dahulu, pernah ada sepasang stokin dalam rumah ini.

....

.........

Selasa, 8 Disember 2009

maaf, tak boleh



dia datang
.
aku kata, "maaf, tak boleh."

dia masih berkeras.

sambung aku, "aku sudah pun punya 4 kau tahu."

dia tetap berkeras.

aku mahu lari. ke belakang tak boleh.

di hadapan ada dia.

sisi aku terhimpit.

tinggal, sama ada ke bawah - 6 kaki ke bawah tanah;
atau terbang naik ke kayangan.

kau rasa siapa dia?

kemudian datang satu lagi.

...

.....

5 kesemuanya. atau 6. atau salah kira mungkin 7.

"ini semua salah awak! memang salah awak! kalau awak tak berperangai
macam tu, awak mungkin hanya ada 2 atau 3 saja!"


Sabtu, 5 Disember 2009

Selasa, 1 Disember 2009

cuti panjang

Abdou duduk menghadap komputer. Hosni sedang memetik tali-tali gitar. Abhar pula menguis-nguis baki makanan atas pinggannya. telunjuknya bermain-main dengan beberapa biji kacang hijau yang tak dimakan, kemudian dipenyek-penyekkan begitu sahaja bila sudah bosan.

cuti masih panjang.

lima minit selepas itu, Abdou masih di depan komputer. Hosni melatih kelingkingnya untuk jatuh betul-betul pada atas tali, dalam kotak fret yang betul. Abhar sudah di dapur membasuh pinggan yang siap digunakan.

setengah jam berlalu. Abdou masih lagi di depan komputer. jari-jemarinya sudah tidak menaip lagi. dia hanya tengok sahaja skrin komputer. Hosni sudah berjaya melatih kelingkingnya. dia memainkan beberapa kord daripada sebuah lagu. grenggg, greeeengg, greeenngggg. Abhar duduk di meja ruang tamu menonton rakannya.

dalam hati mereka sama-sama menjeritkan kebosanan.

atas meja ruang tamu, buku-buku dan alat tulis Abdou bergelimpangan akibat peperiksaan yang lepas. Abhar cuba mengemas barang-barang Abdou di atas meja. alat tulis diletakkan pada satu sudut. buku pula Abhar letakkan di sebelahnya. ada satu buku warna merah, tertera padanya "kesihatan komuniti untuk pelajar 09/10".

Abhar tergerak untuk membacanya.

Abhar buka muka pertama dan terus membaca.

Abdou lihat abhar buka buku warna merah. Hosni juga melihat apa yang dilihat oleh Abdou. kemudian mereka berdua memandang sesama sendiri. masing-masing mata terbeliak.

"Abhar! jaaa-ngaaan!!" jerit Abdou sambil bangun berlari mendapatkan Abhar. Hosni ambil buku merah itu, terus menutupnya dan menolak buku merah itu ke hujung meja.

"Abhar! Abhar! kau o.k? Abhar! jawab la!! oi! kau o.k ??" kata Abdou. dia menggoncangkan kuat bahu Abhar namun Abhar masih membatu. matanya terbuka tidak berkelip sepicing pun. wajahnya kosong.

Hosni lihat buku warna merah tertera pada kulitnya "kesihatan komuniti untuk pelajar 09/10" penuh kebencian.

"Abdou, kau tak sepatutnya biarkan buku tu bersepah di mana-mana. tak ada apa yang kita boleh buat sekarang. sudah terlambat. Abhar, (jeda sebentar) sudah tiada."

Abdou masih menggoncang bahu abhar. Abhar masih juga begitu: mata terbuka luas tidak berkelip, wajah kosong sambil mengucapkan perkataan-perkataan pendek tanpa makna, seperti sebuah pemain piring hitam yang rosak.

"Abhar, maafkan aku. mmmm-me-mang salah aku biarkan buku tu bersepah," tangis Abdou.

namun Abhar tidak pulih. Abhar sudah jadi seperti pemain piring hitam yang rosak.